Friday, April 11, 2014

Kenapa perlu tolak berita palsu dan penyebar berita palsu ?

Kerana Islam amat menjunjung tinggi akan kebenaran. Mesej Islam itu sendiri datang dengan bukti-bukti yang lengkap, bukan sekadar omong kosong. Tradisi keilmuan Islam itu sendiri berpaksi kepada kebenaran. Lihat saja pada disiplin ilmu hadis, bagaimana sesuatu riwayat itu diperiksa dengan begitu teliti sekali, daripada matan hadis serta maksudnya, kepada latar belakang perawi dan raintaian sanad.

Namun hari ini budaya memeriksa kebenaran seakan luntur di kalangan umat Islam. Kalau tidak bagaimana khabar-khabar angin, cerita-cerita karut boleh tersebar melalui surat berantai suatu ketika dahulu dan sekarang melalui media-media sosial dan arus perdana. Lebih menyedihkan ia bukan hanya berlaku di kalangan orang awam, golongan yang bertaraf ulama juga kadang-kala terkhilaf untuk turut sama menyebarkan sesuatu yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Bermula daripada perkara-perkara berkaitan keagamaan, ia merebak sehingga kepada fakta-fakta sains dan juga berita-berita umum yang sebenarnya mungkin hanya berasal daripada permainan budak-budak nakal yang cuba mencari perhatian. Hasil akhirnya, umat Islam dan Islam itu sendiri kelihatan kelakar pada mata masyarakat ilmiah.

Menolak berita palsu itu satu perkara, menolak penyebar berita palsu adalah lebih penting kerana merekalah punca kecelaruan yang timbul. Penyebar berita palsu yang saya maksudkan di sini adalah media-media atau agensi-agensi berita yang berlumba-lumba dalam mendapatkan berita ekslusif sehingga mengabaikan prinsip-prinsip kewartawanan yang beretika. Ada yang berpendapat kita sebagai pembaca perlu bijak memilih antara berita yang benar dan baik dengan berita yang palsu. Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana penyebar-penyebar berita palsu ini adalah barah kepada masyarakat. Sel-sel barah mungkin ada yang baik tapi hasil akhirnya umum diketahui, sel-sel jahat itu tetap akan merosakkan keseluruhan sistem badan jika tidak dibuang sepenuhnya. Media-media yang berterusan menyebarkan kepalsuan ini perlu ditolak sepenuhnya supaya ruang-ruang kosong itu dapat diisi oleh mereka yang jujur dan beretika dalam menyampaikan berita.

Akhir kata, saya lebih senang terlepas untuk menyebarkan 1000 kebenaran daripada terlanjur menyebarkan satu kepalsuan. Allahu rabbi, bantulah kami di zaman-zaman yang menipu ini.

No comments: