Monday, October 27, 2014

Dari Mana Kita Bermula ?

Untuk memahami sebuah aturcara komputer, kita perlu terlebih dahulu mengenal pasti daripada mana aturcara tersebut bermula. Dalam bahasa programmer, ia dipanggil entry-point.

Tidak tahu di mana entry-point tidak bermakna programmer tidak boleh meneruskan pembangunan sebuah aturcara. Aturcara komputer hari ini adalah begitu kompleks, ramai saja programmer yang tidak ambil kisah pun di mana entry-point sebuah aturcara dan masih tetap dapat meneruskan pembangunan aturcara tersebut.

Namun tidak mengetahui di mana entry-point akan menyebabkan programmer sentiasa dalam kebingungan apabila berlaku sesuatu masalah pada aturcara yang mereka bangunkan. Mereka terpaksa meneka-neka dalam kegelapan akan punca sesuatu masalah (bug).

Begitu juga kehidupan ini, kita perlu tahu dari mana dan bagaimana kita bermula. Jika tidak, kita akan meraba-raba dalam kegelapan apabila ada masalah melanda kehidupan kita.

Sunday, October 26, 2014

Bahasa Yang Paling Mudah Dipelajari

Perbincangan yang menarik berkaitan bahasa apa yang paling senang dipelajari. Jawapan utama, yang menggunakan carta daripada Defense Language Institute (DLI) agak bias kepada mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

DLI mengkelaskan tahap kesukaran seperti berikut:-
  • Category I languages, 26-week courses, include Spanish, French, Italian and Portuguese.
  • Category II, 35 weeks, includes German and Indonesian
  • Category III, 48 weeks, includes Dari, Persian Farsi, Russian, Uzbek, Hindi, Urdu, Hebrew, Thai, Serbian Croatian, Tagalog, Turkish, Sorani and Kurmanji
  • Category IV, 64 weeks, includes Arabic, Chinese Mandarin, Korean, Japanese and Pashto
Seperti mana yang dapat kita baca melalui komen-komen yang lain, tahap kesukaran relatifnya berbeza mengikut bahasa utama seseorang. Contohnya ada yang menganggap bahasa percakapan Mandarin adalah lebih senang dipelajari walaupun DLI meletakkannya pada kategori IV (paling sukar).

Komen yang paling menarik (berkaitan objektiviti jawapan) adalah daripada Kai Schwind:-

Interesting, yes, but not really objective since it takes English native speakers as a point of departure. Since it is impossible to NOT speak a language we won't be able to assess which ones are hardest to learn. We have to wait until that Alien invasion takes place and see which ones they pick up fastest... 
http://www.quora.com/What-is-the-easiest-spoken-language-to-learn

Tuesday, October 07, 2014

Selamatkan laman web daripada hilang

Anda mungkin pernah mengalami, link yang dikongsi oleh rakan-rakan, atau yang anda bookmark satu ketika dahulu, kini hanya memaparkan mesej "Not Found" apabila cuba dicapai. Laman web hanyalah sebuah fail yang dikongsi secara umum di komputer pelayan web (web server). Komputer tersebut mungkin sebuah pelayan (server) di dalam sebuah data center gergasi, ataupun sebuah komputer biasa di ceruk rumah atau pejabat seseorang. Apabila fail tersebut dipadam, atau komputer (server) itu sendiri yang tamat riwayatnya, hilanglah laman yang anda cuba capai.

Dalam erti kata lain, laman web yang ada hari ini datang dan pergi. Ia tidak akan kekal. Sejarah dunia IT telah pun mencatat laman-laman web yang wujud suatu ketika dahulu, kini hanya tinggal nama. Anda mungkin pernah dengar nama Geocities, ia salah satu yang hanya wujud di celah lipatan sejarah dunia maya.

Ada pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan (preserve) laman-laman web ini daripada terus hilang. Salah satu usaha yang paling signifikan pada pandangan saya adalah daripada Archive.org. Fungsi Wayback Machine membolehkan anda kembali ke belakang, untuk melihat bagaimana sesebuah laman web kelihatan di masa lampau. Laman  web pertama yang saya bina (selepas mempelajari HTML) contohnya, masih boleh dilihat di laman archive.org.

Laman archive.org bagaimana pun tidak membenarkan anda untuk menghantar laman web yang anda mahu arkibkan. Jadi ia hanya bergantung kepada crawler archive.org menemui laman anda. Untuk tujuan ini, saya gunakan laman archive.today yang membenarkan saya hantar link yang hendak diarkib.

Bagaimana pun baru-baru ini, saya perasan yang archive.org mempunyai fungsi baru yang dipanggil "Save Page Now". Sama dengan laman archive.today, ia membenarkan anda untuk memasukkan link yang anda hendak arkibkan. Jadi jika ada laman web yang anda rasa penting untuk anda, boleh gunakan kedua-dua perkhidmatan ini untuk memastikan ia tidak akan hilang.



