Tuesday, October 07, 2014

Selamatkan laman web daripada hilang

Anda mungkin pernah mengalami, link yang dikongsi oleh rakan-rakan, atau yang anda bookmark satu ketika dahulu, kini hanya memaparkan mesej "Not Found" apabila cuba dicapai. Laman web hanyalah sebuah fail yang dikongsi secara umum di komputer pelayan web (web server). Komputer tersebut mungkin sebuah pelayan (server) di dalam sebuah data center gergasi, ataupun sebuah komputer biasa di ceruk rumah atau pejabat seseorang. Apabila fail tersebut dipadam, atau komputer (server) itu sendiri yang tamat riwayatnya, hilanglah laman yang anda cuba capai.

Dalam erti kata lain, laman web yang ada hari ini datang dan pergi. Ia tidak akan kekal. Sejarah dunia IT telah pun mencatat laman-laman web yang wujud suatu ketika dahulu, kini hanya tinggal nama. Anda mungkin pernah dengar nama Geocities, ia salah satu yang hanya wujud di celah lipatan sejarah dunia maya.

Ada pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan (preserve) laman-laman web ini daripada terus hilang. Salah satu usaha yang paling signifikan pada pandangan saya adalah daripada Archive.org. Fungsi Wayback Machine membolehkan anda kembali ke belakang, untuk melihat bagaimana sesebuah laman web kelihatan di masa lampau. Laman  web pertama yang saya bina (selepas mempelajari HTML) contohnya, masih boleh dilihat di laman archive.org.

Laman archive.org bagaimana pun tidak membenarkan anda untuk menghantar laman web yang anda mahu arkibkan. Jadi ia hanya bergantung kepada crawler archive.org menemui laman anda. Untuk tujuan ini, saya gunakan laman archive.today yang membenarkan saya hantar link yang hendak diarkib.

Bagaimana pun baru-baru ini, saya perasan yang archive.org mempunyai fungsi baru yang dipanggil "Save Page Now". Sama dengan laman archive.today, ia membenarkan anda untuk memasukkan link yang anda hendak arkibkan. Jadi jika ada laman web yang anda rasa penting untuk anda, boleh gunakan kedua-dua perkhidmatan ini untuk memastikan ia tidak akan hilang.



Satu lagi kegunaan khidmat arkib ini ialah apabila anda hendak memasukkan sesuatu link ke dalam penulisan anda. Jadi tidaklah apabila pembaca tulisan anda cuba mencapai link yang anda sertakan, link tersebut sudah pun hilang. Ini pastinya amat penting jika penulisan tersebut berbentuk ilmiah seperti tesis dan jurnal.

No comments: