Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

Saturday, September 20, 2014

Nama-nama Domain Yang Anda Mungkin Tidak Pernah Dengar

Update Jun 2017

Kesemua domain-domain baru ini diwujudkan di bawah program New gTLD Program oleh ICANN. Di bawah program ini, nama top-level-domain (TLD) tidak lagi dihadkan kepada beberapa nama sahaja. Sebaliknya ICANN terbuka kepada sebarang proposal untuk TLD yang baru.

Dan antara yang diperkenalkan di bawah program New gTLD ini adalah brand domain. Brand domain ini adalah TLD yang dimiliki dan diuruskan oleh nama-nama jenama terkenal seperti apple, nike, google, facebook dan sebagainya. Contohnya, google mempunyai domain mereka sendiri iaitu .google, dan antara website yang mereka bangunkan di bawah domain ini adalah blog.google dan domains.google !

***************

Nama domain yang berakhir dengan .com, .net, .org, .edu, .my sudah biasa didengari oleh warga Internet. Seiring dengan perkembangan Internet, banyak nama domain baru yang diperkenalkan sehingga mungkin ada antara kita yang tidak pernah mendengarnya atau tidak menyangka sama sekali ia wujud.

Dalam tulisan ini saya cuba senaraikan beberapa nama domain yang mungkin jarang kita dengar:-

.today
Tujuan domain ini diperkenalkan adalah untuk kegunaan umum. Sesuai untuk laman web yang ingin memaparkan maklumat semasa seperti laman berita. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal sedikit berbanding .com, sekitar RM50-60. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah archive.today.

.chat
Baru dibuka mulai Mei 2015. Melihat kepada nama, domain ini sesuai untuk laman web berorientasikan komunikasi. Saya jumpa domain ini melalui laman hack.chat. Juga diuruskan oleh Donuts. Agak mahal harga untuk domain ini, tinjauan ringkas di laman pendaftaran nama domain menunjukkan harganya sekitar USD39++ setahun,

.xyz
Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan nama domain yang senang diingati, sesuai untuk kegunaan individu atau organisasi. Diuruskan oleh XYZ.COM LLC. Harganya lebih kurang dengan harga .com, sekitar RM30-40. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah ceo.xyz, milik Daniel Negari, CEO XYZ.COM.

Pada 10 Ogos 2015 juga, Google mengumumkan pembentukan entiti baru mereka yang dinamakan Alphabet dan domain yang mereka gunakan untuk entiti baru tersebut adalah abc.xyz !

.life
Tiada maklumat ditemui berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal, RM80++. Tiada laman web menarik ditemui menggunakan domain ini melainkan beberapa blog seperti dan.life, xpat.life, simplified.life dan www.organized.life.

.io
Domain ini sudah menjadi popular sekarang tapi saya senaraikan juga di sini. Ia pada mulanya khusus untuk British Indian Ocean Territory, sebuah pulau tanah jajahan British di Lautan Hindi. Domain ini popular di kalangan syarikat-syarikat startup IT dan selalu digunakan sebagai domain untuk perkhidmatan yang mereka tawarkan. Harganya agak mahal, RM190++.

.guru
Tiada maklumat rasmi daripada ICANN berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Kemungkinan ia disasarkan untuk laman web daripada pakar dalam sesuatu topik. Harganya agak mahal juga, RM90++. Tiada laman menarik ditemui menggunakan domain ini.

.menu
Domain yang menarik untuk pengusaha restoran atau mereka yang terlibat dalam industri makanan. Cuma sayang, makanan.menu sudah pun dibeli. Harganya boleh tahan mahal, RM16++. Cuma satu laman web saya temui menggunakan domain ini iaitu one.menu.

.tips
Domain ini saya rasa dalam kategori yang sama dengan .guru atau .expert tapi mungkin sesuai dengan mereka yang tidak ingin menganggap diri mereka sebagai pakar. Sayang sekali lagi, domain kerjaya.tips telah pun diambil orang.

.pro
Ia adalah nama domain ke-7 yang diluluskan oleh ICANN, bersama dengan .info, .biz, .name, .museum, .coop dan .aero. Pendaftaran domain ini bagaimana pun memerlukan beberapa syarat, antaranya mempunyai lesen atau kelayakan yang diiktiraf oleh badan kerajaan sebagai profesional dalam bidang yang berkaitan. Antara laman web yang ditemui menggunakan domain ini adalah www.techwell.pro, sebuah laman berita berkaitan perkembangan terkini dalam industri pembangunan perisian.