Satu lagi kegunaan khidmat arkib ini ialah apabila anda hendak memasukkan sesuatu link ke dalam penulisan anda. Jadi tidaklah apabila pembaca tulisan anda cuba mencapai link yang anda sertakan, link tersebut sudah pun hilang. Ini pastinya amat penting jika penulisan tersebut berbentuk ilmiah seperti tesis dan jurnal.

Saturday, September 20, 2014

Nama-nama Domain Yang Anda Mungkin Tidak Pernah Dengar

Update Jun 2017

Kesemua domain-domain baru ini diwujudkan di bawah program New gTLD Program oleh ICANN. Di bawah program ini, nama top-level-domain (TLD) tidak lagi dihadkan kepada beberapa nama sahaja. Sebaliknya ICANN terbuka kepada sebarang proposal untuk TLD yang baru.

Dan antara yang diperkenalkan di bawah program New gTLD ini adalah brand domain. Brand domain ini adalah TLD yang dimiliki dan diuruskan oleh nama-nama jenama terkenal seperti apple, nike, google, facebook dan sebagainya. Contohnya, google mempunyai domain mereka sendiri iaitu .google, dan antara website yang mereka bangunkan di bawah domain ini adalah blog.google dan domains.google !

***************

Nama domain yang berakhir dengan .com, .net, .org, .edu, .my sudah biasa didengari oleh warga Internet. Seiring dengan perkembangan Internet, banyak nama domain baru yang diperkenalkan sehingga mungkin ada antara kita yang tidak pernah mendengarnya atau tidak menyangka sama sekali ia wujud.

Dalam tulisan ini saya cuba senaraikan beberapa nama domain yang mungkin jarang kita dengar:-

.today
Tujuan domain ini diperkenalkan adalah untuk kegunaan umum. Sesuai untuk laman web yang ingin memaparkan maklumat semasa seperti laman berita. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal sedikit berbanding .com, sekitar RM50-60. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah archive.today.

.chat
Baru dibuka mulai Mei 2015. Melihat kepada nama, domain ini sesuai untuk laman web berorientasikan komunikasi. Saya jumpa domain ini melalui laman hack.chat. Juga diuruskan oleh Donuts. Agak mahal harga untuk domain ini, tinjauan ringkas di laman pendaftaran nama domain menunjukkan harganya sekitar USD39++ setahun,

.xyz
Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan nama domain yang senang diingati, sesuai untuk kegunaan individu atau organisasi. Diuruskan oleh XYZ.COM LLC. Harganya lebih kurang dengan harga .com, sekitar RM30-40. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah ceo.xyz, milik Daniel Negari, CEO XYZ.COM.

Pada 10 Ogos 2015 juga, Google mengumumkan pembentukan entiti baru mereka yang dinamakan Alphabet dan domain yang mereka gunakan untuk entiti baru tersebut adalah abc.xyz !

.life
Tiada maklumat ditemui berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal, RM80++. Tiada laman web menarik ditemui menggunakan domain ini melainkan beberapa blog seperti dan.life, xpat.life, simplified.life dan www.organized.life.

.io
Domain ini sudah menjadi popular sekarang tapi saya senaraikan juga di sini. Ia pada mulanya khusus untuk British Indian Ocean Territory, sebuah pulau tanah jajahan British di Lautan Hindi. Domain ini popular di kalangan syarikat-syarikat startup IT dan selalu digunakan sebagai domain untuk perkhidmatan yang mereka tawarkan. Harganya agak mahal, RM190++.

.guru
Tiada maklumat rasmi daripada ICANN berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Kemungkinan ia disasarkan untuk laman web daripada pakar dalam sesuatu topik. Harganya agak mahal juga, RM90++. Tiada laman menarik ditemui menggunakan domain ini.

.menu
Domain yang menarik untuk pengusaha restoran atau mereka yang terlibat dalam industri makanan. Cuma sayang, makanan.menu sudah pun dibeli. Harganya boleh tahan mahal, RM16++. Cuma satu laman web saya temui menggunakan domain ini iaitu one.menu.

.tips
Domain ini saya rasa dalam kategori yang sama dengan .guru atau .expert tapi mungkin sesuai dengan mereka yang tidak ingin menganggap diri mereka sebagai pakar. Sayang sekali lagi, domain kerjaya.tips telah pun diambil orang.

.pro
Ia adalah nama domain ke-7 yang diluluskan oleh ICANN, bersama dengan .info, .biz, .name, .museum, .coop dan .aero. Pendaftaran domain ini bagaimana pun memerlukan beberapa syarat, antaranya mempunyai lesen atau kelayakan yang diiktiraf oleh badan kerajaan sebagai profesional dalam bidang yang berkaitan. Antara laman web yang ditemui menggunakan domain ini adalah www.techwell.pro, sebuah laman berita berkaitan perkembangan terkini dalam industri pembangunan perisian.

.watch
Mula dibuka pada 23 January 2014. Pendaftarannya terbuka kepada sesiapa sahaja tapi mungkin sesuai untuk laman berkaitan media, video streaming ataupun NGO bersifat watchdog, contohnya rasuah.watch. Harganya agak mahal juga, lebih kurang RM90++ setahun.

