Tuesday, November 22, 2011

Menggunakan Google Translate daripada pelayar mobile

Jika anda menggunakan telefon android dengan browser yang lebih canggih dan moden mungkin tiada masalah. Tetapi apabila saya cuba menggunakan Google Translate daripada pelayar mobile Opera Mini 4.4 (telefon samsung dengan platform MIDP 2.0), ia cuma memaparkan pilihan bahasa yang terhad dan bahasa yang saya nak iaitu Bahasa Melayu tiada dalam pilihan. Saya cuba dengan menukar ke mode 'classic' berbanding 'mobile' tetapi tetap tidak mendapat pilihan Bahasa Melayu. Ini tidak mungkin kerana kita semua sedia maklum Google Translate kini menyokong terjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan sebaliknya.

Apabila menggunakan laman Google Translate daripada pelayar desktop biasa, saya cuba turn off 'instant translation' agar dapat melihat URL sebenar yang digunakan oleh Google. Saya dapati ia menggunakan URL dalam format berikut:-

http://translate.google.com/#ms|en|gerimis

di mana ms adalah source language (bahasa asal yang nak diterjemah) dan en adalah translated language (terjemahan). Apabila mengakses Google Translate menggunakan url seperti di atas, Bahasa Melayu kini dipaparkan sebagai pilihan terjemahan.


Menaip karakter '|' agak leceh dalam telefon saya jadi saya dapati format URL berikut juga boleh digunakan:-

translate.google.com/m?sl=ms&tl=en&q=gerimis

Lebih mudah format yang ini nampaknya. Akhirnya dapat juga saya guna Google Translate daripada telefon dungu (dumbphone) saya ini ;)

* pelayar == browser.

Thursday, September 15, 2011

Hari Malaysia

Hari ini 16 September adalah Hari Malaysia. Namun jangan terkejut jika masih ramai terutama di kalangan generasi muda yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Hari Malaysia. Saya tidak hairan jika ada yang ingat Hari Malaysia adalah Hari 1Malaysia dan mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-6 Najib Razak. Yang kritikal sikit dengan PM kita ni dan juga konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan akan mengatakan Najib telah 'membunuh' Hari Kemerdekaan dan menggantikannya dengan Hari Malaysia. Tidak tepat sama sekali.

Catatan ringkas ini adalah untuk mengingatkan kembali adik-adik (dan juga abang-abang) apa yang telah kita pelajari dalam Sejarah Malaysia semasa di tingkatan 5. Malaysia adalah negara persekutuan. Sila rujuk sumber-sumber lain untuk takrifan lengkap persekutuan tapi secara mudahnya merupakan gabungan beberapa buah negara/negeri yang berdaulat untuk membentuk negara yang lebih besar. Malaysia merupakan satu-satunya negara persekutuan di Asia Tenggara.

Sebelum 1948, tidak wujud apa yang di panggil negara Tanah Melayu atau apa-apa nama yang semaksud dengannya. Apa yang wujud adalah negeri-negeri berdaulat dengan sultan-sultan sebagai ketua kerajaan. Setiap negeri mempunyai Undang-Undang Tubuh atau perlembagaan masing-masing. Perak, Selangor dan Negeri Sembilan telah membentuk persekutuan pertama di Tanah Melayu dan dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Selepas kekalahan Jepun dalam perang dunia ke-2, British cuba memperkenal gagasan Malayan Union di mana Tanah Melayu pada masa itu diletakkan dibawah satu pentadbiran dengan seorang Gabenor menjadi ketua pentadbiran. Ini bermakna tidak wujud lagi negeri-negeri berdaulat seperti Kelantan, Johor, Selangor dan lain-lain.

Seperti yang tercatat dalam sejarah, gagasan Malayan Union mendapat tentangan hebat dan akhirnya Persekutuan Tanah Melayu terbentuk. Terdapat perbezaaan besar antara Malayan Union dengan Persekutan Tanah Melayu. Malayan Union adalah sebuah negara tunggal berbanding persekutuan yang mana adalah gabungan beberapa buah negara. Dalam persekutuan, setiap negeri masih lagi sebuah kerajaan yang sah dengan ketua negara/i serta undang-undangnya sendiri.

Selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (dan kemerdekaannya pada 1957), timbul pula cadangan supaya Sabah, Sarawak dan juga Brunei yang masih dibawah pentadbiran British untuk turut menyertai Persekutuan Tanah Melayu. Satu pungutan suara diadakan untuk memastikan kehendak rakyat sama ada untuk merdeka daripada British sebagai sebuah negara berdaulat ataupun menyertai Persekutuan Malaysia yang ingin dibentuk. Akhirnya Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia (Federation of Malaysia). Pembentukan Persekutuan Malaysia inilah yang kita sambut pada 16 September hari ini.

Hari ini, semangat persekutuan (federalism) semakin terhakis dengan generasi baru kadang-kadang tidak tahu yang Malaysia ini sebuah negara persekutuan. Ironi sekali walaupun Malaysia satu-satunya negara persekutuan di rantau Asia Tenggara, ia antara yang mempunyai pentadbiran paling berpusat sekali ! Ditambah pula dengan sikap kerajaan yang memerintah sekarang di peringkat pusat tidak menghormati prinsip persekutuan dengan menganak-tirikan negeri seperti Kelantan yang diperintah oleh parti yang berlainan dengan mereka. Sepatutnya dalam semangat federalism, mereka menghormati hak rakyat disetiap negeri untuk memilih kerajaan yang mereka ingini.

Selamat Hari Malaysia.

Saturday, May 14, 2011

Yang Kita Tahu

"kepada semua org melayu yg sokong anwar... fikir la...korang x tau pasal anwar sbb tu korang sokong dia...aku dalam tentera aku tau apa yg telah dia buat.... dia memang x layak jadi pemimpin...kalau dia jadi pemimpin malaysia sekali lagi akan diijajah"

Ayat di atas saya petik dalam satu video di laman youtube. Persoalan seperti di atas sememangnya akan menjadi dilema bagi kita yang naif dalam hal ehwal dalam politik negara. Agak sukar untuk kita membuat keputusan dalam keadaan yang begitu bercelaru seperti sekarang.

Banyak benda yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu betulkah anwar mempunyai moral yang rendah seperti didakwa oleh sesetengah pihak. Kita tidak tahu jika anwar itu betul2 talibarut Israel. Seperti komen di atas, kita tidak tahu adakah jika anwar menjadi menteri perdana Malaysia, kita akan dijajah sekali lagi. Banyak lagi kita tidak tahu. Berhukum atau membuat keputusan berdasarkan benda yang kita tidak tahu memang menyeksakan.

Tapi ada benda yang kita tahu. Kita tahu UMNO itu korup. Kita tahu 50 tahun UMNO memerintah Malaysia, kita bukan semakin baik. Kita tahu saban hari kehidupan kita tertekan dengan kejatuhan nilai mata wang kita. Kita tahu kalau RM12.00 hari ini dapat beli seekor ayam, belum tentu nilai duit yang sama akan dapat membeli ayam yang sama di musim raya akan datang. Kita tahu duit rakyat berbillion hilang dalam projek gajah putih yang mana bekas menteri sedang didakwa atas tuduhan menipu kabinet, walaupun diperingkat awalnya ia dinafikan. Banyak lagi yang kita tahu. Berdasarkan apa yang kita tahu, saya yakin tidak sukar untuk kita membuat keputusan.

Persetankan nama pemimpin. Pemimpin datang dan pergi namun prinsip asas dalam membuat keputusan tetap sama. Jika tidak mampu memilih yang terbaik, kita buang dulu yang terburuk.



Wednesday, February 23, 2011

'Pencerahan' itu bukan dalam Sains. Yang akan ditemui dalam Sains hanyalah 'kepuasan', buat santapan akal sedangkan jiwa masih lagi kelaparan.