Showing posts with label isu. Show all posts
Showing posts with label isu. Show all posts

Friday, April 11, 2014

Kenapa perlu tolak berita palsu dan penyebar berita palsu ?

Kerana Islam amat menjunjung tinggi akan kebenaran. Mesej Islam itu sendiri datang dengan bukti-bukti yang lengkap, bukan sekadar omong kosong. Tradisi keilmuan Islam itu sendiri berpaksi kepada kebenaran. Lihat saja pada disiplin ilmu hadis, bagaimana sesuatu riwayat itu diperiksa dengan begitu teliti sekali, daripada matan hadis serta maksudnya, kepada latar belakang perawi dan raintaian sanad.

Namun hari ini budaya memeriksa kebenaran seakan luntur di kalangan umat Islam. Kalau tidak bagaimana khabar-khabar angin, cerita-cerita karut boleh tersebar melalui surat berantai suatu ketika dahulu dan sekarang melalui media-media sosial dan arus perdana. Lebih menyedihkan ia bukan hanya berlaku di kalangan orang awam, golongan yang bertaraf ulama juga kadang-kala terkhilaf untuk turut sama menyebarkan sesuatu yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Bermula daripada perkara-perkara berkaitan keagamaan, ia merebak sehingga kepada fakta-fakta sains dan juga berita-berita umum yang sebenarnya mungkin hanya berasal daripada permainan budak-budak nakal yang cuba mencari perhatian. Hasil akhirnya, umat Islam dan Islam itu sendiri kelihatan kelakar pada mata masyarakat ilmiah.

Menolak berita palsu itu satu perkara, menolak penyebar berita palsu adalah lebih penting kerana merekalah punca kecelaruan yang timbul. Penyebar berita palsu yang saya maksudkan di sini adalah media-media atau agensi-agensi berita yang berlumba-lumba dalam mendapatkan berita ekslusif sehingga mengabaikan prinsip-prinsip kewartawanan yang beretika. Ada yang berpendapat kita sebagai pembaca perlu bijak memilih antara berita yang benar dan baik dengan berita yang palsu. Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana penyebar-penyebar berita palsu ini adalah barah kepada masyarakat. Sel-sel barah mungkin ada yang baik tapi hasil akhirnya umum diketahui, sel-sel jahat itu tetap akan merosakkan keseluruhan sistem badan jika tidak dibuang sepenuhnya. Media-media yang berterusan menyebarkan kepalsuan ini perlu ditolak sepenuhnya supaya ruang-ruang kosong itu dapat diisi oleh mereka yang jujur dan beretika dalam menyampaikan berita.

Akhir kata, saya lebih senang terlepas untuk menyebarkan 1000 kebenaran daripada terlanjur menyebarkan satu kepalsuan. Allahu rabbi, bantulah kami di zaman-zaman yang menipu ini.

Sunday, March 14, 2010

Internet dan kesan terhadap bahasa.

"Bahasa amat berkait rapat dengan perkembangan budaya sesuatu bangsa. Kegagalan bangsa Melayu untuk berbahasa dengan betul dapat dilihat dalam ketiadaan sebuah budaya saintifik dalam pembangunan bangsa kita. Bahasa menterjemahkan pemikiran. Bahasa yang tunggang-langgang, caca merba dengan bahasa lain tanpa disiplin yang tetap, melambangkan pemikiran yang caca merba juga."

Melungsuri blog-blog tempatan kadang-kadang buat aku rasa takut dan rimas. Sudah amat jarang aku luangkan masa untuk membaca blog-blog tempatan. Masa online aku sekarang banyak dihabiskan di laman berkaitan dengan bidang kerjaya aku sahaja - programming.

Kebolehcapaian (accessibility) yang tinggi terhadap web dan segala macam aplikasinya untuk menghasilkan kandungan (content) - Facebook, Twitter, Blogger, Wordpress (sekadar menyebut beberapa nama) menyebabkan orang tak perlu 'berfikir' untuk menerbitkan sesuatu di web. Cuma perlu taip, tekan butang 'Post', 'Publish' dll, apa yang anda tulis akan tersebar ke serata Internet melalui web, email atau IM. Satu kesan paling ketara adalah terhadap penggunaan bahasa. 80% daripada kandungan blog tempatan (yang aku sempat baca) langsung tidak memberi sebarang perhatian terhadap aspek bahasa. Tunggang-langgang, bercampur baur Melayu-Inggeris dan mengabaikan segala bentuk peraturan tatabahasa dan 'typography'.