.rocks
Mula dibuka untuk pendaftaran pada 10 April, 2014. Buat masa sekarang nampaknya banyak digunakan oleh laman-laman bertemakan muzik. Saya mula tahu berkenaan domain ini melalui seorang rakan FB yang menggunakannya untuk laman yang beliau bangunkan. Tidak bertemakan muzik tapi tetap satu pilihan nama yang menarik - demo.rocks - untuk web developer memuat naik aplikasi yang mereka bangunkan khusus untuk demo. Harga domain ini juga agak murah, lebih kurang RM30++ setahun.

.run
Mula dibuka untuk pendaftaran pada Ogos, 2015. Contoh laman web yang menggunakan domain ini adalah apex.run. Harganya agak mahal, sekitar RM150++ setahun.

Ada banyak lagi domain-domain menarik lain. Mungkin anda boleh turut berkongsi nama-nama domain yang anda rasa unik dan mungkin juga 'catchy'.

Thursday, August 28, 2014

Macam Astro Tapi Bukan Astro

Kerap kali pertanyaan tentang Skybox/Openbox atau apa-apa perkhidmatan seumpamanya muncul di wall FB. Untuk mengelakkan saya terpaksa mengulang balik setiap kali pertanyaan itu muncul, saya cuba kongsikan di sini apa yang saya faham berkaitan Skybox/Openbox ini.

Gambar hiasan - sumber.


Secara umumnya, perkhidmatan ini adalah satu bentuk card sharing. Seorang melanggan secara penuh perkhidmatan tv satelit berbayar (seperti Astro) dan kemudian kongsi langganannya kepada orang lain. Namun ada sedikit halangan teknikal sebelum perkongsian tersebut boleh dilakukan.

Semua signal siaran tv satelit berbayar telah dienkripkan. Jadi walaupun kita dapat menerima siaran tersebut melalui piring penerima satelit di rumah kita, ia tetap tidak dapat ditonton melalui tv kerana signalnya dalam bentuk scrambled. Itulah fungsi dekoder astro dan simcard yang dimasukkan padanya. Dalam simcard tersebut, ada encryption key yang digunakan untuk decrypt signal daripada astro.

Tapi itu tidak menghalang orang untuk berfikir sedikit kreatif bagi mengatasi halangan ini. Apa yang diperlukan cuma encryption key. Ia boleh didapati melalui pelbagai cara selain simcard. Salah satunya adalah melalui Internet.

Ini adalah sebab kenapa Skybox/Openbox memerlukan akses Internet. Dekoder Skybox akan menghubungi server penyedia perkhidmatan tersebut yang akan berkongsi encryption key dan hasilnya pelanggan Skybox dapat menonton siaran Astro melalui tv mereka. Internet hanya digunakan untuk mendapatkan encryption key jadi ia tidak perlukan bandwidth yang tinggi.

Selain perkhidmatan tv satelit berbayar, sebenarnya ada banyak juga tv satelit percuma. Ia dipanggil Free To Air Sattelite TV (FTA). Anda boleh cuba google untuk mendapatkan senarai FTA di Asia. Siaran FTA ini boleh dicapai melalui piring satelit Astro anda setelah melakukan sedikit penalaan frekuensi dan mungkin mengubah kedudukan piring itu sedikit.

Apa yang saya perhatikan, kebanyakkan penyedia Skybox sekarang turut memasukkan fungsi untuk mengakses siaran FTA ke dalam dekoder mereka. Ini memudahkan pengguna kerana mereka tidak perlu membuat penalaan sendiri lagi.

Adakah perkhidmatan ini sah disisi undang-undang ? Saya tidak pasti. Saya bukan pelanggan Astro jadi saya tidak tahu apakah terma dan syarat mereka berkaitan card-sharing. Namun ada laporan akhbar sebelum ini berkaitan tangkapan terhadap penyedia perkhidmatan tv satelit.

Berkenaan FTA pula, saya ada jumpa perbincangan yang mengatakan sebarang akses kepada signal satelit di luar jarak tertentu memerlukan permit khas kerajaan dan buat masa sekarang, hanya Astro ada kebenaran tersebut.

Rujukan lain:-

http://blogsatellite.com/satellite-card-sharing-what-is-it-exactly.html
http://security.stackexchange.com/questions/41797/is-it-possible-to-decrypt-a-satellite-tv-signal-without-using-a-smart-card
http://satelitinew.wordpress.com/cardsharing/

Monday, August 25, 2014

Contoh Praktikal Cari Gambar Guna Gambar

Membuat verifikasi terhadap maklumat yang anda jumpa di Internet, menggunakan kaedah cari gambar guna gambar Google.

Saya ternampak satu gambar yang di'share' kat G+.



Tips yang menarik, tapi adakah ia daripada Kevin Zahri sendiri ? Menggunakan kaedah cari gambar guna gambar Google, saya dapat hasil berikut:-



Ada 95 results, tidak ada satu pun daripada page Kevin Zahri sendiri. Kesimpulan:-

Gambar tersebut tidak dibuat oleh Kevin Zahri sendiri.
Kemungkinan ada yang membuat gambar tersebut berdasarkan maklumat yang dia dapat daripada blog Kevin Zahri.