.watch
Mula dibuka pada 23 January 2014. Pendaftarannya terbuka kepada sesiapa sahaja tapi mungkin sesuai untuk laman berkaitan media, video streaming ataupun NGO bersifat watchdog, contohnya rasuah.watch. Harganya agak mahal juga, lebih kurang RM90++ setahun.

.rocks
Mula dibuka untuk pendaftaran pada 10 April, 2014. Buat masa sekarang nampaknya banyak digunakan oleh laman-laman bertemakan muzik. Saya mula tahu berkenaan domain ini melalui seorang rakan FB yang menggunakannya untuk laman yang beliau bangunkan. Tidak bertemakan muzik tapi tetap satu pilihan nama yang menarik - demo.rocks - untuk web developer memuat naik aplikasi yang mereka bangunkan khusus untuk demo. Harga domain ini juga agak murah, lebih kurang RM30++ setahun.

.run
Mula dibuka untuk pendaftaran pada Ogos, 2015. Contoh laman web yang menggunakan domain ini adalah apex.run. Harganya agak mahal, sekitar RM150++ setahun.

Ada banyak lagi domain-domain menarik lain. Mungkin anda boleh turut berkongsi nama-nama domain yang anda rasa unik dan mungkin juga 'catchy'.

Thursday, August 28, 2014

Macam Astro Tapi Bukan Astro

Kerap kali pertanyaan tentang Skybox/Openbox atau apa-apa perkhidmatan seumpamanya muncul di wall FB. Untuk mengelakkan saya terpaksa mengulang balik setiap kali pertanyaan itu muncul, saya cuba kongsikan di sini apa yang saya faham berkaitan Skybox/Openbox ini.

Gambar hiasan - sumber.


Secara umumnya, perkhidmatan ini adalah satu bentuk card sharing. Seorang melanggan secara penuh perkhidmatan tv satelit berbayar (seperti Astro) dan kemudian kongsi langganannya kepada orang lain. Namun ada sedikit halangan teknikal sebelum perkongsian tersebut boleh dilakukan.

Semua signal siaran tv satelit berbayar telah dienkripkan. Jadi walaupun kita dapat menerima siaran tersebut melalui piring penerima satelit di rumah kita, ia tetap tidak dapat ditonton melalui tv kerana signalnya dalam bentuk scrambled. Itulah fungsi dekoder astro dan simcard yang dimasukkan padanya. Dalam simcard tersebut, ada encryption key yang digunakan untuk decrypt signal daripada astro.

Tapi itu tidak menghalang orang untuk berfikir sedikit kreatif bagi mengatasi halangan ini. Apa yang diperlukan cuma encryption key. Ia boleh didapati melalui pelbagai cara selain simcard. Salah satunya adalah melalui Internet.

Ini adalah sebab kenapa Skybox/Openbox memerlukan akses Internet. Dekoder Skybox akan menghubungi server penyedia perkhidmatan tersebut yang akan berkongsi encryption key dan hasilnya pelanggan Skybox dapat menonton siaran Astro melalui tv mereka. Internet hanya digunakan untuk mendapatkan encryption key jadi ia tidak perlukan bandwidth yang tinggi.

Selain perkhidmatan tv satelit berbayar, sebenarnya ada banyak juga tv satelit percuma. Ia dipanggil Free To Air Sattelite TV (FTA). Anda boleh cuba google untuk mendapatkan senarai FTA di Asia. Siaran FTA ini boleh dicapai melalui piring satelit Astro anda setelah melakukan sedikit penalaan frekuensi dan mungkin mengubah kedudukan piring itu sedikit.

Apa yang saya perhatikan, kebanyakkan penyedia Skybox sekarang turut memasukkan fungsi untuk mengakses siaran FTA ke dalam dekoder mereka. Ini memudahkan pengguna kerana mereka tidak perlu membuat penalaan sendiri lagi.

Adakah perkhidmatan ini sah disisi undang-undang ? Saya tidak pasti. Saya bukan pelanggan Astro jadi saya tidak tahu apakah terma dan syarat mereka berkaitan card-sharing. Namun ada laporan akhbar sebelum ini berkaitan tangkapan terhadap penyedia perkhidmatan tv satelit.

Berkenaan FTA pula, saya ada jumpa perbincangan yang mengatakan sebarang akses kepada signal satelit di luar jarak tertentu memerlukan permit khas kerajaan dan buat masa sekarang, hanya Astro ada kebenaran tersebut.

