Wednesday, October 03, 2012

Aplikasi carian harga barang-barang runcit

Tujuan asal nak buat aplikasi android untuk semak harga barang-barang runcit tempatan. Dah ada laman web yang dibangunkan untuk tujuan ini iaitu laman Pricewatch 1pengguna.com dan GoGoprice. Tapi saya fikir aplikasi android yang boleh digunakan secara offline adalah lebih praktikal berbanding laman online. Walaupun akses Internet daripada telefon bimbit agak senang sekarang tapi kalau network buat hal masa tengah nak beli ikan, tak guna juga.

Langkah pertama adalah dapatkan data. Cara paling cepat adalah scrap ! (hehe ..). Kemudian mula belajar balik cara-cara nak bangunkan aplikasi android. Paling senang guna Phonegap. Masalah pertama adalah Phonegap tak support baca data daripada database yang telah siap. Alhamdulillah, yang ni dapat diatasi. Masalah kedua adalah android tak support fail lebih besar daripada 1MB dalam folder asset, tempat saya letak fail db untuk dimuatkan ke dalam telefon android. Tersangkut kat sini.

Dah tawar hati nak teruskan tapi semalam bila cuba laman GoGoprice dia cuma support carian menggunakan 1 kata kunci sahaja dan tidak boleh cari mengikut negeri/kawasan. Dapat semangat balik nak teruskan. Tak dapat buat aplikasi android, buat aplikasi web je lah dulu. Data dah ada, kod pun dah ada (daripada laman carian status halal), kena ubah sikit je. Dalam masa lebih kurang 1 jam, akhirnya dapat siapkan - http://harga.smach.net/ atau http://bit.ly/hargabarang kalau susah nak ingat. Agak kurang sempurna sekarang kerana dibuat dalam masa yang cepat tapi saya ada beberapa idea lagi nak dikembangkan daripada sini.

Bagi yang berminat untuk buat aplikasi sama boleh dapatkan data dari Scrapperwiki:-

https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_harga/
https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_kawasan/
https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_barang/

Saya asingkan scrapper sebab data kawasan dan barang agak statik dan tidak banyak berubah jadi tak perlu scrap berulang-kali.

Kod sumber laman tu sendiri boleh tengok kat github - https://github.com/k4ml/harga

Sunday, August 26, 2012

Melihat sesuatu secara objektif

Antara kelemahan utama masyarakat di Malaysia (orang Melayu terutamanya) ialah ketidakupayaan melihat sesuatu secara objektif. Apa yang aku maksudkan adalah amat sukar untuk kita menilai sesuatu (sama ada isu ataupun entiti seperti manusia, benda dsbnya) dengan melakukan analisis terperinci dan seterusnya mengambil atau menolak apa-apa yang baik/tidak baik daripada analisis tersebut. Ia seakan sudah terbentuk dalam DNA kita. Kita lebih diajar untuk menolak atau menerima sesuatu secara total. Jika kita menolak A maka kita akan menolak A secara keseluruhan. Kita tidak terdidik untuk melakukan analisis untuk terlebih dahulu mengenal A serta bahagian-bahagiannya. A mungkin terdiri daripada A.1, A.2, A3 dan sebagainya. Jadi jika terdapat sebarang kesalahan pada A, pada bahagian manakah sebenarnya kesalahan tersebut ? Adakah pada bahagian A.1 atau pada bahagian A.2 ? Tidak, sistem pendidikan kita tidak pernah sampai ke tahap tersebut.

Apa yang sering berlaku adalah penolakan total. Aku tidak bermaksud mengatakan pada sesiapa kerana aku dapati corak pemikiran sebegini juga wujud pada diri aku sendiri. Sebagaimana aku nyatakan sebelum ini, ia seakan DNA yang telah tersemadi dalam diri. Contohnya amat sukar untuk aku menerima seseorang apabila ada sikap atau kelakuannya yang aku tidak sukai. Begitu sukar sekali untuk kita memberikan senyuman kepada seseorang yang kita telah 'cop' sebagai 'aku tak suka dia' dalam minda kita sedangkan apa yang kita tidak sukai mungkin cuma sekelumit daripada sikap-sikapnya yang lain. Lebih parah apabila ia berlaku dalam kumpulan gerak kerja, ia akan mendorong kita untuk sentiasa menolak idea-idea serta cadangan orang tersebut walaupun idea-idea yang dikemukakan langsung tiada kaitan dengan sikapnya yang kita benci itu !