Point penting kat sini bukan maklumat tersebut tidak betul tapi gambar itu bukan dibuat oleh Kevin Zahri sendiri. Ini kerana pertama kali melihat gambar tersebut, saya sangkakan ia dihasilkan oleh Kevin Zahri sendiri.

Ini contoh mudah. Begitu jugalah dengan apa-apa saja maklumat yang anda dapat di Internet. Sangkaan pertama anda mungkin tidak tepat sama sekali setelah dibuat sedikit penyelidikan. Mungkin salah, mungkin tidak tepat atau fahamannya tidak pada konteks.

Elakkan share hanya pada pandangan pertama. Selidik dahulu.

Saturday, August 23, 2014

Anda tahu harga beberapa barang keperluan harian ?

Sering kali bila membeli barang di kedai-kedai runcit, kita tertanya-tanya sama ada harga barang tersebut berpatutan atau pun agak mahal daripada harga biasa. Jangan terkejut jika beza harga kedai-kedai runcit dan malah dengan pasar raya besar sekali pun boleh mencecah sehingga 3 ke 5 ringgit.

Berikut senarai beberapa barangan keperluan harian yang saya ambil daripada laman Cari Harga Barang:-

Beras 10 Kg - RM24 - RM26.
Ayam Bersih Standard 1KG - Paling murah RM5.20 di Simpang Renggam, Johor dan paling mahal RM10 di Sandakan, Sabah.
Minyak Masak 5KG - RM13 - RM14. Rata-rata tempat adalah RM13.35 tapi ada kedai runcit di Johor yang menjual pada harga RM13.60.
Daging Lembu Tempatan 1Kg - RM20 - RM30 tapi ada tempat mencecah lebih RM30.
Kicap Manis 345ML - RM4.65 - RM5.80.
Pencuci Pinggan 500ML - RM4.00.
Santan Kelapa 1Kg - RM7.00 - RM10.00.
Santan Segera 200ML - RM2.40.
Sos Cili 500G - RM2.89 - RM3.89.
Sabun Mandi 500ML - RM9.90 - RM10.90.

Anda boleh membuat carian melalui laman Cari Harga Barang untuk lebih banyak barang-barang keperluan lain.

Friday, August 22, 2014

Ingin kongsi tulisan blog dengan cantik di Facebook ?

Anda mungkin biasa jumpa link yang orang share di FB tampak cantik dan kemas sekali, lengkap dengan imej thumbail beserta description berkaitan post tersebut. Lihat contoh di bawah:-



Tapi bila anda cuba share post daripada blog anda, mungkin hanya kelihatan seperti berikut:-



Tak menarik ... :(

Facebook akan mencerap beberapa tags khas untuk dapatkan maklumat seperti nama website, keterangan (description), thumbnail serta sedikit petikan teks (snippet) daripada link yang kita share. Tags itu dipanggil OpenGraph (OG).

Kita perlu masukkan tags OG ini ke dalam laman kita. Untuk pengguna Blogger (blogspot), masukkan tags berikut ke dalam template:-



Seterusnya untuk test perubahan ini, boleh gunakan https://developers.facebook.com/tools/debug.

Untuk pastikan petikan teks keluar, kena enable terlebih dahulu Search Preferences pada bahagian settings. Selepas itu setiap kali menulis post baru, anda kena masukkan petikan teks tersebut di bahagian Search Description, pada sebelah kanan ruangan menulis dalam Blogger.


Rujukan asal:-
http://support.addthis.com/customer/portal/articles/1399895-adding-open-graph-tags-using-blogger
http://exde601e.blogspot.com/2012/10/open-graph-markup-for-blogger-version-3.html

Sunday, August 10, 2014

Cari Gambar Guna Gambar

Katakan ada orang share gambar melalui FB dan tidak dinyatakan sumber asal gambar tersebut. Bagaimana kita boleh jejak asal-usul gambar tersebut ? Google Image Search mempunyai fungsi tersebut. Buka laman Google dan klik pada link Images dan anda akan mendapat paparan seperti berikut:-


Seterusnya klik pada ikon kamera dan anda akan mendapat pop-up untuk upload gambar yang ingin dijejak.



Setelah berjaya mengupload gambar, Google akan memulakan proses carian dan memaparkan hasilnya seperti di bawah:-




Sunday, August 03, 2014

Menguruskan maklumat di newsfeed FB

Sudah lama sebenarnya bercadang menulis berkaitan topik ini, sebagai lanjutan kepada status pendek di facebook suatu ketika dahulu.

Masalah utama pengguna FB bila bilangan 'friends' meningkat adalah newsfeed yang semakin semak - ada post pasal aktiviti harian, isu politik, perbincangan ilmiah dan paling banyak - iklan. Akhirnya topik yang kita ingin baca tenggelam dalam topik yang kita tidak berapa minat.

Solusi pertama saya sebelum ini adalah dengan 'unfriend' dengan mereka yang saya sudah tidak minat hendak baca apa yang mereka post. Tapi ada cara yang lebih baik sebenarnya.