Rujukan lain:-

http://blogsatellite.com/satellite-card-sharing-what-is-it-exactly.html
http://security.stackexchange.com/questions/41797/is-it-possible-to-decrypt-a-satellite-tv-signal-without-using-a-smart-card
http://satelitinew.wordpress.com/cardsharing/

Monday, August 25, 2014

Contoh Praktikal Cari Gambar Guna Gambar

Membuat verifikasi terhadap maklumat yang anda jumpa di Internet, menggunakan kaedah cari gambar guna gambar Google.

Saya ternampak satu gambar yang di'share' kat G+.



Tips yang menarik, tapi adakah ia daripada Kevin Zahri sendiri ? Menggunakan kaedah cari gambar guna gambar Google, saya dapat hasil berikut:-



Ada 95 results, tidak ada satu pun daripada page Kevin Zahri sendiri. Kesimpulan:-

Gambar tersebut tidak dibuat oleh Kevin Zahri sendiri.
Kemungkinan ada yang membuat gambar tersebut berdasarkan maklumat yang dia dapat daripada blog Kevin Zahri.

Point penting kat sini bukan maklumat tersebut tidak betul tapi gambar itu bukan dibuat oleh Kevin Zahri sendiri. Ini kerana pertama kali melihat gambar tersebut, saya sangkakan ia dihasilkan oleh Kevin Zahri sendiri.

Ini contoh mudah. Begitu jugalah dengan apa-apa saja maklumat yang anda dapat di Internet. Sangkaan pertama anda mungkin tidak tepat sama sekali setelah dibuat sedikit penyelidikan. Mungkin salah, mungkin tidak tepat atau fahamannya tidak pada konteks.

Elakkan share hanya pada pandangan pertama. Selidik dahulu.

Saturday, August 23, 2014

Anda tahu harga beberapa barang keperluan harian ?

Sering kali bila membeli barang di kedai-kedai runcit, kita tertanya-tanya sama ada harga barang tersebut berpatutan atau pun agak mahal daripada harga biasa. Jangan terkejut jika beza harga kedai-kedai runcit dan malah dengan pasar raya besar sekali pun boleh mencecah sehingga 3 ke 5 ringgit.

Berikut senarai beberapa barangan keperluan harian yang saya ambil daripada laman Cari Harga Barang:-

Beras 10 Kg - RM24 - RM26.
Ayam Bersih Standard 1KG - Paling murah RM5.20 di Simpang Renggam, Johor dan paling mahal RM10 di Sandakan, Sabah.
Minyak Masak 5KG - RM13 - RM14. Rata-rata tempat adalah RM13.35 tapi ada kedai runcit di Johor yang menjual pada harga RM13.60.
Daging Lembu Tempatan 1Kg - RM20 - RM30 tapi ada tempat mencecah lebih RM30.
Kicap Manis 345ML - RM4.65 - RM5.80.
Pencuci Pinggan 500ML - RM4.00.
Santan Kelapa 1Kg - RM7.00 - RM10.00.
Santan Segera 200ML - RM2.40.
Sos Cili 500G - RM2.89 - RM3.89.
Sabun Mandi 500ML - RM9.90 - RM10.90.

Anda boleh membuat carian melalui laman Cari Harga Barang untuk lebih banyak barang-barang keperluan lain.

Saturday, June 07, 2014

Panduan Penggunaan Minyak Masak Berulang-kali

Isunya mula-mula jumpa kat sini - http://www.mamapeduli.info/2014/01/tiga-kali-guna-jadi-racun.html

Seperti biasa saya agak kecewa dengan  blog copy-paste yang hanya letak content semata-mata untuk tarik masuk trafik ke blog mereka. Jadi saya google untuk dapatkan artikel asal daripada Bahagian Kawalan dan Keselamatan Makanan, KKM:-

http://fsq.moh.gov.my/v4/index.php/component/k2/item/674-isu-akrolein-dalam-minyak-masak-terpakai
https://archive.today/Uu3ig (sekiranya link di atas tidak dapat dicapai).

Dalam artikel di laman KKM itu ada dinyatakan tentang panduan penggunaan minyak masak berulang-kali tapi tidak disertakan link. Jadi saya terpaksa google sekali lagi:-

http://fsq.moh.gov.my/v4/index.php/component/k2/item/685-panduan-penggunaan-minyak-masak-berulang-kali
https://archive.today/DeMry (sekiranya link di atas tidak dapat dicapai)

Page di atas cuma pengenalan, panduan sebenar adalah dalam fail PDF:-

http://fsq.moh.gov.my/v4/images/filepicker_users/5ec35272cb-78/Penerbitan/Artikel/minyak-masak.pdf

https://drive.google.com/file/d/0B5cT2VZ_w4J-VmlnaVBqTHJ2Vk0/edit?usp=sharing (jika link di atas tidak dapat dicapai).

