Friday, April 26, 2013

Demokrasi: Realiti dan Ilusi

Semua sedia maklum negara kita Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Antara premis utama dalam sebuah negara demokrasi ialah rakyat mempunyai hak untuk memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara melalui satu sistem pilihanraya. Di Malaysia, hak memilih tersebut ialah setiap 5 tahun sekali dan pilihanraya yang paling hampir adalah yang ke-13 pada 5 Mei ini.

Hak rakyat untuk memilih kerajaan adalah satu bentuk peringatan penting kepada kerajaan bahawa tugas utama mereka adalah berkhidmat untuk rakyat dan jika gagal, rakyat tidak akan memilih mereka lagi. Lumrah manusia adalah pelupa  jadi pilihanraya setiap 5 tahun sekali berfungsi sebagai peringatan berkala kepada hakikat penting ini. Namun sejauh mana peringatan tersebut berkesan bergantung kepada sejauh mana ia telah menjadi realiti. Seseorang yang diingatkan jangan mencuri nanti kena tangkap tapi tidak pernah melihat apatah lagi mengalami sendiri ditangkap polis akhirnya akan mengangap ingatan tersebut tidak lebih daripada satu ilusi berbanding sebuah realiti yang perlu digeruni.

Begitu juga dengan kerajaan yang telah memerintah selama lebih 50 tahun dan tidak pernah mengalami pengalaman 'ditukar' oleh rakyat, akhirnya akan kalis dan peringatan 5 tahun sekali bukan lagi sebuah pilihanraya yang perlu digeruni tapi hari raya yang disambut dengan gembira. Sejauh mana bagusnya sesebuah kerajaan yang memerintah itu, ia perlu ditukar secara berkala bagi memastikan situasi semak dan imbang (check and balance) sentiasa wujud. Kalau tidak apa gunanya diadakan pilihanraya setiap 5 tahun dengan menelan kos berjuta ringgit.

Jadi apabila membincangkan demokrasi di Malaysia amat penting untuk melihat kepada aspek realiti terlebih dahulu berbanding catatan indah di kertas yang hanya lunak untuk dibaca di dalam kelas pengajian tetapi tidak dalam kehidupan harian. Sebuah kerajaan yang tidak pernah dibayangi hakikat akan ditukar oleh rakyat tidak akan merasa gerun lagi untuk melakukan kesilapan dan dari sinilah bercambah segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan korupsi.