Facebook ada features yang dipanggil List. Cuba lihat sebelah kiri laman FB anda, anda boleh nampak menu seperti gambar di bawah:-



Secara default, ada 3 list disediakan oleh FB - Close Friends, Acquaintances, Family. Masukkan friend yang status mereka anda tidak begitu minat ke dalam List Acquaintances. Facebook akan mula mengurangkan status daripada mereka untuk muncul dalam Newsfeed anda.

Cara untuk masukkan friend ke dalam List ini adalah dengan klik pada link tersebut dan pada sebelah kanan anda akan dapat lihat paparan seperti berikut:-



Cara alternatif adalah dengan 'Unfollow' orang yang anda tidak minat tetapi saya tidak begitu gemarkan cara ini sebab anda langsung tidak akan dapat update daripada orang tersebut. Dengan meletakkannya dalam List Acquaintances, anda masih boleh dapat update tetapi kekerapannya akan berkurang.

Friend yang anda berminat untuk dapatkan update daripada mereka pula, masukkan ke dalam List Close Friends. Anda hanya perlu klik terus pada List ini untuk membaca status mereka, tanpa perlu scroll panjang melalui Newsfeed. Fokus !

Bonus

Follow update daripada Page tanpa perlu Like ataupun Follow page tersebut. Caranya adalah dengan buat List baru. Saya ada terangkan secara ringkas dalam status fb sebelum ini. Insya Allah saya akan terangkan lagi dalam tulisan akan datang.

Tuesday, July 01, 2014

Telco di Malaysia dan MVNO

[Ralat]
Seorang rakan yang bekerja dalam bidang telekomunikasi telah meluangkan masa menerangkan secara panjang lebar berkaitan industri telekomunikasi di Malaysia. Terdapat beberapa kesalahan fakta dalam penerangan di bawah. Saya akan cuba betulkan tulisan ini apabila keadaan mengizinkan.

  • Terdapat 9 pemegang lesen operator mudah alih di Malaysia, bukan 3.
*************************************************************************

Telco atau operator rangkaian telefon mudah alih di Malaysia cuma 3 iaitu Celcom, Maxis dan Digi. Bagaimana pula dengan U-Mobile, RedTone, TuneTalk, Salamfone, Altel dan sebagainya ? 'Telco' baru ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan, bermacam-macam nama kita dengar saban hari. Seolah-olah banyak sekali syarikat telekomunikasi mobil di Malaysia. Syarikat-syarikat ini dipanggil MVNO (Mobile Virtual Network Operator). Dalam bahasa mudah mereka adalah reseller kepada telco seperti Celcom, Maxis atau Digi. Mereka tidak mempunyai rangkaian dan infrastruktur sendiri, sebaliknya menumpang pada 3 telco yang ada. Malah ada MVNO ini yang dimiliki oleh telco itu sendiri.


Gambar hiasan - Pembahagian spektrum oleh SKMM

Dalam model bisnes MVNO ini, syarikat-syarikat ini akan membuat perjanjian dengan mana-mana telco utama untuk membeli secara pukal akses kepada perkhidmatan seperti panggilan suara (voice call), SMS dan data dan kemudian menjual balik kepada pelanggan biasa pada kadar yang mereka tetapkan sendiri. Ini biasa dilakukan melalui pelan-pelan yang lebih kompetitif atau pun menyasarkan demografi pelanggan yang lebih spesifik, contohnya Salamfone menyasarkan kepada pengguna muslim.

Model bisnes MVNO ini berkembang agak pesat di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini dan turut mendorong kepada perkembangan model bisnes di sekitarnya iaitu MVNE dan MVNA. Walaupun MVNO tidak perlu menguruskan sistem serta infrastruktur rangkaian mereka sendiri, pengetahuan dalam teknologi rangkaian mudah alih masih diperlukan untuk memberikan perkhidmatan yang cekap dan efisien. MVNE (Mobile Virtual Network Enabler) memainkan peranan di sini di mana mereka menyediakan keseluruhan sistem untuk menguruskan rangkaian. Kerancakan syarikat-syarikat baru untuk menyertai bisnes MVNO juga mendorong kewujudan MVNA (Mobile Virtual Network Aggregator). MVNA bertindak menjadi master MVNO di mana mereka menyewa rangkaian dengan telco dan kemudian menjual balik kepada MVNO yang lain. Dengan ini syarikat yang ingin memulakan bisnes MVNO tidak lagi perlu berurusan terus dengan telco. Mereka hanya perlu fokus kepada pembangunan jenama serta pelan untuk menarik pelanggan.

Secara mudahnya, MVNO adalah satu bentuk bisnes reseller. Jadi jika anda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Celcom contohnya dan membuat keputusan untuk bertukar ke Syarikat XXX, kemungkinan besar syarikat XXX masih menggunakan Celcom.

Untuk melihat senarai MVNO yang ada di Malaysia dan telco yang mereka gunakan di belakang, boleh rujuk artikel A quick list of MVNOs, MVNAs and MVNEs in Malaysia di laman techattack.my.

Saturday, June 21, 2014

Backup data Facebook

Sebelum ini saya pernah tulis pasal backup tweet daripada akaun Twitter anda. Facebook juga mempunyai fungsi yang sama. Jika anda ada data yang berharga (gambar, video dsbnya) yang anda risau boleh hilang, dapatkan backup untuk data di Facebook anda dengan segera. Ikuti langkah di bawah.

Pergi ke bahagian Settings akaun Facebook anda:-



Di bahagian bawah sekali, ada link "Download a copy of your Facebook data":-



Di page seterusnya, anda akan dapat button berwarna hijau - Start My Archive:-



Selepas klik button tersebut, anda akan diminta memasukkan password anda:-



Selepas memasukkan password, akan dipaparkan sekali lagi butang "Start My Archive" di dalam popup yang sama. Klik butang tersebut:-



Facebook akan memaparkan mesej yang backup data anda sedang dijana dan akan dihantar ke alamat email yang anda gunakan untuk mendaftar akaun Facebook sebelum ini.



Akhir sekali anda akan mendapat mesej seperti berikut:-



Data backup yang dijana oleh Facebook akan dihantar ke alamat email anda jadi jangan lupa periksa email anda dan seterusnya download melalui link yang diberikan dalam email tersebut.

Saturday, June 07, 2014

Panduan Penggunaan Minyak Masak Berulang-kali

Isunya mula-mula jumpa kat sini - http://www.mamapeduli.info/2014/01/tiga-kali-guna-jadi-racun.html

Seperti biasa saya agak kecewa dengan  blog copy-paste yang hanya letak content semata-mata untuk tarik masuk trafik ke blog mereka. Jadi saya google untuk dapatkan artikel asal daripada Bahagian Kawalan dan Keselamatan Makanan, KKM:-

http://fsq.moh.gov.my/v4/index.php/component/k2/item/674-isu-akrolein-dalam-minyak-masak-terpakai
https://archive.today/Uu3ig (sekiranya link di atas tidak dapat dicapai).

Dalam artikel di laman KKM itu ada dinyatakan tentang panduan penggunaan minyak masak berulang-kali tapi tidak disertakan link. Jadi saya terpaksa google sekali lagi:-

http://fsq.moh.gov.my/v4/index.php/component/k2/item/685-panduan-penggunaan-minyak-masak-berulang-kali
https://archive.today/DeMry (sekiranya link di atas tidak dapat dicapai)

Page di atas cuma pengenalan, panduan sebenar adalah dalam fail PDF:-

http://fsq.moh.gov.my/v4/images/filepicker_users/5ec35272cb-78/Penerbitan/Artikel/minyak-masak.pdf

https://drive.google.com/file/d/0B5cT2VZ_w4J-VmlnaVBqTHJ2Vk0/edit?usp=sharing (jika link di atas tidak dapat dicapai).

Wednesday, April 30, 2014

Pengira Sejagat

Mungkin ada ketika anda perlu mengira sesuatu dengan cepat:-

Berapa jam antara masa sekian dan sekian ?
Berapa hari antara tarikh sekian dan sekian ?
Pukul berapakah waktu ini (Malaysia) di Jerman ? - what time now (malaysia) in german ?

Laman kegemaran saya untuk menjawab soalan-soalan di atas adalah Wolfram Alpha, sebuah laman knowledge engine yang memberikan jawapan kepada sesuatu persoalan dengan membuat pengiraan kepada data-data yang ada mengikut model-model tertentu - berbeza dengan enjian carian yang hanya menyediakan pautan kepada dokumen atau laman-laman tertentu yang mungkin mengandungi jawapan yang dicari.

Populasi Malaysia US:-



Cuma satu kekurangan ketara setakat ini adalah ia masih belum menyokong pertanyaan dalam Bahasa Melayu jadi anda perlu tahu untuk mengolah soalan dalam bahasa Inggeris.

Belajar secara maya, jarak dan kos bukan penghalang

Hari ini, banyak kursus-kursus daripada universiti-universiti terkemuka dunia boleh dicapai online secara percuma. Terma yang semakin popular akhir-akhir ini - massive open online courses (MOOCs) di mana universiti-universiti ini memberikan akses untuk umum bagi kursus-kursus yang mereka tawarkan. Tiada sebarang jam kredit diberikan tetapi kebiasaanya mereka akan memberikan Certificate of Completion bagi mengikut kursus berkenaan sehingga habis. Kita mungkin tidak mendapat sijil yang boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan tetapi ilmu yang diperolehi tidak kurang nilainya.

Isteri saya sendiri pernah mengikuti kursus berkaitan nutrisi di laman Coursera - sebuah laman MOOC yang menyediakan platform pembelajaran bagi mengikuti kursus-kursus daripada institusi pengajian seperti Stanford University, Yale University, Georgia Institute of Technology dan banyak lagi. Ianya satu pengalaman yang menyeronokkan dan buat pertama kali, dia belajar dalam keadaan betul-betul ingin belajar, bukan hanya untuk lulus dalam peperiksaan.

