Thursday, September 15, 2011

Hari Malaysia

Hari ini 16 September adalah Hari Malaysia. Namun jangan terkejut jika masih ramai terutama di kalangan generasi muda yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Hari Malaysia. Saya tidak hairan jika ada yang ingat Hari Malaysia adalah Hari 1Malaysia dan mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-6 Najib Razak. Yang kritikal sikit dengan PM kita ni dan juga konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan akan mengatakan Najib telah 'membunuh' Hari Kemerdekaan dan menggantikannya dengan Hari Malaysia. Tidak tepat sama sekali.

Catatan ringkas ini adalah untuk mengingatkan kembali adik-adik (dan juga abang-abang) apa yang telah kita pelajari dalam Sejarah Malaysia semasa di tingkatan 5. Malaysia adalah negara persekutuan. Sila rujuk sumber-sumber lain untuk takrifan lengkap persekutuan tapi secara mudahnya merupakan gabungan beberapa buah negara/negeri yang berdaulat untuk membentuk negara yang lebih besar. Malaysia merupakan satu-satunya negara persekutuan di Asia Tenggara.

Sebelum 1948, tidak wujud apa yang di panggil negara Tanah Melayu atau apa-apa nama yang semaksud dengannya. Apa yang wujud adalah negeri-negeri berdaulat dengan sultan-sultan sebagai ketua kerajaan. Setiap negeri mempunyai Undang-Undang Tubuh atau perlembagaan masing-masing. Perak, Selangor dan Negeri Sembilan telah membentuk persekutuan pertama di Tanah Melayu dan dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Selepas kekalahan Jepun dalam perang dunia ke-2, British cuba memperkenal gagasan Malayan Union di mana Tanah Melayu pada masa itu diletakkan dibawah satu pentadbiran dengan seorang Gabenor menjadi ketua pentadbiran. Ini bermakna tidak wujud lagi negeri-negeri berdaulat seperti Kelantan, Johor, Selangor dan lain-lain.

Seperti yang tercatat dalam sejarah, gagasan Malayan Union mendapat tentangan hebat dan akhirnya Persekutuan Tanah Melayu terbentuk. Terdapat perbezaaan besar antara Malayan Union dengan Persekutan Tanah Melayu. Malayan Union adalah sebuah negara tunggal berbanding persekutuan yang mana adalah gabungan beberapa buah negara. Dalam persekutuan, setiap negeri masih lagi sebuah kerajaan yang sah dengan ketua negara/i serta undang-undangnya sendiri.

Selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (dan kemerdekaannya pada 1957), timbul pula cadangan supaya Sabah, Sarawak dan juga Brunei yang masih dibawah pentadbiran British untuk turut menyertai Persekutuan Tanah Melayu. Satu pungutan suara diadakan untuk memastikan kehendak rakyat sama ada untuk merdeka daripada British sebagai sebuah negara berdaulat ataupun menyertai Persekutuan Malaysia yang ingin dibentuk. Akhirnya Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia (Federation of Malaysia). Pembentukan Persekutuan Malaysia inilah yang kita sambut pada 16 September hari ini.

Hari ini, semangat persekutuan (federalism) semakin terhakis dengan generasi baru kadang-kadang tidak tahu yang Malaysia ini sebuah negara persekutuan. Ironi sekali walaupun Malaysia satu-satunya negara persekutuan di rantau Asia Tenggara, ia antara yang mempunyai pentadbiran paling berpusat sekali ! Ditambah pula dengan sikap kerajaan yang memerintah sekarang di peringkat pusat tidak menghormati prinsip persekutuan dengan menganak-tirikan negeri seperti Kelantan yang diperintah oleh parti yang berlainan dengan mereka. Sepatutnya dalam semangat federalism, mereka menghormati hak rakyat disetiap negeri untuk memilih kerajaan yang mereka ingini.

Selamat Hari Malaysia.