Sunday, August 26, 2012

Melihat sesuatu secara objektif

Antara kelemahan utama masyarakat di Malaysia (orang Melayu terutamanya) ialah ketidakupayaan melihat sesuatu secara objektif. Apa yang aku maksudkan adalah amat sukar untuk kita menilai sesuatu (sama ada isu ataupun entiti seperti manusia, benda dsbnya) dengan melakukan analisis terperinci dan seterusnya mengambil atau menolak apa-apa yang baik/tidak baik daripada analisis tersebut. Ia seakan sudah terbentuk dalam DNA kita. Kita lebih diajar untuk menolak atau menerima sesuatu secara total. Jika kita menolak A maka kita akan menolak A secara keseluruhan. Kita tidak terdidik untuk melakukan analisis untuk terlebih dahulu mengenal A serta bahagian-bahagiannya. A mungkin terdiri daripada A.1, A.2, A3 dan sebagainya. Jadi jika terdapat sebarang kesalahan pada A, pada bahagian manakah sebenarnya kesalahan tersebut ? Adakah pada bahagian A.1 atau pada bahagian A.2 ? Tidak, sistem pendidikan kita tidak pernah sampai ke tahap tersebut.

Apa yang sering berlaku adalah penolakan total. Aku tidak bermaksud mengatakan pada sesiapa kerana aku dapati corak pemikiran sebegini juga wujud pada diri aku sendiri. Sebagaimana aku nyatakan sebelum ini, ia seakan DNA yang telah tersemadi dalam diri. Contohnya amat sukar untuk aku menerima seseorang apabila ada sikap atau kelakuannya yang aku tidak sukai. Begitu sukar sekali untuk kita memberikan senyuman kepada seseorang yang kita telah 'cop' sebagai 'aku tak suka dia' dalam minda kita sedangkan apa yang kita tidak sukai mungkin cuma sekelumit daripada sikap-sikapnya yang lain. Lebih parah apabila ia berlaku dalam kumpulan gerak kerja, ia akan mendorong kita untuk sentiasa menolak idea-idea serta cadangan orang tersebut walaupun idea-idea yang dikemukakan langsung tiada kaitan dengan sikapnya yang kita benci itu !

Dalam konteks yang lebih luas ialah bagaimana cara pandang kita contohnya kepada dunia barat dibentuk. Setelah diasuh Barat itu ialah antagonis kepada dunia Timur dan lebih-lebih lagi dunia Islam, kita seakan-akan gagal melihat bahawa tidak semua yang daripada Barat itu buruk. Berlaku penolakan total sehingga sampai satu tahap, yang menolak itu sendiri tidak kenal apa yang ditolaknya. Apakah yang ditolak itu adalah hedonisme yang kian meracuni tamadun barat atau dinamisma dan keterbukaan tamadun barat itu terhadap ketinggian budaya ilmu serta pembangunan sains dan teknologi ? Tidak jelas kerana kita tidak pernah membuat analisis terhadap apa yang kita tolak. Kita hanya kenal A sebagai A dan bukan sehingga A.1, A.2, A.1.1.1 dan seterusnya.

Perkara yang sama berlaku apabila menanggapi sesuatu isu. Peranan media yang langsung tidak membantu masyarakat dalam memahami isu tambah memburukkan daya konklusi masyarakat. Media yang sepatutnya berperanan sebagai penyampai fakta-fakta berkaitan sesuatu isu kini lebih berperanan sebagai pembentuk keputusan. Media lebih gemar masyarakat menerima 'keputusan' atau rumusan mereka berkaitan sesuatu isu - sama ada menyokong atau membangkang. Masyarakat tidak digalakkan untuk berfikir secara analitikal terhadap fakta-fakta yang dikemukakan. Natijahnya yang terbentuk adalah satu bentuk pemikiran yang fanatik. Yang menyokong akan menyokong secara keseluruhan manakala yang menentang akan menentang daripada segenap ruang.

[dalam proses menulis ...]