Friday, August 04, 2017

Review pendek filem Teacher's Diary

Aku terjumpa filem ni masa dok browse kat youtube. Tak sangka ia filem yang menarik. Kisah 2 orang guru yang dihantar mengajar ke sekolah "rumah bot" di pedalaman. Aku tak nak cerita lebih-lebih, nanti spoiler pulak.

http://www.imdb.com/title/tt3500528/

Jadi aku cuma kongsikan satu detik berkesan bagi aku dalam filem ini. Iaitu semasa Ms Ann cuba memujuk salah seorang pelajar untuk kembali ke sekolah. Ms Ann menggunakan alasan, dengan belajar kita akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan berbagai jenis pekerjaan di luar sana, tidak terhad kepada hanya menjadi nelayan. Alasan itu nampaknya sukar difahami oleh Con, yang tidak nampak sebarang masalah dengan menjadi nelayan, pekerjaan yang telah dilakukan oleh datuk dan ayahnya. Mr. Song bagaimanapun berjaya memujuk Con kembali ke sekolah, alasannya lebih dekat dan mudah difahami oleh minda Con.

Menonton filem ini, aku tidak dapat lari daripada teringat kepada filem-filem sebelum ini seperti Three Idiots (Amir Khan) dan novel serta filem Laskar Pelangi. Kesemuanya cuba mengajak kita melihat pendidikan daripada sudut yang berlainan. Dialog antara Ms. Ann dan Nui di akhir filem ini antaranya, cuba menyimpulkan erti sebenar pendidikan yang berbeza pemahamannya antara Nui, seorang guru di bandar, dan Ms. Ann serta Mr. Song yang mengajar di pedalaman.

Jalan cerita filem ini bagi aku menarik, dan tidak terlalu tipikal. Aku anggap sesuatu jalan cerita itu menarik bila ia membuatkan kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku, dan kadang-kadang mendorong kita untuk undur ke belakang untuk cuba memahaminya dengan lebih baik.

Filem ini bagi aku sesuai untuk tontonan bersama keluarga. Tiada adegan yang kurang enak, kecuali beberapa dialog tertentu.