Wednesday, April 30, 2014

Pengira Sejagat

Mungkin ada ketika anda perlu mengira sesuatu dengan cepat:-

Berapa jam antara masa sekian dan sekian ?
Berapa hari antara tarikh sekian dan sekian ?
Pukul berapakah waktu ini (Malaysia) di Jerman ? - what time now (malaysia) in german ?

Laman kegemaran saya untuk menjawab soalan-soalan di atas adalah Wolfram Alpha, sebuah laman knowledge engine yang memberikan jawapan kepada sesuatu persoalan dengan membuat pengiraan kepada data-data yang ada mengikut model-model tertentu - berbeza dengan enjian carian yang hanya menyediakan pautan kepada dokumen atau laman-laman tertentu yang mungkin mengandungi jawapan yang dicari.

Populasi Malaysia US:-



Cuma satu kekurangan ketara setakat ini adalah ia masih belum menyokong pertanyaan dalam Bahasa Melayu jadi anda perlu tahu untuk mengolah soalan dalam bahasa Inggeris.

Tuesday, January 22, 2013

DuckDuckGo - Enjin Carian Alternatif kepada Google

DuckDuckGo (DDG) adalah enjin carian baru yang semakin meningkat naik penggunaannya, walaupun masih agak jauh untuk menandingi Google. DDG digemari oleh mereka yang tidak suka akan amalan Google yang menyimpan jejak carian penggunanya. DDG sebagaimana mottonya "We believe in better search and not tracking" tidak akan menyimpan sebarang jejak carian anda. Namun bagi saya yang lebih penting daripada itu adalah DDG boleh mengeluarkan anda daripada "search bubble".

"Search bubble" adalah satu konsep di mana hasil carian yang dipaparkan oleh enjin carian adalah berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti apa yang anda minat, kedudukan geografi, jantina, jenis pekerjaan dan sebagainya. Kriteria-kriteria ini dikenalpasti oleh enjin carian melalui jejak-jejak data yang dikutip sepanjang anda menggunakan perkhidmatan berkenaan ataupun yang lain-lain yang ada kaitan dengan enjin carian tersebut. "Search bubble" boleh menghasilkan situasi di mana maklumat yang anda dapat terlalu bias kepada apa yang anda minat atau setuju sahaja. Ia umpama menonton satu siaran televisyen ataupun membaca satu akhbar kegemaran anda sahaja. Konsep ini diterangkan dengan lebih jelas oleh laman web dontbubble.us.

Paparan laman DDG tidak jauh bezanya dengan Google, sebagaimana dalam screenshot di bawah.


Hasil carian daripada DDG kadang-kadang kurang memuaskan berbanding apa yang anda dapat melalui Google. Dalam situasi ini saya biasanya menggunakan fungsi DDG yang boleh melakukan carian melalui laman lain seperti Google atau Bing. Caranya mudah sahaja, jika anda mencari kata kunci seperti "resepi sate ayam", tukarkan kata kunci tersebut kepada "!g resepi sate ayam", anda akan dihantar ke laman Google beserta dengan hasil carian bagi kata kunci tersebut. Kelebihan menggunakan cara ini adalah carian tersebut tidak akan dijejak oleh Google.

Selain carian, DDG juga mempunyai banyak fungsi-fungsi lain dan ini antara sebab saya menggunakannya. Contohnya untuk menukar nilai matawang:-


Atau menukar kalendar masihi kepada Hijri:-



Dan banyak lagi fungsi-fungsi lain seperti menukar zon waktu, kalkulator, carian tempat, jana password dan lain-lain. Anda boleh lihat senarai keseluruhan di laman Goodies. Jika nama duckduckgo.com terlalu panjang untuk ditaip, anda boleh menggunakan versi yang lebih pendek iaitu ddg.gg.

Wednesday, October 03, 2012

Aplikasi carian harga barang-barang runcit

Tujuan asal nak buat aplikasi android untuk semak harga barang-barang runcit tempatan. Dah ada laman web yang dibangunkan untuk tujuan ini iaitu laman Pricewatch 1pengguna.com dan GoGoprice. Tapi saya fikir aplikasi android yang boleh digunakan secara offline adalah lebih praktikal berbanding laman online. Walaupun akses Internet daripada telefon bimbit agak senang sekarang tapi kalau network buat hal masa tengah nak beli ikan, tak guna juga.

