Tuesday, January 22, 2013

DuckDuckGo - Enjin Carian Alternatif kepada Google

DuckDuckGo (DDG) adalah enjin carian baru yang semakin meningkat naik penggunaannya, walaupun masih agak jauh untuk menandingi Google. DDG digemari oleh mereka yang tidak suka akan amalan Google yang menyimpan jejak carian penggunanya. DDG sebagaimana mottonya "We believe in better search and not tracking" tidak akan menyimpan sebarang jejak carian anda. Namun bagi saya yang lebih penting daripada itu adalah DDG boleh mengeluarkan anda daripada "search bubble".

"Search bubble" adalah satu konsep di mana hasil carian yang dipaparkan oleh enjin carian adalah berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti apa yang anda minat, kedudukan geografi, jantina, jenis pekerjaan dan sebagainya. Kriteria-kriteria ini dikenalpasti oleh enjin carian melalui jejak-jejak data yang dikutip sepanjang anda menggunakan perkhidmatan berkenaan ataupun yang lain-lain yang ada kaitan dengan enjin carian tersebut. "Search bubble" boleh menghasilkan situasi di mana maklumat yang anda dapat terlalu bias kepada apa yang anda minat atau setuju sahaja. Ia umpama menonton satu siaran televisyen ataupun membaca satu akhbar kegemaran anda sahaja. Konsep ini diterangkan dengan lebih jelas oleh laman web dontbubble.us.

Paparan laman DDG tidak jauh bezanya dengan Google, sebagaimana dalam screenshot di bawah.


Hasil carian daripada DDG kadang-kadang kurang memuaskan berbanding apa yang anda dapat melalui Google. Dalam situasi ini saya biasanya menggunakan fungsi DDG yang boleh melakukan carian melalui laman lain seperti Google atau Bing. Caranya mudah sahaja, jika anda mencari kata kunci seperti "resepi sate ayam", tukarkan kata kunci tersebut kepada "!g resepi sate ayam", anda akan dihantar ke laman Google beserta dengan hasil carian bagi kata kunci tersebut. Kelebihan menggunakan cara ini adalah carian tersebut tidak akan dijejak oleh Google.

Selain carian, DDG juga mempunyai banyak fungsi-fungsi lain dan ini antara sebab saya menggunakannya. Contohnya untuk menukar nilai matawang:-


Atau menukar kalendar masihi kepada Hijri:-



Dan banyak lagi fungsi-fungsi lain seperti menukar zon waktu, kalkulator, carian tempat, jana password dan lain-lain. Anda boleh lihat senarai keseluruhan di laman Goodies. Jika nama duckduckgo.com terlalu panjang untuk ditaip, anda boleh menggunakan versi yang lebih pendek iaitu ddg.gg.