Saya terjumpa satu cerita yang menarik di mana seorang remaja daripada Mongolia yang mengikuti kursus online daripada MIT, akhirnya ditawarkan tempat di institusi terbabit termasuk peluang pekerjaan bagi menambahbaikan sistem pembelajaran online MIT. Battushig Myanganbayar, semasa berumur 15 tahun telah mengikuti kelas MOOCs MIT dan berjaya mendapat markah yang bagus. Penyedia kandungan kursus berkenaan telah mengangkat Battushig sebagai ikon penunjuk kejayaan kursus berkenaan, dan menyiarkan cerita berkenaan remaja terbabit di dalam akhbar New York Times. Pucuk pimpinan Edx (sebuah konsortium yang dimulakan oleh MIT untuk membangunkan kursus-kursus online terbabit) bagaimana mengambil satu langkah lagi iaitu dengan menawarkan Battushig pekerjaan dengan peranan untuk menambah-baikkan lagi kursus-kursus yang mereka sediakan.

Sumber - http://www.nytimes.com/2013/09/15/magazine/the-boy-genius-of-ulan-bator.html?pagewanted=all&_r=0

Antara cerita menarik Battushig - dia mula mengikuti kursus-kursus online MIT bukanlah atas sebab ia sebuah institusi yang ternama tetapi semata-mata hanya kerana video pengenalan kursus berkenaan menjanjikan akan mengajar bagaimana Iphone berfungsi. Battushig juga mengikuti kursus tersebut dengan cara agak 'ganjil' - untuk menjimatkan masa dia menonton dua video kuliah secara serentak iaitu dengan membaca sarikata untuk satu kuliah dan mendengar audio untuk satu kuliah yang lain ! Untuk menambahkan lagi pemahaman dengan subjek yang dipelajari, dia turut membuat video sendiri menggunakan Iphone yang diletakkan di atas buku - bertindak sebagai 'overhead projector' merakam dia membuat pengiraan di kertas serta memberi penerangan dalam bahasa Mongolia. Video itu kemudian di kongsi untuk membantu rakan sekelasnya.

Battushig Myanganbayar adalah satu daripada banyak lagi kisah-kisah bagaimana jarak dan faktor kewangan bukan lagi penghalang untuk mendapatkan pendidikan bertaraf dunia. Asalkan ada keinginan untuk belajar, peluang untuk itu mesti ada. Terpulang kepada kita untuk mendapatkannya atau tidak.

Friday, April 11, 2014

Kenapa perlu tolak berita palsu dan penyebar berita palsu ?

Kerana Islam amat menjunjung tinggi akan kebenaran. Mesej Islam itu sendiri datang dengan bukti-bukti yang lengkap, bukan sekadar omong kosong. Tradisi keilmuan Islam itu sendiri berpaksi kepada kebenaran. Lihat saja pada disiplin ilmu hadis, bagaimana sesuatu riwayat itu diperiksa dengan begitu teliti sekali, daripada matan hadis serta maksudnya, kepada latar belakang perawi dan raintaian sanad.

Namun hari ini budaya memeriksa kebenaran seakan luntur di kalangan umat Islam. Kalau tidak bagaimana khabar-khabar angin, cerita-cerita karut boleh tersebar melalui surat berantai suatu ketika dahulu dan sekarang melalui media-media sosial dan arus perdana. Lebih menyedihkan ia bukan hanya berlaku di kalangan orang awam, golongan yang bertaraf ulama juga kadang-kala terkhilaf untuk turut sama menyebarkan sesuatu yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Bermula daripada perkara-perkara berkaitan keagamaan, ia merebak sehingga kepada fakta-fakta sains dan juga berita-berita umum yang sebenarnya mungkin hanya berasal daripada permainan budak-budak nakal yang cuba mencari perhatian. Hasil akhirnya, umat Islam dan Islam itu sendiri kelihatan kelakar pada mata masyarakat ilmiah.

Menolak berita palsu itu satu perkara, menolak penyebar berita palsu adalah lebih penting kerana merekalah punca kecelaruan yang timbul. Penyebar berita palsu yang saya maksudkan di sini adalah media-media atau agensi-agensi berita yang berlumba-lumba dalam mendapatkan berita ekslusif sehingga mengabaikan prinsip-prinsip kewartawanan yang beretika. Ada yang berpendapat kita sebagai pembaca perlu bijak memilih antara berita yang benar dan baik dengan berita yang palsu. Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana penyebar-penyebar berita palsu ini adalah barah kepada masyarakat. Sel-sel barah mungkin ada yang baik tapi hasil akhirnya umum diketahui, sel-sel jahat itu tetap akan merosakkan keseluruhan sistem badan jika tidak dibuang sepenuhnya. Media-media yang berterusan menyebarkan kepalsuan ini perlu ditolak sepenuhnya supaya ruang-ruang kosong itu dapat diisi oleh mereka yang jujur dan beretika dalam menyampaikan berita.

Akhir kata, saya lebih senang terlepas untuk menyebarkan 1000 kebenaran daripada terlanjur menyebarkan satu kepalsuan. Allahu rabbi, bantulah kami di zaman-zaman yang menipu ini.

