Wednesday, April 30, 2014

Belajar secara maya, jarak dan kos bukan penghalang

Hari ini, banyak kursus-kursus daripada universiti-universiti terkemuka dunia boleh dicapai online secara percuma. Terma yang semakin popular akhir-akhir ini - massive open online courses (MOOCs) di mana universiti-universiti ini memberikan akses untuk umum bagi kursus-kursus yang mereka tawarkan. Tiada sebarang jam kredit diberikan tetapi kebiasaanya mereka akan memberikan Certificate of Completion bagi mengikut kursus berkenaan sehingga habis. Kita mungkin tidak mendapat sijil yang boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan tetapi ilmu yang diperolehi tidak kurang nilainya.

Isteri saya sendiri pernah mengikuti kursus berkaitan nutrisi di laman Coursera - sebuah laman MOOC yang menyediakan platform pembelajaran bagi mengikuti kursus-kursus daripada institusi pengajian seperti Stanford University, Yale University, Georgia Institute of Technology dan banyak lagi. Ianya satu pengalaman yang menyeronokkan dan buat pertama kali, dia belajar dalam keadaan betul-betul ingin belajar, bukan hanya untuk lulus dalam peperiksaan.

Saya terjumpa satu cerita yang menarik di mana seorang remaja daripada Mongolia yang mengikuti kursus online daripada MIT, akhirnya ditawarkan tempat di institusi terbabit termasuk peluang pekerjaan bagi menambahbaikan sistem pembelajaran online MIT. Battushig Myanganbayar, semasa berumur 15 tahun telah mengikuti kelas MOOCs MIT dan berjaya mendapat markah yang bagus. Penyedia kandungan kursus berkenaan telah mengangkat Battushig sebagai ikon penunjuk kejayaan kursus berkenaan, dan menyiarkan cerita berkenaan remaja terbabit di dalam akhbar New York Times. Pucuk pimpinan Edx (sebuah konsortium yang dimulakan oleh MIT untuk membangunkan kursus-kursus online terbabit) bagaimana mengambil satu langkah lagi iaitu dengan menawarkan Battushig pekerjaan dengan peranan untuk menambah-baikkan lagi kursus-kursus yang mereka sediakan.

Sumber - http://www.nytimes.com/2013/09/15/magazine/the-boy-genius-of-ulan-bator.html?pagewanted=all&_r=0

Antara cerita menarik Battushig - dia mula mengikuti kursus-kursus online MIT bukanlah atas sebab ia sebuah institusi yang ternama tetapi semata-mata hanya kerana video pengenalan kursus berkenaan menjanjikan akan mengajar bagaimana Iphone berfungsi. Battushig juga mengikuti kursus tersebut dengan cara agak 'ganjil' - untuk menjimatkan masa dia menonton dua video kuliah secara serentak iaitu dengan membaca sarikata untuk satu kuliah dan mendengar audio untuk satu kuliah yang lain ! Untuk menambahkan lagi pemahaman dengan subjek yang dipelajari, dia turut membuat video sendiri menggunakan Iphone yang diletakkan di atas buku - bertindak sebagai 'overhead projector' merakam dia membuat pengiraan di kertas serta memberi penerangan dalam bahasa Mongolia. Video itu kemudian di kongsi untuk membantu rakan sekelasnya.

Battushig Myanganbayar adalah satu daripada banyak lagi kisah-kisah bagaimana jarak dan faktor kewangan bukan lagi penghalang untuk mendapatkan pendidikan bertaraf dunia. Asalkan ada keinginan untuk belajar, peluang untuk itu mesti ada. Terpulang kepada kita untuk mendapatkannya atau tidak.

No comments: