Thursday, February 28, 2013

Masakan Ayam

Semasa saya tinggal di Taman Teratai 6 tahun lepas, ada sebuah restoran mamak tidak jauh dari tempat saya tinggal. Saya bukanlah peminat masakan mamak namun ada tukang masak melayu, orang Kelantan (siam) yang membuat masakan panas pada sebelah malam. Lagipun itu saja kedai makan yang ada kat situ pada masa itu. Berbeza dengan sekarang bilangan gerai makan agak banyak pada sebelah malam.

Tidak ada apa yang istimewa dengan masakan tukang masak melayu tersebut, orang kat situ panggil dia Awe (Awang). Tetapi satu yang membezakan dia dengan tempat lain adalah cara dia masak ayam. Jika anda perhatikan di kedai-kedai makan melayu, jika anda minta masakan ayam, sama ada ayam goreng kunyit, paprik ayam atau apa saja yang berasaskan ayam, mereka akan gunakan bahagian isi sahaja. Awe bagaimanapun berbeza, dia masak ayam termasuk bahagian tulang seperti peha, kepak atau bahagian belakang ayam. Itulah yang membuatkan saya suka masakan awe. Ia seperti masakan di rumah.

Setakat ini saya belum jumpa lagi kedai makan yang membuat masakan seperti awe. Dah lama saya tidak merasa masakan Awe. Setelah saya pindah balik Johor  3 tahun lepas, pastinya saya mengunjungi restoran tersebut untuk mencuba masakan Awe. Sayang, restoran tersebut telah pun berganti pemilik dan Awe pun tidak lagi memasak masakan panas di situ.

Download arkib tweet

Kebanyakkan laman sosial hari ini seperti Facebook atau Google+ mempunyai fungsi yang membolehkan anda memuat-turun arkib post sejak daripada anda mula menyertai laman tersebut sehingga masa kini. Hari ini secara kebetulan saya dapati Twitter juga mempunyai fungsi yang sama. Ianya boleh diakses melalui ruangan Settings ==> Account, anda akan dapati butang untuk request arkib tersebut.



Setelah anda klik butang request tersebut, ia akan dihantar ke laman email anda. Ia mungkin mengambil sedikit masa bergantung kepada jumlah tweet yang anda ada. Arkib tersebut dihantar ke email anda dalam bentuk fail zip. Unzip fail tersebut dan anda akan dapati beberapa jenis fail. Double-klik fail bernama index.html dan ia akan dibuka melalui pelayar web (browser) di komputer anda.


Agak menarik juga melihat trend tweet anda selama menggunakan Twitter. Contohnya dalam gambar di atas saya agak aktif menggunakan Twitter pada tahun 2008 dan 2009.

Monday, February 25, 2013

Phishing

Dapat DM (Direct Message) Twitter daripada seorang rakan. Mesejnya berbunyi:-

"Have you seen this pic of you? lol bit.ly/XaUiJS "

Sebenarnya dah selalu dapat mesej sebegini daripada beberapa rakan yang lain tapi saya abaikan saja sebab tau ianya bukan daripada rakan tersebut. Kemungkinan besar akaun mereka dah kena 'hijack' oleh worm tanpa pengetahuan mereka. Namun kali ini saya mengambil kesempatan untuk meneliti apa kandungan link tersebut. Pertama sekali, link tersebut berbentuk 'short url' yang mana ianya cuma 'alias' kepada link sebenar yang lebih panjang. 'Short url' ini biasa digunakan oleh 'phisher' untuk mengelirukan pengguna akan lokasi sebenar link tersebut.

Untuk mengetahui lokasi sebenar link short url, boleh gunakan laman http://longurl.org. Melalui laman longurl.org, saya dapat link sebenar iaitu:-

http://trvitter.com/o/verify/?&account_secure_login

Apabila saya buka lama tersebut, ia kelihatan seperti laman Twitter dan meminta saya memasukkan semula password Twitter saya kerana (kononnya) 'session' saya dah expired.


Teknik 'phishing' di atas amat biasa digunakan dan tujuan utama adalah untuk mencuri nama pengguna serta password twitter mangsa. Browser Firefox bagaimana pun akan mengeluarkan 'warning' apabila anda cuba membuka laman tersebut.


Satu sebab yang bagus untuk menggunakan pelayar Firefox berbanding Google Chrome nampaknya :)

Tuesday, February 12, 2013

Rasa nak terbelit lidah sebut www ? Ia tak perlu sebenarnya



Satu salah faham orang ramai bukan dalam bidang IT adalah untuk menyebut alamat sesuatu laman web, mesti mula dengan www. Prefix www pada permulaan alamat web adalah tinggalan zaman awal web dan sudah tidak begitu relevan sekarang. Ia adalah satu 'convention' yang digunakan oleh admin sistem di zaman lampau untuk merujuk kepada salah satu 'service' pada server tersebut iaitu World Wide Web. Untuk pengetahuan pembaca yang dihormati, Internet mempunyai banyak service seperti WWW, Email, FTP, Gopher, Newsgroup, IRC, Telnet dan sebagainya. Sebahagian daripada 'service' ini sudah tidak digunakan lagi dan seperti mana yang kita sedia maklum, WWW dan Email adalah 'service' yang berjaya menarik perhatian umum dan terus melalui inovasi serta penambahbaikan sehingga kini.

Walaupun banyak laman web masih menggunakan prefix www spt www.google.com, cukup utk anda menaip google.com dan semua pelayar web akan tau anda cuba mengakses service www di server google.com. Kadang-kadang ada juga yang menyebut alamat blogspot mereka sebagai www.blogsaya.blogspot.com. Ia lebih-lebih lagi tidak perlu.

Tuesday, January 22, 2013

DuckDuckGo - Enjin Carian Alternatif kepada Google

DuckDuckGo (DDG) adalah enjin carian baru yang semakin meningkat naik penggunaannya, walaupun masih agak jauh untuk menandingi Google. DDG digemari oleh mereka yang tidak suka akan amalan Google yang menyimpan jejak carian penggunanya. DDG sebagaimana mottonya "We believe in better search and not tracking" tidak akan menyimpan sebarang jejak carian anda. Namun bagi saya yang lebih penting daripada itu adalah DDG boleh mengeluarkan anda daripada "search bubble".

"Search bubble" adalah satu konsep di mana hasil carian yang dipaparkan oleh enjin carian adalah berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti apa yang anda minat, kedudukan geografi, jantina, jenis pekerjaan dan sebagainya. Kriteria-kriteria ini dikenalpasti oleh enjin carian melalui jejak-jejak data yang dikutip sepanjang anda menggunakan perkhidmatan berkenaan ataupun yang lain-lain yang ada kaitan dengan enjin carian tersebut. "Search bubble" boleh menghasilkan situasi di mana maklumat yang anda dapat terlalu bias kepada apa yang anda minat atau setuju sahaja. Ia umpama menonton satu siaran televisyen ataupun membaca satu akhbar kegemaran anda sahaja. Konsep ini diterangkan dengan lebih jelas oleh laman web dontbubble.us.

Paparan laman DDG tidak jauh bezanya dengan Google, sebagaimana dalam screenshot di bawah.


Hasil carian daripada DDG kadang-kadang kurang memuaskan berbanding apa yang anda dapat melalui Google. Dalam situasi ini saya biasanya menggunakan fungsi DDG yang boleh melakukan carian melalui laman lain seperti Google atau Bing. Caranya mudah sahaja, jika anda mencari kata kunci seperti "resepi sate ayam", tukarkan kata kunci tersebut kepada "!g resepi sate ayam", anda akan dihantar ke laman Google beserta dengan hasil carian bagi kata kunci tersebut. Kelebihan menggunakan cara ini adalah carian tersebut tidak akan dijejak oleh Google.

Selain carian, DDG juga mempunyai banyak fungsi-fungsi lain dan ini antara sebab saya menggunakannya. Contohnya untuk menukar nilai matawang:-


Atau menukar kalendar masihi kepada Hijri:-



Dan banyak lagi fungsi-fungsi lain seperti menukar zon waktu, kalkulator, carian tempat, jana password dan lain-lain. Anda boleh lihat senarai keseluruhan di laman Goodies. Jika nama duckduckgo.com terlalu panjang untuk ditaip, anda boleh menggunakan versi yang lebih pendek iaitu ddg.gg.

Wednesday, October 03, 2012

Aplikasi carian harga barang-barang runcit

Tujuan asal nak buat aplikasi android untuk semak harga barang-barang runcit tempatan. Dah ada laman web yang dibangunkan untuk tujuan ini iaitu laman Pricewatch 1pengguna.com dan GoGoprice. Tapi saya fikir aplikasi android yang boleh digunakan secara offline adalah lebih praktikal berbanding laman online. Walaupun akses Internet daripada telefon bimbit agak senang sekarang tapi kalau network buat hal masa tengah nak beli ikan, tak guna juga.

Langkah pertama adalah dapatkan data. Cara paling cepat adalah scrap ! (hehe ..). Kemudian mula belajar balik cara-cara nak bangunkan aplikasi android. Paling senang guna Phonegap. Masalah pertama adalah Phonegap tak support baca data daripada database yang telah siap. Alhamdulillah, yang ni dapat diatasi. Masalah kedua adalah android tak support fail lebih besar daripada 1MB dalam folder asset, tempat saya letak fail db untuk dimuatkan ke dalam telefon android. Tersangkut kat sini.

