Sunday, March 14, 2010

Internet dan kesan terhadap bahasa.

"Bahasa amat berkait rapat dengan perkembangan budaya sesuatu bangsa. Kegagalan bangsa Melayu untuk berbahasa dengan betul dapat dilihat dalam ketiadaan sebuah budaya saintifik dalam pembangunan bangsa kita. Bahasa menterjemahkan pemikiran. Bahasa yang tunggang-langgang, caca merba dengan bahasa lain tanpa disiplin yang tetap, melambangkan pemikiran yang caca merba juga."

Melungsuri blog-blog tempatan kadang-kadang buat aku rasa takut dan rimas. Sudah amat jarang aku luangkan masa untuk membaca blog-blog tempatan. Masa online aku sekarang banyak dihabiskan di laman berkaitan dengan bidang kerjaya aku sahaja - programming.

Kebolehcapaian (accessibility) yang tinggi terhadap web dan segala macam aplikasinya untuk menghasilkan kandungan (content) - Facebook, Twitter, Blogger, Wordpress (sekadar menyebut beberapa nama) menyebabkan orang tak perlu 'berfikir' untuk menerbitkan sesuatu di web. Cuma perlu taip, tekan butang 'Post', 'Publish' dll, apa yang anda tulis akan tersebar ke serata Internet melalui web, email atau IM. Satu kesan paling ketara adalah terhadap penggunaan bahasa. 80% daripada kandungan blog tempatan (yang aku sempat baca) langsung tidak memberi sebarang perhatian terhadap aspek bahasa. Tunggang-langgang, bercampur baur Melayu-Inggeris dan mengabaikan segala bentuk peraturan tatabahasa dan 'typography'.

Yang paling menakutkan, sindrom ini menular kepada setiap peringkat umur sama ada remaja, dewasa, malah di kalangan guru-guru sekali. Aku cuma boleh berharap cikgu-cikgu ini bukan guru bahasa di sekolah masing-masing.