Friday, April 26, 2013

Demokrasi: Realiti dan Ilusi

Semua sedia maklum negara kita Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Antara premis utama dalam sebuah negara demokrasi ialah rakyat mempunyai hak untuk memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara melalui satu sistem pilihanraya. Di Malaysia, hak memilih tersebut ialah setiap 5 tahun sekali dan pilihanraya yang paling hampir adalah yang ke-13 pada 5 Mei ini.

Hak rakyat untuk memilih kerajaan adalah satu bentuk peringatan penting kepada kerajaan bahawa tugas utama mereka adalah berkhidmat untuk rakyat dan jika gagal, rakyat tidak akan memilih mereka lagi. Lumrah manusia adalah pelupa  jadi pilihanraya setiap 5 tahun sekali berfungsi sebagai peringatan berkala kepada hakikat penting ini. Namun sejauh mana peringatan tersebut berkesan bergantung kepada sejauh mana ia telah menjadi realiti. Seseorang yang diingatkan jangan mencuri nanti kena tangkap tapi tidak pernah melihat apatah lagi mengalami sendiri ditangkap polis akhirnya akan mengangap ingatan tersebut tidak lebih daripada satu ilusi berbanding sebuah realiti yang perlu digeruni.

Begitu juga dengan kerajaan yang telah memerintah selama lebih 50 tahun dan tidak pernah mengalami pengalaman 'ditukar' oleh rakyat, akhirnya akan kalis dan peringatan 5 tahun sekali bukan lagi sebuah pilihanraya yang perlu digeruni tapi hari raya yang disambut dengan gembira. Sejauh mana bagusnya sesebuah kerajaan yang memerintah itu, ia perlu ditukar secara berkala bagi memastikan situasi semak dan imbang (check and balance) sentiasa wujud. Kalau tidak apa gunanya diadakan pilihanraya setiap 5 tahun dengan menelan kos berjuta ringgit.

Jadi apabila membincangkan demokrasi di Malaysia amat penting untuk melihat kepada aspek realiti terlebih dahulu berbanding catatan indah di kertas yang hanya lunak untuk dibaca di dalam kelas pengajian tetapi tidak dalam kehidupan harian. Sebuah kerajaan yang tidak pernah dibayangi hakikat akan ditukar oleh rakyat tidak akan merasa gerun lagi untuk melakukan kesilapan dan dari sinilah bercambah segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan korupsi.

Thursday, February 28, 2013

Masakan Ayam

Semasa saya tinggal di Taman Teratai 6 tahun lepas, ada sebuah restoran mamak tidak jauh dari tempat saya tinggal. Saya bukanlah peminat masakan mamak namun ada tukang masak melayu, orang Kelantan (siam) yang membuat masakan panas pada sebelah malam. Lagipun itu saja kedai makan yang ada kat situ pada masa itu. Berbeza dengan sekarang bilangan gerai makan agak banyak pada sebelah malam.

Tidak ada apa yang istimewa dengan masakan tukang masak melayu tersebut, orang kat situ panggil dia Awe (Awang). Tetapi satu yang membezakan dia dengan tempat lain adalah cara dia masak ayam. Jika anda perhatikan di kedai-kedai makan melayu, jika anda minta masakan ayam, sama ada ayam goreng kunyit, paprik ayam atau apa saja yang berasaskan ayam, mereka akan gunakan bahagian isi sahaja. Awe bagaimanapun berbeza, dia masak ayam termasuk bahagian tulang seperti peha, kepak atau bahagian belakang ayam. Itulah yang membuatkan saya suka masakan awe. Ia seperti masakan di rumah.

Setakat ini saya belum jumpa lagi kedai makan yang membuat masakan seperti awe. Dah lama saya tidak merasa masakan Awe. Setelah saya pindah balik Johor  3 tahun lepas, pastinya saya mengunjungi restoran tersebut untuk mencuba masakan Awe. Sayang, restoran tersebut telah pun berganti pemilik dan Awe pun tidak lagi memasak masakan panas di situ.

Download arkib tweet

Kebanyakkan laman sosial hari ini seperti Facebook atau Google+ mempunyai fungsi yang membolehkan anda memuat-turun arkib post sejak daripada anda mula menyertai laman tersebut sehingga masa kini. Hari ini secara kebetulan saya dapati Twitter juga mempunyai fungsi yang sama. Ianya boleh diakses melalui ruangan Settings ==> Account, anda akan dapati butang untuk request arkib tersebut.



Setelah anda klik butang request tersebut, ia akan dihantar ke laman email anda. Ia mungkin mengambil sedikit masa bergantung kepada jumlah tweet yang anda ada. Arkib tersebut dihantar ke email anda dalam bentuk fail zip. Unzip fail tersebut dan anda akan dapati beberapa jenis fail. Double-klik fail bernama index.html dan ia akan dibuka melalui pelayar web (browser) di komputer anda.


Agak menarik juga melihat trend tweet anda selama menggunakan Twitter. Contohnya dalam gambar di atas saya agak aktif menggunakan Twitter pada tahun 2008 dan 2009.

