Wednesday, April 30, 2014

Pengira Sejagat

Mungkin ada ketika anda perlu mengira sesuatu dengan cepat:-

Berapa jam antara masa sekian dan sekian ?
Berapa hari antara tarikh sekian dan sekian ?
Pukul berapakah waktu ini (Malaysia) di Jerman ? - what time now (malaysia) in german ?

Laman kegemaran saya untuk menjawab soalan-soalan di atas adalah Wolfram Alpha, sebuah laman knowledge engine yang memberikan jawapan kepada sesuatu persoalan dengan membuat pengiraan kepada data-data yang ada mengikut model-model tertentu - berbeza dengan enjian carian yang hanya menyediakan pautan kepada dokumen atau laman-laman tertentu yang mungkin mengandungi jawapan yang dicari.

Populasi Malaysia US:-



Cuma satu kekurangan ketara setakat ini adalah ia masih belum menyokong pertanyaan dalam Bahasa Melayu jadi anda perlu tahu untuk mengolah soalan dalam bahasa Inggeris.

Belajar secara maya, jarak dan kos bukan penghalang

Hari ini, banyak kursus-kursus daripada universiti-universiti terkemuka dunia boleh dicapai online secara percuma. Terma yang semakin popular akhir-akhir ini - massive open online courses (MOOCs) di mana universiti-universiti ini memberikan akses untuk umum bagi kursus-kursus yang mereka tawarkan. Tiada sebarang jam kredit diberikan tetapi kebiasaanya mereka akan memberikan Certificate of Completion bagi mengikut kursus berkenaan sehingga habis. Kita mungkin tidak mendapat sijil yang boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan tetapi ilmu yang diperolehi tidak kurang nilainya.

Isteri saya sendiri pernah mengikuti kursus berkaitan nutrisi di laman Coursera - sebuah laman MOOC yang menyediakan platform pembelajaran bagi mengikuti kursus-kursus daripada institusi pengajian seperti Stanford University, Yale University, Georgia Institute of Technology dan banyak lagi. Ianya satu pengalaman yang menyeronokkan dan buat pertama kali, dia belajar dalam keadaan betul-betul ingin belajar, bukan hanya untuk lulus dalam peperiksaan.

Saya terjumpa satu cerita yang menarik di mana seorang remaja daripada Mongolia yang mengikuti kursus online daripada MIT, akhirnya ditawarkan tempat di institusi terbabit termasuk peluang pekerjaan bagi menambahbaikan sistem pembelajaran online MIT. Battushig Myanganbayar, semasa berumur 15 tahun telah mengikuti kelas MOOCs MIT dan berjaya mendapat markah yang bagus. Penyedia kandungan kursus berkenaan telah mengangkat Battushig sebagai ikon penunjuk kejayaan kursus berkenaan, dan menyiarkan cerita berkenaan remaja terbabit di dalam akhbar New York Times. Pucuk pimpinan Edx (sebuah konsortium yang dimulakan oleh MIT untuk membangunkan kursus-kursus online terbabit) bagaimana mengambil satu langkah lagi iaitu dengan menawarkan Battushig pekerjaan dengan peranan untuk menambah-baikkan lagi kursus-kursus yang mereka sediakan.

Sumber - http://www.nytimes.com/2013/09/15/magazine/the-boy-genius-of-ulan-bator.html?pagewanted=all&_r=0

Antara cerita menarik Battushig - dia mula mengikuti kursus-kursus online MIT bukanlah atas sebab ia sebuah institusi yang ternama tetapi semata-mata hanya kerana video pengenalan kursus berkenaan menjanjikan akan mengajar bagaimana Iphone berfungsi. Battushig juga mengikuti kursus tersebut dengan cara agak 'ganjil' - untuk menjimatkan masa dia menonton dua video kuliah secara serentak iaitu dengan membaca sarikata untuk satu kuliah dan mendengar audio untuk satu kuliah yang lain ! Untuk menambahkan lagi pemahaman dengan subjek yang dipelajari, dia turut membuat video sendiri menggunakan Iphone yang diletakkan di atas buku - bertindak sebagai 'overhead projector' merakam dia membuat pengiraan di kertas serta memberi penerangan dalam bahasa Mongolia. Video itu kemudian di kongsi untuk membantu rakan sekelasnya.

Battushig Myanganbayar adalah satu daripada banyak lagi kisah-kisah bagaimana jarak dan faktor kewangan bukan lagi penghalang untuk mendapatkan pendidikan bertaraf dunia. Asalkan ada keinginan untuk belajar, peluang untuk itu mesti ada. Terpulang kepada kita untuk mendapatkannya atau tidak.

Friday, April 11, 2014

Kenapa perlu tolak berita palsu dan penyebar berita palsu ?

Kerana Islam amat menjunjung tinggi akan kebenaran. Mesej Islam itu sendiri datang dengan bukti-bukti yang lengkap, bukan sekadar omong kosong. Tradisi keilmuan Islam itu sendiri berpaksi kepada kebenaran. Lihat saja pada disiplin ilmu hadis, bagaimana sesuatu riwayat itu diperiksa dengan begitu teliti sekali, daripada matan hadis serta maksudnya, kepada latar belakang perawi dan raintaian sanad.

Namun hari ini budaya memeriksa kebenaran seakan luntur di kalangan umat Islam. Kalau tidak bagaimana khabar-khabar angin, cerita-cerita karut boleh tersebar melalui surat berantai suatu ketika dahulu dan sekarang melalui media-media sosial dan arus perdana. Lebih menyedihkan ia bukan hanya berlaku di kalangan orang awam, golongan yang bertaraf ulama juga kadang-kala terkhilaf untuk turut sama menyebarkan sesuatu yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Bermula daripada perkara-perkara berkaitan keagamaan, ia merebak sehingga kepada fakta-fakta sains dan juga berita-berita umum yang sebenarnya mungkin hanya berasal daripada permainan budak-budak nakal yang cuba mencari perhatian. Hasil akhirnya, umat Islam dan Islam itu sendiri kelihatan kelakar pada mata masyarakat ilmiah.

Menolak berita palsu itu satu perkara, menolak penyebar berita palsu adalah lebih penting kerana merekalah punca kecelaruan yang timbul. Penyebar berita palsu yang saya maksudkan di sini adalah media-media atau agensi-agensi berita yang berlumba-lumba dalam mendapatkan berita ekslusif sehingga mengabaikan prinsip-prinsip kewartawanan yang beretika. Ada yang berpendapat kita sebagai pembaca perlu bijak memilih antara berita yang benar dan baik dengan berita yang palsu. Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana penyebar-penyebar berita palsu ini adalah barah kepada masyarakat. Sel-sel barah mungkin ada yang baik tapi hasil akhirnya umum diketahui, sel-sel jahat itu tetap akan merosakkan keseluruhan sistem badan jika tidak dibuang sepenuhnya. Media-media yang berterusan menyebarkan kepalsuan ini perlu ditolak sepenuhnya supaya ruang-ruang kosong itu dapat diisi oleh mereka yang jujur dan beretika dalam menyampaikan berita.

Akhir kata, saya lebih senang terlepas untuk menyebarkan 1000 kebenaran daripada terlanjur menyebarkan satu kepalsuan. Allahu rabbi, bantulah kami di zaman-zaman yang menipu ini.