Saturday, September 20, 2014

Nama-nama Domain Yang Anda Mungkin Tidak Pernah Dengar

Update Jun 2017

Kesemua domain-domain baru ini diwujudkan di bawah program New gTLD Program oleh ICANN. Di bawah program ini, nama top-level-domain (TLD) tidak lagi dihadkan kepada beberapa nama sahaja. Sebaliknya ICANN terbuka kepada sebarang proposal untuk TLD yang baru.

Dan antara yang diperkenalkan di bawah program New gTLD ini adalah brand domain. Brand domain ini adalah TLD yang dimiliki dan diuruskan oleh nama-nama jenama terkenal seperti apple, nike, google, facebook dan sebagainya. Contohnya, google mempunyai domain mereka sendiri iaitu .google, dan antara website yang mereka bangunkan di bawah domain ini adalah blog.google dan domains.google !

***************

Nama domain yang berakhir dengan .com, .net, .org, .edu, .my sudah biasa didengari oleh warga Internet. Seiring dengan perkembangan Internet, banyak nama domain baru yang diperkenalkan sehingga mungkin ada antara kita yang tidak pernah mendengarnya atau tidak menyangka sama sekali ia wujud.

Dalam tulisan ini saya cuba senaraikan beberapa nama domain yang mungkin jarang kita dengar:-

.today
Tujuan domain ini diperkenalkan adalah untuk kegunaan umum. Sesuai untuk laman web yang ingin memaparkan maklumat semasa seperti laman berita. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal sedikit berbanding .com, sekitar RM50-60. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah archive.today.

.chat
Baru dibuka mulai Mei 2015. Melihat kepada nama, domain ini sesuai untuk laman web berorientasikan komunikasi. Saya jumpa domain ini melalui laman hack.chat. Juga diuruskan oleh Donuts. Agak mahal harga untuk domain ini, tinjauan ringkas di laman pendaftaran nama domain menunjukkan harganya sekitar USD39++ setahun,

.xyz
Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan nama domain yang senang diingati, sesuai untuk kegunaan individu atau organisasi. Diuruskan oleh XYZ.COM LLC. Harganya lebih kurang dengan harga .com, sekitar RM30-40. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah ceo.xyz, milik Daniel Negari, CEO XYZ.COM.

Pada 10 Ogos 2015 juga, Google mengumumkan pembentukan entiti baru mereka yang dinamakan Alphabet dan domain yang mereka gunakan untuk entiti baru tersebut adalah abc.xyz !

.life
Tiada maklumat ditemui berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal, RM80++. Tiada laman web menarik ditemui menggunakan domain ini melainkan beberapa blog seperti dan.life, xpat.life, simplified.life dan www.organized.life.

.io
Domain ini sudah menjadi popular sekarang tapi saya senaraikan juga di sini. Ia pada mulanya khusus untuk British Indian Ocean Territory, sebuah pulau tanah jajahan British di Lautan Hindi. Domain ini popular di kalangan syarikat-syarikat startup IT dan selalu digunakan sebagai domain untuk perkhidmatan yang mereka tawarkan. Harganya agak mahal, RM190++.

.guru
Tiada maklumat rasmi daripada ICANN berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Kemungkinan ia disasarkan untuk laman web daripada pakar dalam sesuatu topik. Harganya agak mahal juga, RM90++. Tiada laman menarik ditemui menggunakan domain ini.

.menu
Domain yang menarik untuk pengusaha restoran atau mereka yang terlibat dalam industri makanan. Cuma sayang, makanan.menu sudah pun dibeli. Harganya boleh tahan mahal, RM16++. Cuma satu laman web saya temui menggunakan domain ini iaitu one.menu.

.tips
Domain ini saya rasa dalam kategori yang sama dengan .guru atau .expert tapi mungkin sesuai dengan mereka yang tidak ingin menganggap diri mereka sebagai pakar. Sayang sekali lagi, domain kerjaya.tips telah pun diambil orang.

.pro
Ia adalah nama domain ke-7 yang diluluskan oleh ICANN, bersama dengan .info, .biz, .name, .museum, .coop dan .aero. Pendaftaran domain ini bagaimana pun memerlukan beberapa syarat, antaranya mempunyai lesen atau kelayakan yang diiktiraf oleh badan kerajaan sebagai profesional dalam bidang yang berkaitan. Antara laman web yang ditemui menggunakan domain ini adalah www.techwell.pro, sebuah laman berita berkaitan perkembangan terkini dalam industri pembangunan perisian.

.watch
Mula dibuka pada 23 January 2014. Pendaftarannya terbuka kepada sesiapa sahaja tapi mungkin sesuai untuk laman berkaitan media, video streaming ataupun NGO bersifat watchdog, contohnya rasuah.watch. Harganya agak mahal juga, lebih kurang RM90++ setahun.

.rocks
Mula dibuka untuk pendaftaran pada 10 April, 2014. Buat masa sekarang nampaknya banyak digunakan oleh laman-laman bertemakan muzik. Saya mula tahu berkenaan domain ini melalui seorang rakan FB yang menggunakannya untuk laman yang beliau bangunkan. Tidak bertemakan muzik tapi tetap satu pilihan nama yang menarik - demo.rocks - untuk web developer memuat naik aplikasi yang mereka bangunkan khusus untuk demo. Harga domain ini juga agak murah, lebih kurang RM30++ setahun.

.run
Mula dibuka untuk pendaftaran pada Ogos, 2015. Contoh laman web yang menggunakan domain ini adalah apex.run. Harganya agak mahal, sekitar RM150++ setahun.

Ada banyak lagi domain-domain menarik lain. Mungkin anda boleh turut berkongsi nama-nama domain yang anda rasa unik dan mungkin juga 'catchy'.

3 comments:

Anonymous said...

domain .rocks https://demo.rocks

Kamal Mustafa said...

Terima kasih. Dah masukkan ke dalam senarai.

Anonymous said...

Domain .xyz cuma USD1 sehingga september ini ! - https://www.namecheap.com/domains/registration/gtld/xyz.aspx