Monday, February 25, 2013

Phishing

Dapat DM (Direct Message) Twitter daripada seorang rakan. Mesejnya berbunyi:-

"Have you seen this pic of you? lol bit.ly/XaUiJS "

Sebenarnya dah selalu dapat mesej sebegini daripada beberapa rakan yang lain tapi saya abaikan saja sebab tau ianya bukan daripada rakan tersebut. Kemungkinan besar akaun mereka dah kena 'hijack' oleh worm tanpa pengetahuan mereka. Namun kali ini saya mengambil kesempatan untuk meneliti apa kandungan link tersebut. Pertama sekali, link tersebut berbentuk 'short url' yang mana ianya cuma 'alias' kepada link sebenar yang lebih panjang. 'Short url' ini biasa digunakan oleh 'phisher' untuk mengelirukan pengguna akan lokasi sebenar link tersebut.

Untuk mengetahui lokasi sebenar link short url, boleh gunakan laman http://longurl.org. Melalui laman longurl.org, saya dapat link sebenar iaitu:-

http://trvitter.com/o/verify/?&account_secure_login

Apabila saya buka lama tersebut, ia kelihatan seperti laman Twitter dan meminta saya memasukkan semula password Twitter saya kerana (kononnya) 'session' saya dah expired.


Teknik 'phishing' di atas amat biasa digunakan dan tujuan utama adalah untuk mencuri nama pengguna serta password twitter mangsa. Browser Firefox bagaimana pun akan mengeluarkan 'warning' apabila anda cuba membuka laman tersebut.


Satu sebab yang bagus untuk menggunakan pelayar Firefox berbanding Google Chrome nampaknya :)

Tuesday, February 12, 2013

Rasa nak terbelit lidah sebut www ? Ia tak perlu sebenarnya



Satu salah faham orang ramai bukan dalam bidang IT adalah untuk menyebut alamat sesuatu laman web, mesti mula dengan www. Prefix www pada permulaan alamat web adalah tinggalan zaman awal web dan sudah tidak begitu relevan sekarang. Ia adalah satu 'convention' yang digunakan oleh admin sistem di zaman lampau untuk merujuk kepada salah satu 'service' pada server tersebut iaitu World Wide Web. Untuk pengetahuan pembaca yang dihormati, Internet mempunyai banyak service seperti WWW, Email, FTP, Gopher, Newsgroup, IRC, Telnet dan sebagainya. Sebahagian daripada 'service' ini sudah tidak digunakan lagi dan seperti mana yang kita sedia maklum, WWW dan Email adalah 'service' yang berjaya menarik perhatian umum dan terus melalui inovasi serta penambahbaikan sehingga kini.

Walaupun banyak laman web masih menggunakan prefix www spt www.google.com, cukup utk anda menaip google.com dan semua pelayar web akan tau anda cuba mengakses service www di server google.com. Kadang-kadang ada juga yang menyebut alamat blogspot mereka sebagai www.blogsaya.blogspot.com. Ia lebih-lebih lagi tidak perlu.

Tuesday, January 22, 2013

DuckDuckGo - Enjin Carian Alternatif kepada Google

DuckDuckGo (DDG) adalah enjin carian baru yang semakin meningkat naik penggunaannya, walaupun masih agak jauh untuk menandingi Google. DDG digemari oleh mereka yang tidak suka akan amalan Google yang menyimpan jejak carian penggunanya. DDG sebagaimana mottonya "We believe in better search and not tracking" tidak akan menyimpan sebarang jejak carian anda. Namun bagi saya yang lebih penting daripada itu adalah DDG boleh mengeluarkan anda daripada "search bubble".

"Search bubble" adalah satu konsep di mana hasil carian yang dipaparkan oleh enjin carian adalah berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti apa yang anda minat, kedudukan geografi, jantina, jenis pekerjaan dan sebagainya. Kriteria-kriteria ini dikenalpasti oleh enjin carian melalui jejak-jejak data yang dikutip sepanjang anda menggunakan perkhidmatan berkenaan ataupun yang lain-lain yang ada kaitan dengan enjin carian tersebut. "Search bubble" boleh menghasilkan situasi di mana maklumat yang anda dapat terlalu bias kepada apa yang anda minat atau setuju sahaja. Ia umpama menonton satu siaran televisyen ataupun membaca satu akhbar kegemaran anda sahaja. Konsep ini diterangkan dengan lebih jelas oleh laman web dontbubble.us.

Paparan laman DDG tidak jauh bezanya dengan Google, sebagaimana dalam screenshot di bawah.


Hasil carian daripada DDG kadang-kadang kurang memuaskan berbanding apa yang anda dapat melalui Google. Dalam situasi ini saya biasanya menggunakan fungsi DDG yang boleh melakukan carian melalui laman lain seperti Google atau Bing. Caranya mudah sahaja, jika anda mencari kata kunci seperti "resepi sate ayam", tukarkan kata kunci tersebut kepada "!g resepi sate ayam", anda akan dihantar ke laman Google beserta dengan hasil carian bagi kata kunci tersebut. Kelebihan menggunakan cara ini adalah carian tersebut tidak akan dijejak oleh Google.

Selain carian, DDG juga mempunyai banyak fungsi-fungsi lain dan ini antara sebab saya menggunakannya. Contohnya untuk menukar nilai matawang:-


Atau menukar kalendar masihi kepada Hijri:-



Dan banyak lagi fungsi-fungsi lain seperti menukar zon waktu, kalkulator, carian tempat, jana password dan lain-lain. Anda boleh lihat senarai keseluruhan di laman Goodies. Jika nama duckduckgo.com terlalu panjang untuk ditaip, anda boleh menggunakan versi yang lebih pendek iaitu ddg.gg.