Dah tawar hati nak teruskan tapi semalam bila cuba laman GoGoprice dia cuma support carian menggunakan 1 kata kunci sahaja dan tidak boleh cari mengikut negeri/kawasan. Dapat semangat balik nak teruskan. Tak dapat buat aplikasi android, buat aplikasi web je lah dulu. Data dah ada, kod pun dah ada (daripada laman carian status halal), kena ubah sikit je. Dalam masa lebih kurang 1 jam, akhirnya dapat siapkan - http://harga.smach.net/ atau http://bit.ly/hargabarang kalau susah nak ingat. Agak kurang sempurna sekarang kerana dibuat dalam masa yang cepat tapi saya ada beberapa idea lagi nak dikembangkan daripada sini.

Bagi yang berminat untuk buat aplikasi sama boleh dapatkan data dari Scrapperwiki:-

https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_harga/
https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_kawasan/
https://scraperwiki.com/scrapers/pricewatch_barang/

Saya asingkan scrapper sebab data kawasan dan barang agak statik dan tidak banyak berubah jadi tak perlu scrap berulang-kali.

Kod sumber laman tu sendiri boleh tengok kat github - https://github.com/k4ml/harga

Sunday, August 26, 2012

Melihat sesuatu secara objektif

Antara kelemahan utama masyarakat di Malaysia (orang Melayu terutamanya) ialah ketidakupayaan melihat sesuatu secara objektif. Apa yang aku maksudkan adalah amat sukar untuk kita menilai sesuatu (sama ada isu ataupun entiti seperti manusia, benda dsbnya) dengan melakukan analisis terperinci dan seterusnya mengambil atau menolak apa-apa yang baik/tidak baik daripada analisis tersebut. Ia seakan sudah terbentuk dalam DNA kita. Kita lebih diajar untuk menolak atau menerima sesuatu secara total. Jika kita menolak A maka kita akan menolak A secara keseluruhan. Kita tidak terdidik untuk melakukan analisis untuk terlebih dahulu mengenal A serta bahagian-bahagiannya. A mungkin terdiri daripada A.1, A.2, A3 dan sebagainya. Jadi jika terdapat sebarang kesalahan pada A, pada bahagian manakah sebenarnya kesalahan tersebut ? Adakah pada bahagian A.1 atau pada bahagian A.2 ? Tidak, sistem pendidikan kita tidak pernah sampai ke tahap tersebut.

Apa yang sering berlaku adalah penolakan total. Aku tidak bermaksud mengatakan pada sesiapa kerana aku dapati corak pemikiran sebegini juga wujud pada diri aku sendiri. Sebagaimana aku nyatakan sebelum ini, ia seakan DNA yang telah tersemadi dalam diri. Contohnya amat sukar untuk aku menerima seseorang apabila ada sikap atau kelakuannya yang aku tidak sukai. Begitu sukar sekali untuk kita memberikan senyuman kepada seseorang yang kita telah 'cop' sebagai 'aku tak suka dia' dalam minda kita sedangkan apa yang kita tidak sukai mungkin cuma sekelumit daripada sikap-sikapnya yang lain. Lebih parah apabila ia berlaku dalam kumpulan gerak kerja, ia akan mendorong kita untuk sentiasa menolak idea-idea serta cadangan orang tersebut walaupun idea-idea yang dikemukakan langsung tiada kaitan dengan sikapnya yang kita benci itu !

Dalam konteks yang lebih luas ialah bagaimana cara pandang kita contohnya kepada dunia barat dibentuk. Setelah diasuh Barat itu ialah antagonis kepada dunia Timur dan lebih-lebih lagi dunia Islam, kita seakan-akan gagal melihat bahawa tidak semua yang daripada Barat itu buruk. Berlaku penolakan total sehingga sampai satu tahap, yang menolak itu sendiri tidak kenal apa yang ditolaknya. Apakah yang ditolak itu adalah hedonisme yang kian meracuni tamadun barat atau dinamisma dan keterbukaan tamadun barat itu terhadap ketinggian budaya ilmu serta pembangunan sains dan teknologi ? Tidak jelas kerana kita tidak pernah membuat analisis terhadap apa yang kita tolak. Kita hanya kenal A sebagai A dan bukan sehingga A.1, A.2, A.1.1.1 dan seterusnya.

