Ada satu soalan yang sering kita tunda untuk difikirkan — “Apa sebenarnya makna hidup aku?”
Ramai orang hanya mula mencari jawapan bila dah dewasa, bila kerja tak lagi memberi semangat, bila hidup terasa kosong walaupun segalanya nampak "ok" di luar. Tapi sebenarnya, pencarian makna hidup ni tak perlu menunggu umur matang atau masalah besar datang. Ia boleh -- malah patut -- bermula sejak remaja.
Dalam dunia moden, remaja sering disibukkan dengan pencapaian luaran - keputusan peperiksaan, universiti mana nak masuk, kerja apa nanti. Tapi jarang diajak untuk fikir, “Kenapa aku buat semua ni?”
Pertanyaan “kenapa” ni lah sebenarnya akar kepada makna.
Kalau ikut konsep Ikigai dari Jepun — makna hidup terletak di persilangan antara empat perkara: apa yang kita suka, apa yang kita pandai, apa yang dunia perlukan, dan apa yang boleh beri nilai atau rezeki kepada kita.
Benda ni nampak falsafah, tapi sebenarnya sangat praktikal kalau mula dari remaja. Waktu remaja ni lah masa kita mula kenal diri — apa yang buat kita hidup, bukan sekadar wujud.
Dalam sirah Nabi, ada banyak contoh remaja yang dah jumpa “ikigai” mereka lebih awal.
Ambil contoh Mu‘adz bin Jabal — masa baru belasan tahun, dia dah menjadi antara sahabat yang paling faqih dalam agama. Nabi SAW sendiri pernah sebut, “Orang yang paling tahu halal dan haram di antara umatku ialah Mu‘adz bin Jabal.”
Mu‘adz memeluk Islam sewaktu muda, di tangan Mus‘ab bin Umair - pendakwah pertama yang tiba di Madinah. Beliau bukan sekadar ikut, tapi benar-benar faham apa yang baginda Rasulullah bawa. Bersama beberapa anak muda lain, Mu‘adz mula menyebarkan Islam dengan cara yang bijak - mereka sembunyikan berhala kaum mereka setiap malam, sampai akhirnya seorang pemimpin tua, Amru bin al-Jamuh, sedar bahawa “tuhannya” itu tak mampu berbuat apa-apa.
Dari situ, Amru memeluk Islam - hasil kenakalan cerdik anak-anak muda yang tahu tujuan mereka. Nakal yang membawa hidayah.
Di usia belasan hingga awal 20-an, Mu‘adz sudah menjadi guru kepada orang lain.
Itu bukan kerana umurnya, tapi kerana makna hidupnya jelas — menuntut dan menyebarkan ilmu.
Maknanya, Mu‘adz bukan tunggu dewasa baru serius mencari peranan hidupnya. Dia mula dengan rasa ingin tahu, belajar bersungguh, dan akhirnya tahu di mana tempat dia menyumbang.
Kalau kita tengok zaman sekarang pun, masih ada remaja yang berjaya hidup dengan “makna” mereka.
Malala Yousafzai, misalnya, sedar sejak kecil bahawa pendidikan itu hak semua — bukan hanya untuk lelaki. Dia berjuang walau diancam nyawa, sebab dia tahu kenapa dia belajar dan kenapa dia bersuara.
Atau Boyan Slat, yang pada usia 16 tahun kecewa tengok laut penuh sampah plastik, lalu mulakan projek The Ocean Cleanup. Daripada satu idea sains di sekolah, jadi misi global yang kini bersihkan ribuan tan plastik di lautan.
Dan satu lagi kisah yang menarik - Iman Usman, pengasas RuangGuru dari Indonesia. Dia bukan sekadar minat dalam pendidikan, tapi benar-benar percaya bahawa ilmu sepatutnya boleh diakses semua orang. Sejak remaja lagi, dia terlibat dalam program sosial, mengajar anak-anak di kampung, dan menulis tentang pendidikan. Dari situ lahir satu visi besar — menjadikan teknologi sebagai alat perubahan sosial.
Iman jumpa “ikigai” dia bukan melalui motivasi kosong, tapi melalui pengalaman membantu orang lain.
Kadang-kadang kita fikir mencari makna hidup ni berat, macam perjalanan spiritual yang rumit. Tapi sebenarnya ia boleh bermula dari soalan kecil:
-
Apa benda yang buat aku rasa hidup bila aku buatnya?
-
Masalah apa dalam dunia ni yang aku betul-betul peduli nak selesaikan?
-
Kalau aku ada masa dan tenaga, aku nak guna untuk apa?
Tak semua orang jumpa jawapan segera. Tapi proses mencari tu sendiri — bila dimulakan awal — membentuk cara kita melihat hidup. Kita jadi lebih sedar, lebih berniat, dan tak mudah hanyut ikut arus.
Contoh latihan refleksi diri untuk mencari "ikigai":-
Tulis jawapan dalam setiap bulatan dan lihat di mana mereka bertindih.Bahagian yang bertindih tu ialah petunjuk awal ikigai — bukan jawapan muktamad, tapi kompas arah hidup.
Contoh lebih jelas - seorang remaja tulis begini:-
-
❤️ Suka: melukis, reka cerita
-
💪 Pandai: guna komputer, buat animasi ringkas
-
🌍 Dunia perlukan: hiburan yang mendidik, kisah positif
-
💰 Boleh beri rezeki: bidang reka grafik, animasi, game design
➡️ Maka, ikigai-nya mungkin terletak dalam bidang kreatif digital — contohnya animasi atau reka permainan yang memberi inspirasi kepada orang lain.
Makna hidup bukan benda yang kita temui sekali dan selesai. Ia berubah, bertumbuh bersama kita. Tapi kalau remaja dah mula bertanya soalan yang betul, mereka akan membesar dengan arah yang lebih jelas — bukan sekadar mengejar kejayaan, tapi memahami kenapa mereka mahu berjaya.
Dan dari situ, hidup mula terasa benar-benar hidup.
Benda ni nampak falsafah, tapi sebenarnya sangat praktikal kalau mula dari remaja. Waktu remaja ni lah masa kita mula kenal diri - apa yang buat kita hidup, bukan sekadar wujud.
Dan sebenarnya, tak perlu pun terlalu rumit untuk mula mencari arah hidup. Ada satu prinsip moden yang aku suka - tak pasti siapa mula, tapi aku rasa konsepnya sangat dekat dengan ikigai.
Katanya, untuk memperbaiki hidup, kita perlukan lima hobi yang mantap:-
-
Satu hobi yang buat kita duit – kerja, projek kecil, berniaga.
-
Satu hobi untuk kekalkan kesihatan dan kecergasan – bersukan, berlari, silat, apa saja yang buat kita bergerak.
-
Satu hobi yang bantu kita jadi kreatif – menulis, melukis, main alat muzik, reka benda baru.
-
Satu hobi untuk kembangkan ilmu dan intelek – membaca, belajar, berbincang.
-
Satu hobi untuk perbaiki mindset dan jiwa – solat, meditasi, refleksi diri, doa.
Kalau remaja mula bina lima ruang ni dalam hidup, tanpa sedar mereka sedang menyemai akar kepada makna hidup. Bukan semua mesti jadi “besar”, cukup kalau ia memberi tenaga dan arah.