Yang paling menakutkan, sindrom ini menular kepada setiap peringkat umur sama ada remaja, dewasa, malah di kalangan guru-guru sekali. Aku cuma boleh berharap cikgu-cikgu ini bukan guru bahasa di sekolah masing-masing.

Sunday, August 30, 2009

Menguruskan Kutipan Derma Secara telus

Akhir-akhir ni agak kerap yang datang ketuk pintu rumah, nak kutip derma untuk organisasi tertentu. Aku kurang senang sebenarnya dengan kaedah sebegini. Dalam keadaan ramai yang cuba mengambil kesempatan, kaedah kutipan sebegini rasanya sudah tidak boleh dipakai.

Sukar nak tentukan ianya betul atau tidak.
Faktor psikologi - Kadang-kadang serba salah berapa nak bagi. Sikit sangat segan, banyak tak mampu.

Sebab tu bagi aku yang lebih efisien bagi mereka yang nak menganjurkan kutipan derma, buat satu persediaan lengkap. Sekurang-kurangnya nombor akaun bank yang digunakan untuk menyimpan dana yang dikutip. Lagi bagus kalau ada laman web khas (zaman sekarang pakai Facebook pun ok). Laman web ni kalau dapat 'peer-review' akan meningkatkan lagi kredibilitinya. Bayangkan kalau dekat Facebook, rakan anda memberi ulasan positif (atau 'Like' dalam fungsi Facebook), sudah tentu anda bertambah yakin terhadap kesahihan kutipan tersebut.

Bagi sukarela yang terlibat pula, apabila pergi dari rumah ke rumah tugas mereka hanyalah mengedarkan risalah berkaitan kutipan derma tersebut. Dalam erti kata lain, mereka hanya menimbulkan kesedaran (raising awareness) terhadap kutipan tersebut. Orang yang menderma pula, dapat melakukannya dengan rasa yakin (selepas menyemak maklumat yang diberikan) dan yang paling penting dapat melakukannya tanpa rasa segan dan sebagainya.

Baru sebentar tadi ada orang ketuk pintu rumah, nak kutip derma untuk Yayasan Latihan Insan Istimewa Ipoh.

"Awak bagi la no. akaun bank, nanti kalau ada masa saya check", aku terus potong cakap dia yang tengah nak terangkan pasal kutipan derma tu.

"Takde lah bang. Saya buat ni pun cuma tolong kawan je, mana ada akaun bank".

"Awak buat kutipan derma mesti ada akaun bank, kalau tak mana awak nak simpan duit tu. Lain kali buat betul-betul la, saya bukan taknak bagi".

Budak tu tak nak mengalah, "Kalau abang ada cek, abang tulis je lah atas nama ni".

Budak ni, takkan aku nak tulis cek sepuluh ringgit je.

"Maaflah, kalau awak ada nombor akaun saya boleh check nanti kalau ada masa", tutup bicara, malas dah nak layan.

Oleh sebab budak tu tinggalkan nama organisasi yang buat kutipan derma tu, aku google jugak nama yang dia berikan. Sebab dah janji, tak baik janji kosong. Nama tersebut ada disenaraikan kat laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kat Facebook pun ada group yang menyatakan organisasi tersebut. Jadi boleh dianggap kutipan derma yang sah. Oleh kerana di laman web JKM tu ada sertakan sekali nombor akaun bank. aku buat interbank transfer ke akaun tersebut. Sikit je, kalau banyak aku dah tulis kat sini, siap bold lagi.

Aku rasa lebih selesa dengan cara macam ni. Kalau tak macam kena paksa bila orang datang kutip derma kat rumah. Aku paranoid sebab dah pernah kena tipu, bukan sikit, banyak ! Atas nama kebajikan jugak.