Wednesday, March 26, 2014

Kedutaan Israel di tutup

Lebih kurang 24 jam yang lepas Israel telah menutup kesemua kedutaannya diseluruh dunia. Tindakan tersebut dibuat dengan alasan bahawa "pegawai kedutaan mogok kerana gaji rendah".
Alasan tersebut adalah sesuatu yang sama sekali tidak masuk akal.Dan...setelah itu, 6 jam kemudian lebih kurang 529 pengikut Ikhwanul Muslimin telah dijatuhkan hukuman mati oleh tentera Yahudi-Mesir (Sisi).
Tatkala dunia seluruh dunia leka dengan permainan media Barat (CNN, BBC, REUTERS dll) tahukah anda bahawa tentera Yahudi-Isrel dengan kekuatan 1000 buah kereta kebal kini telah mengepung Gaza.
Berikut adalah mesej yang disampaikan ke Whatapps admin;baru dpt info dari gp lain. Rasa info ni sohih.
Gaza yg keluasannya 3 suku dari bandar Klang, kirinya laut dan border berwarna purple adalah tembok setinggi 3 tingkat binaan Zionis. Satu2nya jalan menghubungkan dgn dunia luar adalah melalui Rafah dan terowong2 disitu. Setelah kejatuhan Presiden Mesir Dr Morsi, pintu Rafah ditutup dan terowong2 dimusnahkan oleh tentera Mesir sendiri. Bantuan utk Gaza lumpuh 100%. 
Malam kelmarin wakil dr MAPIM memberitahu dikhabarkan lebih 1000 buah kereta kebal Israel di tempatkan di Rafah. Ini bermakna umat Islam Gaza telah terkepung dan pada bila-bila masa sahaja mereka akan diratah oleh Zionis. Mungkin inilah antara agenda mereka menggulingkan Dr Morsi. Saya hanya menyampaikan apa yg telah disampaikan pd saya dan jemaah yang lain oleh wakil MAPIM tentang amanat Perdana Menteri Palestin. "Kami tidak meminta kamu datang bersama2 kami mengangkat senjata kerana kami sentiasa bersedia disini utk mempertahankan tanah umat Islam,tetapi kami hanya meminta dari kamu doa kerana doa lah senjata paling hebat yg tidak ada pada org kafir. Selain itu bantulah apa saja yg kamu termampu dan tolong sebarkan tentang kami kpd semua umat Islam kerana kami terkepung utk memberitahu kpd dunia".Jika itu juga tidak mampu kamu lakukan bagaimana kamu hendak menjawab dihadapan Allah kelak?". Sila sebarkan jika anda peduli... Hj. Nazri Deraman, Pengerusi Cakna Palestin Ambil masa lebih kurang 5 minit utk sebarkn msg ini supaya kita boleh menjawab soalan dari Allah s.w.t apabila ditanya apa yg kita buat. Harap anda tidak membiarkan msg berhenti disini shja. Sebarkan...Demi agama kita, Islam. Ingat kita ni umat islam ada DOA , mari DOA kan mereka ! AllahuAkbar!!
Berita di atas tersebar di Facebook, Whatsapp dan juga Wechat. Mungkin di medium lain lagi tapi itu yang sampai kepada saya. Berita palsu sebenarnya tidak sukar untuk dikenalpasti. Ia mempunyai pattern tertentu yang bila kita baca dengan teliti, kita akan dapat agak. Dalam berita di atas, ayat yang 'trigger' spider-sense saya adalah:-

Mungkin inilah antara agenda mereka menggulingkan Dr Morsi. Saya hanya menyampaikan apa yg telah disampaikan pd saya dan jemaah yang lain oleh wakil MAPIM tentang amanat Perdana Menteri Palestin. "Kami tidak meminta kamu datang bersama2 kami mengangkat senjata ...


Ia kedengaran agak familiar. Saya cuba google ayat tersebut dan keluar beberapa hasil carian yang mempunyai ayat lebih kurang sama. Beritanya agak berlainan tapi ayat seterusnya adalah sama seperti di atas. Bila dilihat kepada tarikh berita tersebut, ada yang 2013. Ini sudah cukup untuk menunjukkan ada orang yang mungkin bosan tidak kerja, mula copy-paste dan cantum berita kedutaan Israel yang ditutup dengan ayat di atas. Seterusnya adalah pergi kepada sumber yang didakwa, dalam berita ini MAPIM. Laman FB rasmi MAPIM langsung tidak ada berita di atas. Mana mungkin berita yang didakwa daripada MAPIM tidak tersiar langsung di laman rasmi mereka. Jika anda rajin, anda boleh memeriksa sumber ketiga yang dinyatakan iaitu Hj. Nazri Deraman tapi saya berhenti setakat ini saja.

Tidak lama selepas saya menulis komen ini, seorang pengguna FB lain memberikan link kepada penafian daripada MAPIM. Alhamdulillah, ternyata ianya berita palsu.

Ia mungkin memakan masa beberapa minit untuk melakukan perkara diatas berbanding hanya menekan butang "Share" yang hanya mengambil masa beberapa saat tapi itulah yang dituntut oleh kita orang Islam - sentiasa memastikan kesahihan berita yang kita terima. Jangan kita termasuk dalam orang yang menyebarkan berita palsu.