Showing posts with label ibrah. Show all posts
Showing posts with label ibrah. Show all posts

Friday, October 31, 2025

Mencari Makna Hidup

Ada satu soalan yang sering kita tunda untuk difikirkan — “Apa sebenarnya makna hidup aku?”

Ramai orang hanya mula mencari jawapan bila dah dewasa, bila kerja tak lagi memberi semangat, bila hidup terasa kosong walaupun segalanya nampak "ok" di luar. Tapi sebenarnya, pencarian makna hidup ni tak perlu menunggu umur matang atau masalah besar datang. Ia boleh -- malah patut -- bermula sejak remaja.

Dalam dunia moden, remaja sering disibukkan dengan pencapaian luaran - keputusan peperiksaan, universiti mana nak masuk, kerja apa nanti. Tapi jarang diajak untuk fikir, “Kenapa aku buat semua ni?” 

Pertanyaan “kenapa” ni lah sebenarnya akar kepada makna.

Kalau ikut konsep Ikigai dari Jepun — makna hidup terletak di persilangan antara empat perkara: apa yang kita suka, apa yang kita pandai, apa yang dunia perlukan, dan apa yang boleh beri nilai atau rezeki kepada kita.

Benda ni nampak falsafah, tapi sebenarnya sangat praktikal kalau mula dari remaja. Waktu remaja ni lah masa kita mula kenal diri — apa yang buat kita hidup, bukan sekadar wujud.

Dalam sirah Nabi, ada banyak contoh remaja yang dah jumpa “ikigai” mereka lebih awal.

Ambil contoh Mu‘adz bin Jabal — masa baru belasan tahun, dia dah menjadi antara sahabat yang paling faqih dalam agama. Nabi SAW sendiri pernah sebut, “Orang yang paling tahu halal dan haram di antara umatku ialah Mu‘adz bin Jabal.” 

Mu‘adz memeluk Islam sewaktu muda, di tangan Mus‘ab bin Umair - pendakwah pertama yang tiba di Madinah. Beliau bukan sekadar ikut, tapi benar-benar faham apa yang baginda Rasulullah bawa. Bersama beberapa anak muda lain, Mu‘adz mula menyebarkan Islam dengan cara yang bijak - mereka sembunyikan berhala kaum mereka setiap malam, sampai akhirnya seorang pemimpin tua, Amru bin al-Jamuh, sedar bahawa “tuhannya” itu tak mampu berbuat apa-apa.

Dari situ, Amru memeluk Islam - hasil kenakalan cerdik anak-anak muda yang tahu tujuan merekaNakal yang membawa hidayah.

Di usia belasan hingga awal 20-an, Mu‘adz sudah menjadi guru kepada orang lain.
Itu bukan kerana umurnya, tapi kerana makna hidupnya jelas — menuntut dan menyebarkan ilmu. 

Maknanya, Mu‘adz bukan tunggu dewasa baru serius mencari peranan hidupnya. Dia mula dengan rasa ingin tahu, belajar bersungguh, dan akhirnya tahu di mana tempat dia menyumbang.

Kalau kita tengok zaman sekarang pun, masih ada remaja yang berjaya hidup dengan “makna” mereka. 

Malala Yousafzai, misalnya, sedar sejak kecil bahawa pendidikan itu hak semua — bukan hanya untuk lelaki. Dia berjuang walau diancam nyawa, sebab dia tahu kenapa dia belajar dan kenapa dia bersuara.

Atau Boyan Slat, yang pada usia 16 tahun kecewa tengok laut penuh sampah plastik, lalu mulakan projek The Ocean Cleanup. Daripada satu idea sains di sekolah, jadi misi global yang kini bersihkan ribuan tan plastik di lautan.

Dan satu lagi kisah yang menarik - Iman Usman, pengasas RuangGuru dari Indonesia. Dia bukan sekadar minat dalam pendidikan, tapi benar-benar percaya bahawa ilmu sepatutnya boleh diakses semua orang. Sejak remaja lagi, dia terlibat dalam program sosial, mengajar anak-anak di kampung, dan menulis tentang pendidikan. Dari situ lahir satu visi besar — menjadikan teknologi sebagai alat perubahan sosial. 

Iman jumpa “ikigai” dia bukan melalui motivasi kosong, tapi melalui pengalaman membantu orang lain.

Kadang-kadang kita fikir mencari makna hidup ni berat, macam perjalanan spiritual yang rumit. Tapi sebenarnya ia boleh bermula dari soalan kecil:

  • Apa benda yang buat aku rasa hidup bila aku buatnya?

  • Masalah apa dalam dunia ni yang aku betul-betul peduli nak selesaikan?

  • Kalau aku ada masa dan tenaga, aku nak guna untuk apa?

Tak semua orang jumpa jawapan segera. Tapi proses mencari tu sendiri — bila dimulakan awal — membentuk cara kita melihat hidup. Kita jadi lebih sedar, lebih berniat, dan tak mudah hanyut ikut arus.

Contoh latihan refleksi diri untuk mencari "ikigai":-

Tulis jawapan dalam setiap bulatan dan lihat di mana mereka bertindih.
Bahagian yang bertindih tu ialah petunjuk awal ikigai — bukan jawapan muktamad, tapi kompas arah hidup.

Contoh lebih jelas - seorang remaja tulis begini:-

  • ❤️ Suka: melukis, reka cerita

  • 💪 Pandai: guna komputer, buat animasi ringkas

  • 🌍 Dunia perlukan: hiburan yang mendidik, kisah positif

  • 💰 Boleh beri rezeki: bidang reka grafik, animasi, game design

➡️ Maka, ikigai-nya mungkin terletak dalam bidang kreatif digital — contohnya animasi atau reka permainan yang memberi inspirasi kepada orang lain.

Makna hidup bukan benda yang kita temui sekali dan selesai. Ia berubah, bertumbuh bersama kita. Tapi kalau remaja dah mula bertanya soalan yang betul, mereka akan membesar dengan arah yang lebih jelas — bukan sekadar mengejar kejayaan, tapi memahami kenapa mereka mahu berjaya.

Dan dari situ, hidup mula terasa benar-benar hidup.

Benda ni nampak falsafah, tapi sebenarnya sangat praktikal kalau mula dari remaja. Waktu remaja ni lah masa kita mula kenal diri - apa yang buat kita hidup, bukan sekadar wujud.

Dan sebenarnya, tak perlu pun terlalu rumit untuk mula mencari arah hidup. Ada satu prinsip moden yang aku suka - tak pasti siapa mula, tapi aku rasa konsepnya sangat dekat dengan ikigai.

Katanya, untuk memperbaiki hidup, kita perlukan lima hobi yang mantap:-

  1. Satu hobi yang buat kita duit – kerja, projek kecil, berniaga.

  2. Satu hobi untuk kekalkan kesihatan dan kecergasan – bersukan, berlari, silat, apa saja yang buat kita bergerak.

  3. Satu hobi yang bantu kita jadi kreatif – menulis, melukis, main alat muzik, reka benda baru.

  4. Satu hobi untuk kembangkan ilmu dan intelek – membaca, belajar, berbincang.

  5. Satu hobi untuk perbaiki mindset dan jiwa – solat, meditasi, refleksi diri, doa.

Kalau remaja mula bina lima ruang ni dalam hidup, tanpa sedar mereka sedang menyemai akar kepada makna hidup. Bukan semua mesti jadi “besar”, cukup kalau ia memberi tenaga dan arah.

Friday, August 04, 2017

Review pendek filem Teacher's Diary

Aku terjumpa filem ni masa dok browse kat youtube. Tak sangka ia filem yang menarik. Kisah 2 orang guru yang dihantar mengajar ke sekolah "rumah bot" di pedalaman. Aku tak nak cerita lebih-lebih, nanti spoiler pulak.

http://www.imdb.com/title/tt3500528/

Jadi aku cuma kongsikan satu detik berkesan bagi aku dalam filem ini. Iaitu semasa Ms Ann cuba memujuk salah seorang pelajar untuk kembali ke sekolah. Ms Ann menggunakan alasan, dengan belajar kita akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan berbagai jenis pekerjaan di luar sana, tidak terhad kepada hanya menjadi nelayan. Alasan itu nampaknya sukar difahami oleh Con, yang tidak nampak sebarang masalah dengan menjadi nelayan, pekerjaan yang telah dilakukan oleh datuk dan ayahnya. Mr. Song bagaimanapun berjaya memujuk Con kembali ke sekolah, alasannya lebih dekat dan mudah difahami oleh minda Con.

Menonton filem ini, aku tidak dapat lari daripada teringat kepada filem-filem sebelum ini seperti Three Idiots (Amir Khan) dan novel serta filem Laskar Pelangi. Kesemuanya cuba mengajak kita melihat pendidikan daripada sudut yang berlainan. Dialog antara Ms. Ann dan Nui di akhir filem ini antaranya, cuba menyimpulkan erti sebenar pendidikan yang berbeza pemahamannya antara Nui, seorang guru di bandar, dan Ms. Ann serta Mr. Song yang mengajar di pedalaman.

Jalan cerita filem ini bagi aku menarik, dan tidak terlalu tipikal. Aku anggap sesuatu jalan cerita itu menarik bila ia membuatkan kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku, dan kadang-kadang mendorong kita untuk undur ke belakang untuk cuba memahaminya dengan lebih baik.

Filem ini bagi aku sesuai untuk tontonan bersama keluarga. Tiada adegan yang kurang enak, kecuali beberapa dialog tertentu.


Thursday, January 22, 2015

Ambil Gambar Anak Tapi Bukan Dengan Kamera

Adegan dalam siri TV Hawaii Five O yang saya tonton pada tahun lepas.



Danny sedang menunggu anaknya mencuba pakaian untuk satu majlis di sekolahnya. Bila anaknya keluar, Danny teruja dan memuji anaknya sangat cantik sambil berkata:-

"Kita mesti ambil gambar"

Sangka saya dia pastinya akan mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar tetapi tidak. Dia cuma membuat gaya tangan seolah-olah mengambil gambar.

Saya sangat terkesan dengan adegan tersebut.

Teknologi bukan segalanya.

Kita obses merakam memori digital tetapi memori yang lebih bermakna adalah pada ingatan kita sendiri. Ia akan kekal hingga ke akhir hayat.

Memetik tulisan Audra Rundle dalam 5 Lessons Learned From Leaving Facebook:-
Not everything needs to be captured.
Just like caged animals, the spirit of a memory sometimes loses something very important when it is captured. It's natural to want to 'catch' a beautiful moment in time so you can bring up the picture or post later and hope to stir up the same emotions, yet so many moments in life are magical for that one moment only. They are gifts from nature, rewards of life, and meant only to live in your memory -- not to be photographed and shared with hundreds who weren't there.
p/s:-
Danny adalah seorang duda yang sedang dalam proses mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya. Kerjayanya sebagai polis membuatkan dia kerap terlepas peluang untuk bersama-sama anaknya.

Monday, October 27, 2014

Dari Mana Kita Bermula ?

Untuk memahami sebuah aturcara komputer, kita perlu terlebih dahulu mengenal pasti daripada mana aturcara tersebut bermula. Dalam bahasa programmer, ia dipanggil entry-point.

Tidak tahu di mana entry-point tidak bermakna programmer tidak boleh meneruskan pembangunan sebuah aturcara. Aturcara komputer hari ini adalah begitu kompleks, ramai saja programmer yang tidak ambil kisah pun di mana entry-point sebuah aturcara dan masih tetap dapat meneruskan pembangunan aturcara tersebut.

Namun tidak mengetahui di mana entry-point akan menyebabkan programmer sentiasa dalam kebingungan apabila berlaku sesuatu masalah pada aturcara yang mereka bangunkan. Mereka terpaksa meneka-neka dalam kegelapan akan punca sesuatu masalah (bug).

Begitu juga kehidupan ini, kita perlu tahu dari mana dan bagaimana kita bermula. Jika tidak, kita akan meraba-raba dalam kegelapan apabila ada masalah melanda kehidupan kita.