Perkara yang sama berlaku apabila menanggapi sesuatu isu. Peranan media yang langsung tidak membantu masyarakat dalam memahami isu tambah memburukkan daya konklusi masyarakat. Media yang sepatutnya berperanan sebagai penyampai fakta-fakta berkaitan sesuatu isu kini lebih berperanan sebagai pembentuk keputusan. Media lebih gemar masyarakat menerima 'keputusan' atau rumusan mereka berkaitan sesuatu isu - sama ada menyokong atau membangkang. Masyarakat tidak digalakkan untuk berfikir secara analitikal terhadap fakta-fakta yang dikemukakan. Natijahnya yang terbentuk adalah satu bentuk pemikiran yang fanatik. Yang menyokong akan menyokong secara keseluruhan manakala yang menentang akan menentang daripada segenap ruang.

[dalam proses menulis ...]

Tuesday, May 08, 2012

Atasi spam dengan email sementara

Setiap pengguna email pasti akan berhadapan dengan spam - email yang tidak diduga daripada orang yang tidak dikenali yang biasanya berkaitan iklan produk, servis atau bermacam-macam skim yang anda langsung tidak berminat. Walaupun teknologi email seperti yang digunakan oleh Gmail semakin canggih dan mampu menghalang kebanyakkan spam daripada sampai ke peti email anda, sebahagian daripadannya masih terlepas dan menganggu tumpuan anda kepada email-email lain yang lebih penting.

Setiap kali mendaftar di laman-laman yang memerlukan anda memberikan alamat email, anda akan mendedahkan email anda kepada kemungkinan diperolehi oleh spammer. Ini kera.na banyak perkhidmatan percuma online yang sememangnya disediakan untuk menuai (harvest) alamat-alamat email untuk dijual kepada mereka yang berminat, termasuk spammer. Anda boleh atasi masalah ini dengan menggunakan alamat email alternatif namun sememangnya agak leceh untuk mendaftar beberapa alamat email berlainan semata-mata untuk tujuan ini.

Perkhidmatan email sementara seperti mailinator bertujuan mengatasi masalah ini. Anda dapat mencipta alamat email baru sepantas SATU langkah sahaja. Mulakan dengan akses laman web perkhidmatan ini - mailinator.com.

Klik gambar untuk paparan lebih jelas.

Setelah anda meng'klik' butang Go!, anda akan dibawa ke laman berikutnya yang merupakan peti email anda yang baru ! Sekiranya peti email tersebut masih belum wujud anda akan dapati ianya kosong. Sekiranya anda tidak mahu berkongsi peti email tersebut dengan sesiapa, pastikan nama yang anda pilih agak unik.

Klik gambar untuk paparan lebih jelas.
Sekarang anda boleh salin alamat email yang dipaparkan dan berikan pada laman yang memerlukan email untuk mendaftar. Dalam contoh di atas, alamat email yang saya boleh gunakan ialah:- 

M8R-abd8j7@mailinator.com. 

Untuk memeriksa email yang dihantar, klik butang Refresh pada pelayar web anda atau capai alamat yang dipaparkan pada peti email tersebut. Sebagai contoh - http://inboxsaya.mailinator.com/.

Sebagai peringatan, semestinya alamat email ini tidak digunakan untuk urusan sensitif seperti perbankan Internet, media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Untuk itu, gunakan alamat email sebenar anda. Harap maklumat ini berguna untuk anda, selamat mencuba.

Tuesday, November 22, 2011

Menggunakan Google Translate daripada pelayar mobile

Jika anda menggunakan telefon android dengan browser yang lebih canggih dan moden mungkin tiada masalah. Tetapi apabila saya cuba menggunakan Google Translate daripada pelayar mobile Opera Mini 4.4 (telefon samsung dengan platform MIDP 2.0), ia cuma memaparkan pilihan bahasa yang terhad dan bahasa yang saya nak iaitu Bahasa Melayu tiada dalam pilihan. Saya cuba dengan menukar ke mode 'classic' berbanding 'mobile' tetapi tetap tidak mendapat pilihan Bahasa Melayu. Ini tidak mungkin kerana kita semua sedia maklum Google Translate kini menyokong terjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan sebaliknya.

Apabila menggunakan laman Google Translate daripada pelayar desktop biasa, saya cuba turn off 'instant translation' agar dapat melihat URL sebenar yang digunakan oleh Google. Saya dapati ia menggunakan URL dalam format berikut:-

http://translate.google.com/#ms|en|gerimis

di mana ms adalah source language (bahasa asal yang nak diterjemah) dan en adalah translated language (terjemahan). Apabila mengakses Google Translate menggunakan url seperti di atas, Bahasa Melayu kini dipaparkan sebagai pilihan terjemahan.


Menaip karakter '|' agak leceh dalam telefon saya jadi saya dapati format URL berikut juga boleh digunakan:-

translate.google.com/m?sl=ms&tl=en&q=gerimis

Lebih mudah format yang ini nampaknya. Akhirnya dapat juga saya guna Google Translate daripada telefon dungu (dumbphone) saya ini ;)

* pelayar == browser.

