Monday, October 27, 2014

Dari Mana Kita Bermula ?

Untuk memahami sebuah aturcara komputer, kita perlu terlebih dahulu mengenal pasti daripada mana aturcara tersebut bermula. Dalam bahasa programmer, ia dipanggil entry-point.

Tidak tahu di mana entry-point tidak bermakna programmer tidak boleh meneruskan pembangunan sebuah aturcara. Aturcara komputer hari ini adalah begitu kompleks, ramai saja programmer yang tidak ambil kisah pun di mana entry-point sebuah aturcara dan masih tetap dapat meneruskan pembangunan aturcara tersebut.

Namun tidak mengetahui di mana entry-point akan menyebabkan programmer sentiasa dalam kebingungan apabila berlaku sesuatu masalah pada aturcara yang mereka bangunkan. Mereka terpaksa meneka-neka dalam kegelapan akan punca sesuatu masalah (bug).

Begitu juga kehidupan ini, kita perlu tahu dari mana dan bagaimana kita bermula. Jika tidak, kita akan meraba-raba dalam kegelapan apabila ada masalah melanda kehidupan kita.

Sunday, October 26, 2014

Bahasa Yang Paling Mudah Dipelajari

Perbincangan yang menarik berkaitan bahasa apa yang paling senang dipelajari. Jawapan utama, yang menggunakan carta daripada Defense Language Institute (DLI) agak bias kepada mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

DLI mengkelaskan tahap kesukaran seperti berikut:-
  • Category I languages, 26-week courses, include Spanish, French, Italian and Portuguese.
  • Category II, 35 weeks, includes German and Indonesian
  • Category III, 48 weeks, includes Dari, Persian Farsi, Russian, Uzbek, Hindi, Urdu, Hebrew, Thai, Serbian Croatian, Tagalog, Turkish, Sorani and Kurmanji
  • Category IV, 64 weeks, includes Arabic, Chinese Mandarin, Korean, Japanese and Pashto
Seperti mana yang dapat kita baca melalui komen-komen yang lain, tahap kesukaran relatifnya berbeza mengikut bahasa utama seseorang. Contohnya ada yang menganggap bahasa percakapan Mandarin adalah lebih senang dipelajari walaupun DLI meletakkannya pada kategori IV (paling sukar).

Komen yang paling menarik (berkaitan objektiviti jawapan) adalah daripada Kai Schwind:-

Interesting, yes, but not really objective since it takes English native speakers as a point of departure. Since it is impossible to NOT speak a language we won't be able to assess which ones are hardest to learn. We have to wait until that Alien invasion takes place and see which ones they pick up fastest... 
http://www.quora.com/What-is-the-easiest-spoken-language-to-learn

Tuesday, October 07, 2014

Selamatkan laman web daripada hilang

Anda mungkin pernah mengalami, link yang dikongsi oleh rakan-rakan, atau yang anda bookmark satu ketika dahulu, kini hanya memaparkan mesej "Not Found" apabila cuba dicapai. Laman web hanyalah sebuah fail yang dikongsi secara umum di komputer pelayan web (web server). Komputer tersebut mungkin sebuah pelayan (server) di dalam sebuah data center gergasi, ataupun sebuah komputer biasa di ceruk rumah atau pejabat seseorang. Apabila fail tersebut dipadam, atau komputer (server) itu sendiri yang tamat riwayatnya, hilanglah laman yang anda cuba capai.

Dalam erti kata lain, laman web yang ada hari ini datang dan pergi. Ia tidak akan kekal. Sejarah dunia IT telah pun mencatat laman-laman web yang wujud suatu ketika dahulu, kini hanya tinggal nama. Anda mungkin pernah dengar nama Geocities, ia salah satu yang hanya wujud di celah lipatan sejarah dunia maya.

Ada pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan (preserve) laman-laman web ini daripada terus hilang. Salah satu usaha yang paling signifikan pada pandangan saya adalah daripada Archive.org. Fungsi Wayback Machine membolehkan anda kembali ke belakang, untuk melihat bagaimana sesebuah laman web kelihatan di masa lampau. Laman  web pertama yang saya bina (selepas mempelajari HTML) contohnya, masih boleh dilihat di laman archive.org.

Laman archive.org bagaimana pun tidak membenarkan anda untuk menghantar laman web yang anda mahu arkibkan. Jadi ia hanya bergantung kepada crawler archive.org menemui laman anda. Untuk tujuan ini, saya gunakan laman archive.today yang membenarkan saya hantar link yang hendak diarkib.

Bagaimana pun baru-baru ini, saya perasan yang archive.org mempunyai fungsi baru yang dipanggil "Save Page Now". Sama dengan laman archive.today, ia membenarkan anda untuk memasukkan link yang anda hendak arkibkan. Jadi jika ada laman web yang anda rasa penting untuk anda, boleh gunakan kedua-dua perkhidmatan ini untuk memastikan ia tidak akan hilang.



Satu lagi kegunaan khidmat arkib ini ialah apabila anda hendak memasukkan sesuatu link ke dalam penulisan anda. Jadi tidaklah apabila pembaca tulisan anda cuba mencapai link yang anda sertakan, link tersebut sudah pun hilang. Ini pastinya amat penting jika penulisan tersebut berbentuk ilmiah seperti tesis dan jurnal.