Langkah pertama adalah dapatkan data. Cara paling cepat adalah scrap ! (hehe ..). Kemudian mula belajar balik cara-cara nak bangunkan aplikasi android. Paling senang guna Phonegap. Masalah pertama adalah Phonegap tak support baca data daripada database yang telah siap. Alhamdulillah, yang ni dapat diatasi. Masalah kedua adalah android tak support fail lebih besar daripada 1MB dalam folder asset, tempat saya letak fail db untuk dimuatkan ke dalam telefon android. Tersangkut kat sini.

Dah tawar hati nak teruskan tapi semalam bila cuba laman GoGoprice dia cuma support carian menggunakan 1 kata kunci sahaja dan tidak boleh cari mengikut negeri/kawasan. Dapat semangat balik nak teruskan. Tak dapat buat aplikasi android, buat aplikasi web je lah dulu. Data dah ada, kod pun dah ada (daripada laman carian status halal), kena ubah sikit je. Dalam masa lebih kurang 1 jam, akhirnya dapat siapkan - http://harga.smach.net/ atau http://bit.ly/hargabarang kalau susah nak ingat. Agak kurang sempurna sekarang kerana dibuat dalam masa yang cepat tapi saya ada beberapa idea lagi nak dikembangkan daripada sini.

Bagi yang berminat untuk buat aplikasi sama boleh dapatkan data dari Scrapperwiki:-

https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_harga/
https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_kawasan/
https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_barang/

Saya asingkan scrapper sebab data kawasan dan barang agak statik dan tidak banyak berubah jadi tak perlu scrap berulang-kali.

Kod sumber laman tu sendiri boleh tengok kat github - https://github.com/k4ml/harga

Monday, May 03, 2010

Masuk Singapura dari Johor Bahru

Update
Sekarang aku naik bas pergi City Square (dari Taman U) dan terus jalan kaki ke bangunan CIQ. Naik bas Causeway Link (CW1) ke stesen MRT Kranji. Tambang RM0.90. Kalau nak balik ke JB, bas CW1 dari Kranji adalah SGD1.00. Mahal sikit bila balik. Kadang-kadang aku naik bas SBS (170/160) je kalau CW1 ramai sangat. Kat Kranji ni tak tentu, kadang-kadang beratur bukan main panjang kalau nak balik sekitar pukul 7.30-8.00 malam. Tapi yang paling leceh adalah masa nak tunggu bas kat checkpoint, lepas cop paspot.

Ada 2 pilihan, sama ada pergi ke Larkin dan ambil bas dari sana atau jalan kaki terus ke CIQ baru (Bangunan Sultan Iskandar) dari City Square dan JB Sentral. Aku ambil bas dari Larkin. Ada beberapa bas, Singapore Johor Express (SJE) - SGD2.40, SBS Transit, Causeway Link (bas kuning CW1, CW2).

Dari Larkin, bas akan bergerak ke bangunan CIQ, dari situ kena turun dan naik ke atas balai perlepasan untuk pemeriksaan passport. Bagi pemegang passport Malaysia agak senang melalui pintu automatik, cuma masukkan passport, tunggu ia dibaca oleh mesin dan sahkan dengan cap jari digital. Lepas tu kena turun bawah balik ke ruang menunggu bas. Kita boleh tunggu bas dari syarikat yang sama kita naik sebelum ini atau naik mana-mana bas yang ada mengikut destinasi yang dituju (kena bayar balik tiket). Oleh kerana bas SJE belum ada lagi, aku terus naik bas CW2 ke Kranji - RM0.90.

Dari bangunan CIQ, bas akan bergerak melintasi Tambak Johor. Sampai di Checkpoint Singapura, kena turun bas lagi untuk pemeriksaan passport. Masa ni lebih kurang pukul 10.00 pagi jadi orang dah tak ramai. Agak lancar walaupun kali ni aku kena 'full body check' dan beg semua kena selongkar. Lepas dah 'clear' semua urusan imigresen, turun ke bawah tunggu bas lagi. Macam tadi, boleh naik bas syarikat yang sama kita naik tadi atau terus naik mana-mana bas yang ada (tapi kena bayar lagi laa). Aku tunggu je bas CW2.

Rupa-rupanya dekat sangat stesen MRT Kranji dengan Checkpoint. Lebih kurang 5 minit je.