Thursday, September 15, 2011

Hari Malaysia

Hari ini 16 September adalah Hari Malaysia. Namun jangan terkejut jika masih ramai terutama di kalangan generasi muda yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Hari Malaysia. Saya tidak hairan jika ada yang ingat Hari Malaysia adalah Hari 1Malaysia dan mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-6 Najib Razak. Yang kritikal sikit dengan PM kita ni dan juga konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan akan mengatakan Najib telah 'membunuh' Hari Kemerdekaan dan menggantikannya dengan Hari Malaysia. Tidak tepat sama sekali.

Catatan ringkas ini adalah untuk mengingatkan kembali adik-adik (dan juga abang-abang) apa yang telah kita pelajari dalam Sejarah Malaysia semasa di tingkatan 5. Malaysia adalah negara persekutuan. Sila rujuk sumber-sumber lain untuk takrifan lengkap persekutuan tapi secara mudahnya merupakan gabungan beberapa buah negara/negeri yang berdaulat untuk membentuk negara yang lebih besar. Malaysia merupakan satu-satunya negara persekutuan di Asia Tenggara.

Sebelum 1948, tidak wujud apa yang di panggil negara Tanah Melayu atau apa-apa nama yang semaksud dengannya. Apa yang wujud adalah negeri-negeri berdaulat dengan sultan-sultan sebagai ketua kerajaan. Setiap negeri mempunyai Undang-Undang Tubuh atau perlembagaan masing-masing. Perak, Selangor dan Negeri Sembilan telah membentuk persekutuan pertama di Tanah Melayu dan dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Selepas kekalahan Jepun dalam perang dunia ke-2, British cuba memperkenal gagasan Malayan Union di mana Tanah Melayu pada masa itu diletakkan dibawah satu pentadbiran dengan seorang Gabenor menjadi ketua pentadbiran. Ini bermakna tidak wujud lagi negeri-negeri berdaulat seperti Kelantan, Johor, Selangor dan lain-lain.

Seperti yang tercatat dalam sejarah, gagasan Malayan Union mendapat tentangan hebat dan akhirnya Persekutuan Tanah Melayu terbentuk. Terdapat perbezaaan besar antara Malayan Union dengan Persekutan Tanah Melayu. Malayan Union adalah sebuah negara tunggal berbanding persekutuan yang mana adalah gabungan beberapa buah negara. Dalam persekutuan, setiap negeri masih lagi sebuah kerajaan yang sah dengan ketua negara/i serta undang-undangnya sendiri.

Selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (dan kemerdekaannya pada 1957), timbul pula cadangan supaya Sabah, Sarawak dan juga Brunei yang masih dibawah pentadbiran British untuk turut menyertai Persekutuan Tanah Melayu. Satu pungutan suara diadakan untuk memastikan kehendak rakyat sama ada untuk merdeka daripada British sebagai sebuah negara berdaulat ataupun menyertai Persekutuan Malaysia yang ingin dibentuk. Akhirnya Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia (Federation of Malaysia). Pembentukan Persekutuan Malaysia inilah yang kita sambut pada 16 September hari ini.

Hari ini, semangat persekutuan (federalism) semakin terhakis dengan generasi baru kadang-kadang tidak tahu yang Malaysia ini sebuah negara persekutuan. Ironi sekali walaupun Malaysia satu-satunya negara persekutuan di rantau Asia Tenggara, ia antara yang mempunyai pentadbiran paling berpusat sekali ! Ditambah pula dengan sikap kerajaan yang memerintah sekarang di peringkat pusat tidak menghormati prinsip persekutuan dengan menganak-tirikan negeri seperti Kelantan yang diperintah oleh parti yang berlainan dengan mereka. Sepatutnya dalam semangat federalism, mereka menghormati hak rakyat disetiap negeri untuk memilih kerajaan yang mereka ingini.

Selamat Hari Malaysia.

Saturday, May 14, 2011

Yang Kita Tahu

"kepada semua org melayu yg sokong anwar... fikir la...korang x tau pasal anwar sbb tu korang sokong dia...aku dalam tentera aku tau apa yg telah dia buat.... dia memang x layak jadi pemimpin...kalau dia jadi pemimpin malaysia sekali lagi akan diijajah"

Ayat di atas saya petik dalam satu video di laman youtube. Persoalan seperti di atas sememangnya akan menjadi dilema bagi kita yang naif dalam hal ehwal dalam politik negara. Agak sukar untuk kita membuat keputusan dalam keadaan yang begitu bercelaru seperti sekarang.