Dalam konteks yang lebih luas ialah bagaimana cara pandang kita contohnya kepada dunia barat dibentuk. Setelah diasuh Barat itu ialah antagonis kepada dunia Timur dan lebih-lebih lagi dunia Islam, kita seakan-akan gagal melihat bahawa tidak semua yang daripada Barat itu buruk. Berlaku penolakan total sehingga sampai satu tahap, yang menolak itu sendiri tidak kenal apa yang ditolaknya. Apakah yang ditolak itu adalah hedonisme yang kian meracuni tamadun barat atau dinamisma dan keterbukaan tamadun barat itu terhadap ketinggian budaya ilmu serta pembangunan sains dan teknologi ? Tidak jelas kerana kita tidak pernah membuat analisis terhadap apa yang kita tolak. Kita hanya kenal A sebagai A dan bukan sehingga A.1, A.2, A.1.1.1 dan seterusnya.

Perkara yang sama berlaku apabila menanggapi sesuatu isu. Peranan media yang langsung tidak membantu masyarakat dalam memahami isu tambah memburukkan daya konklusi masyarakat. Media yang sepatutnya berperanan sebagai penyampai fakta-fakta berkaitan sesuatu isu kini lebih berperanan sebagai pembentuk keputusan. Media lebih gemar masyarakat menerima 'keputusan' atau rumusan mereka berkaitan sesuatu isu - sama ada menyokong atau membangkang. Masyarakat tidak digalakkan untuk berfikir secara analitikal terhadap fakta-fakta yang dikemukakan. Natijahnya yang terbentuk adalah satu bentuk pemikiran yang fanatik. Yang menyokong akan menyokong secara keseluruhan manakala yang menentang akan menentang daripada segenap ruang.

[dalam proses menulis ...]

Tuesday, May 08, 2012

Atasi spam dengan email sementara

Setiap pengguna email pasti akan berhadapan dengan spam - email yang tidak diduga daripada orang yang tidak dikenali yang biasanya berkaitan iklan produk, servis atau bermacam-macam skim yang anda langsung tidak berminat. Walaupun teknologi email seperti yang digunakan oleh Gmail semakin canggih dan mampu menghalang kebanyakkan spam daripada sampai ke peti email anda, sebahagian daripadannya masih terlepas dan menganggu tumpuan anda kepada email-email lain yang lebih penting.

Setiap kali mendaftar di laman-laman yang memerlukan anda memberikan alamat email, anda akan mendedahkan email anda kepada kemungkinan diperolehi oleh spammer. Ini kera.na banyak perkhidmatan percuma online yang sememangnya disediakan untuk menuai (harvest) alamat-alamat email untuk dijual kepada mereka yang berminat, termasuk spammer. Anda boleh atasi masalah ini dengan menggunakan alamat email alternatif namun sememangnya agak leceh untuk mendaftar beberapa alamat email berlainan semata-mata untuk tujuan ini.

Perkhidmatan email sementara seperti mailinator bertujuan mengatasi masalah ini. Anda dapat mencipta alamat email baru sepantas SATU langkah sahaja. Mulakan dengan akses laman web perkhidmatan ini - mailinator.com.

Klik gambar untuk paparan lebih jelas.

Setelah anda meng'klik' butang Go!, anda akan dibawa ke laman berikutnya yang merupakan peti email anda yang baru ! Sekiranya peti email tersebut masih belum wujud anda akan dapati ianya kosong. Sekiranya anda tidak mahu berkongsi peti email tersebut dengan sesiapa, pastikan nama yang anda pilih agak unik.

Klik gambar untuk paparan lebih jelas.
Sekarang anda boleh salin alamat email yang dipaparkan dan berikan pada laman yang memerlukan email untuk mendaftar. Dalam contoh di atas, alamat email yang saya boleh gunakan ialah:- 

M8R-abd8j7@mailinator.com. 

Untuk memeriksa email yang dihantar, klik butang Refresh pada pelayar web anda atau capai alamat yang dipaparkan pada peti email tersebut. Sebagai contoh - http://inboxsaya.mailinator.com/.

Sebagai peringatan, semestinya alamat email ini tidak digunakan untuk urusan sensitif seperti perbankan Internet, media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Untuk itu, gunakan alamat email sebenar anda. Harap maklumat ini berguna untuk anda, selamat mencuba.