Banyak benda yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu betulkah anwar mempunyai moral yang rendah seperti didakwa oleh sesetengah pihak. Kita tidak tahu jika anwar itu betul2 talibarut Israel. Seperti komen di atas, kita tidak tahu adakah jika anwar menjadi menteri perdana Malaysia, kita akan dijajah sekali lagi. Banyak lagi kita tidak tahu. Berhukum atau membuat keputusan berdasarkan benda yang kita tidak tahu memang menyeksakan.

Tapi ada benda yang kita tahu. Kita tahu UMNO itu korup. Kita tahu 50 tahun UMNO memerintah Malaysia, kita bukan semakin baik. Kita tahu saban hari kehidupan kita tertekan dengan kejatuhan nilai mata wang kita. Kita tahu kalau RM12.00 hari ini dapat beli seekor ayam, belum tentu nilai duit yang sama akan dapat membeli ayam yang sama di musim raya akan datang. Kita tahu duit rakyat berbillion hilang dalam projek gajah putih yang mana bekas menteri sedang didakwa atas tuduhan menipu kabinet, walaupun diperingkat awalnya ia dinafikan. Banyak lagi yang kita tahu. Berdasarkan apa yang kita tahu, saya yakin tidak sukar untuk kita membuat keputusan.

Persetankan nama pemimpin. Pemimpin datang dan pergi namun prinsip asas dalam membuat keputusan tetap sama. Jika tidak mampu memilih yang terbaik, kita buang dulu yang terburuk.



Wednesday, February 23, 2011

'Pencerahan' itu bukan dalam Sains. Yang akan ditemui dalam Sains hanyalah 'kepuasan', buat santapan akal sedangkan jiwa masih lagi kelaparan.

Tuesday, September 28, 2010

The Zikr - Wahai Mujahid

Dalam kereta masa nak balik rumah tadi terdengar kat Ikim satu lagu ni. Dengar je intro lagu ni aku rasa macam kenal sangat dengan melodinya walaupun liriknya terasa agak lain. Memang banyak lagu-lagu lama yang diberi nafas baru sekarang. Sepanjang jalan aku cuba ingat balik lagu asalnya. Sampainya je rumah terus Google. Rupa-rupanya lagu nyanyian Rabbani, Inteam, Saujana dan Nowseeheart dengan tajuk Bebas Palestin. Tapi aku yakin ni lagu lama, scroll down dan akhirnya jumpa juga link yang aku nak cari.

Lagu The Zikr - Wahai Mujahid dari album Antara Dua Cinta kalau tak silap.

Thursday, September 23, 2010

300 bilion tu banyak mana ?

Sebab tak mampu nak kira berapa banyak duit tu, aku cuba dapatkan sedikit perbandingan.

KDNK Malaysia lebih kurang RM 600 bilion.
KDNK Singapura lebih kurang RM 500 bilion.
Bayaran dividen oleh Petronas kepada kerajaan Malaysia kira-kira RM30 bilion.
Kos pembinaan Putrajaya kira-kira RM25 bilion.
Bajet RMK9 untuk Iskandar Malaysia - RM10 bilion.
Tuntutan royalti minyak Kelantan - RM2.5 bilion.

Memang hebat syarikat yang ada duit RM300 bilion.

Monday, May 03, 2010

Masuk Singapura dari Johor Bahru

Update
Sekarang aku naik bas pergi City Square (dari Taman U) dan terus jalan kaki ke bangunan CIQ. Naik bas Causeway Link (CW1) ke stesen MRT Kranji. Tambang RM0.90. Kalau nak balik ke JB, bas CW1 dari Kranji adalah SGD1.00. Mahal sikit bila balik. Kadang-kadang aku naik bas SBS (170/160) je kalau CW1 ramai sangat. Kat Kranji ni tak tentu, kadang-kadang beratur bukan main panjang kalau nak balik sekitar pukul 7.30-8.00 malam. Tapi yang paling leceh adalah masa nak tunggu bas kat checkpoint, lepas cop paspot.

Ada 2 pilihan, sama ada pergi ke Larkin dan ambil bas dari sana atau jalan kaki terus ke CIQ baru (Bangunan Sultan Iskandar) dari City Square dan JB Sentral. Aku ambil bas dari Larkin. Ada beberapa bas, Singapore Johor Express (SJE) - SGD2.40, SBS Transit, Causeway Link (bas kuning CW1, CW2).

Dari Larkin, bas akan bergerak ke bangunan CIQ, dari situ kena turun dan naik ke atas balai perlepasan untuk pemeriksaan passport. Bagi pemegang passport Malaysia agak senang melalui pintu automatik, cuma masukkan passport, tunggu ia dibaca oleh mesin dan sahkan dengan cap jari digital. Lepas tu kena turun bawah balik ke ruang menunggu bas. Kita boleh tunggu bas dari syarikat yang sama kita naik sebelum ini atau naik mana-mana bas yang ada mengikut destinasi yang dituju (kena bayar balik tiket). Oleh kerana bas SJE belum ada lagi, aku terus naik bas CW2 ke Kranji - RM0.90.

Dari bangunan CIQ, bas akan bergerak melintasi Tambak Johor. Sampai di Checkpoint Singapura, kena turun bas lagi untuk pemeriksaan passport. Masa ni lebih kurang pukul 10.00 pagi jadi orang dah tak ramai. Agak lancar walaupun kali ni aku kena 'full body check' dan beg semua kena selongkar. Lepas dah 'clear' semua urusan imigresen, turun ke bawah tunggu bas lagi. Macam tadi, boleh naik bas syarikat yang sama kita naik tadi atau terus naik mana-mana bas yang ada (tapi kena bayar lagi laa). Aku tunggu je bas CW2.

Rupa-rupanya dekat sangat stesen MRT Kranji dengan Checkpoint. Lebih kurang 5 minit je.

Pindah Johor

Minggu lepas akhirnya kami sekeluarga pindah kembali ke Johor. Hari terakhir aku kerja Jumaat, Sabtu kami terus pindah. Sewa lori dari loriuntukdisewa.blogspot. Perkhidmatan agak memuaskan dan itu yang termurah dapat kami cari untuk angkut barang dari KL ke Johor Bahru.

Rancangan untuk berpindah sebenarnya daripada akhir tahun lepas lagi. Agak sukar nak buat keputusan sebab sayang nak tinggalkan kerja sekarang tapi setelah difikirkan semua perkara, aku rasa pindah Johor adalah jalan terbaik bagi kami.

Hari Isnin, sehari lepas pindah kebetulan abang aku nak balik Kelantan. Keretanya banyak lagi kosong jadi kami ambil kesempatan untuk tumpang balik sama. Tercapai jugak hasrat aku nak balik Kelantan sekian lama. Kesian sebenarnya kat isteri yang dah sarat (8 bulan). Ini kali pertama balik setelah Fathi dapat berjalan, sebelum ni balik Kelantan Fathi baru 6 bulan. 'Mencabar' betul balik dengan anak kecik ni, taknak duduk diam budak ni. 2 kali muntah terjeluak makanan, habis semua orang hidu bau muntah Fathi sampai Kelantan, huhu.

5 hari kat Kelantan, terlepas jugak rindu kat ma dan abah. Harap-harap dengan pindah Johor ni akan dapat lagi banyak kesempatan untuk balik jenguk mereka. Hari Jumaat kami bertolak balik Johor, hari Isnin (semalam) aku kena masuk Singapura untuk interbiu kerja baru.

Sunday, April 18, 2010

Adakah Muhyidin layak terima zakat ?

Muhyidin Yassin dalam ucapannya di Hulu Selangor (melalui Buletin Utama) dengan bongkaknya berkata kalau kerajaan zalim, dah ramai rakyat yang mati kebuluran. Ni aku nak balas, kalau kerajaan tak zalim, selepas 52 tahun memerintah, patut dah tak ada rakyat negara ini yang terpaksa mengemis kat pasar malam sambil gendong anak kecil. Patut dah tak ada yang terpaksa mengemis kat tangga stesen lrt. Dan akhir sekali, rancangan Bersamamu kat TV3 tak sepatutnya wujud selepas 52 tahun parti dokongan kau memerintah.

Umar Bin Abdul Aziz selepas tak sampai 3 tahun memerintah, sudah tidak ada rakyatnya yang layak menerima zakat. Ini aku nak tanya, Umar Bin Abdul Aziz adalah satu-satunya rakyat dalam kerajaannya yang layak menerima zakat, adakah Muhyidin Yasin juga layak menerima zakat ? Kau boleh cakap kerajaan Umar Bin Abdul Aziz kecik, rakyatnya tak ramai. Abaikan saja fakta yang empayarnya ketika itu menjangkau sehingga ke Afrika. Tapi parti kau ada 52 tahun beb, Umar Bin Abdul Aziz cuma ada 3 tahun.

Sunday, March 14, 2010

Internet dan kesan terhadap bahasa.

"Bahasa amat berkait rapat dengan perkembangan budaya sesuatu bangsa. Kegagalan bangsa Melayu untuk berbahasa dengan betul dapat dilihat dalam ketiadaan sebuah budaya saintifik dalam pembangunan bangsa kita. Bahasa menterjemahkan pemikiran. Bahasa yang tunggang-langgang, caca merba dengan bahasa lain tanpa disiplin yang tetap, melambangkan pemikiran yang caca merba juga."

Melungsuri blog-blog tempatan kadang-kadang buat aku rasa takut dan rimas. Sudah amat jarang aku luangkan masa untuk membaca blog-blog tempatan. Masa online aku sekarang banyak dihabiskan di laman berkaitan dengan bidang kerjaya aku sahaja - programming.

Kebolehcapaian (accessibility) yang tinggi terhadap web dan segala macam aplikasinya untuk menghasilkan kandungan (content) - Facebook, Twitter, Blogger, Wordpress (sekadar menyebut beberapa nama) menyebabkan orang tak perlu 'berfikir' untuk menerbitkan sesuatu di web. Cuma perlu taip, tekan butang 'Post', 'Publish' dll, apa yang anda tulis akan tersebar ke serata Internet melalui web, email atau IM. Satu kesan paling ketara adalah terhadap penggunaan bahasa. 80% daripada kandungan blog tempatan (yang aku sempat baca) langsung tidak memberi sebarang perhatian terhadap aspek bahasa. Tunggang-langgang, bercampur baur Melayu-Inggeris dan mengabaikan segala bentuk peraturan tatabahasa dan 'typography'.

Yang paling menakutkan, sindrom ini menular kepada setiap peringkat umur sama ada remaja, dewasa, malah di kalangan guru-guru sekali. Aku cuma boleh berharap cikgu-cikgu ini bukan guru bahasa di sekolah masing-masing.

Sunday, August 30, 2009

Menguruskan Kutipan Derma Secara telus

Akhir-akhir ni agak kerap yang datang ketuk pintu rumah, nak kutip derma untuk organisasi tertentu. Aku kurang senang sebenarnya dengan kaedah sebegini. Dalam keadaan ramai yang cuba mengambil kesempatan, kaedah kutipan sebegini rasanya sudah tidak boleh dipakai.

Sukar nak tentukan ianya betul atau tidak.
Faktor psikologi - Kadang-kadang serba salah berapa nak bagi. Sikit sangat segan, banyak tak mampu.

Sebab tu bagi aku yang lebih efisien bagi mereka yang nak menganjurkan kutipan derma, buat satu persediaan lengkap. Sekurang-kurangnya nombor akaun bank yang digunakan untuk menyimpan dana yang dikutip. Lagi bagus kalau ada laman web khas (zaman sekarang pakai Facebook pun ok). Laman web ni kalau dapat 'peer-review' akan meningkatkan lagi kredibilitinya. Bayangkan kalau dekat Facebook, rakan anda memberi ulasan positif (atau 'Like' dalam fungsi Facebook), sudah tentu anda bertambah yakin terhadap kesahihan kutipan tersebut.

Bagi sukarela yang terlibat pula, apabila pergi dari rumah ke rumah tugas mereka hanyalah mengedarkan risalah berkaitan kutipan derma tersebut. Dalam erti kata lain, mereka hanya menimbulkan kesedaran (raising awareness) terhadap kutipan tersebut. Orang yang menderma pula, dapat melakukannya dengan rasa yakin (selepas menyemak maklumat yang diberikan) dan yang paling penting dapat melakukannya tanpa rasa segan dan sebagainya.

Baru sebentar tadi ada orang ketuk pintu rumah, nak kutip derma untuk Yayasan Latihan Insan Istimewa Ipoh.

"Awak bagi la no. akaun bank, nanti kalau ada masa saya check", aku terus potong cakap dia yang tengah nak terangkan pasal kutipan derma tu.

"Takde lah bang. Saya buat ni pun cuma tolong kawan je, mana ada akaun bank".

"Awak buat kutipan derma mesti ada akaun bank, kalau tak mana awak nak simpan duit tu. Lain kali buat betul-betul la, saya bukan taknak bagi".

Budak tu tak nak mengalah, "Kalau abang ada cek, abang tulis je lah atas nama ni".

Budak ni, takkan aku nak tulis cek sepuluh ringgit je.

"Maaflah, kalau awak ada nombor akaun saya boleh check nanti kalau ada masa", tutup bicara, malas dah nak layan.

Oleh sebab budak tu tinggalkan nama organisasi yang buat kutipan derma tu, aku google jugak nama yang dia berikan. Sebab dah janji, tak baik janji kosong. Nama tersebut ada disenaraikan kat laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kat Facebook pun ada group yang menyatakan organisasi tersebut. Jadi boleh dianggap kutipan derma yang sah. Oleh kerana di laman web JKM tu ada sertakan sekali nombor akaun bank. aku buat interbank transfer ke akaun tersebut. Sikit je, kalau banyak aku dah tulis kat sini, siap bold lagi.

Aku rasa lebih selesa dengan cara macam ni. Kalau tak macam kena paksa bila orang datang kutip derma kat rumah. Aku paranoid sebab dah pernah kena tipu, bukan sikit, banyak ! Atas nama kebajikan jugak.

Tuesday, August 18, 2009

AH1N1: Keberkesanan topeng muka

Face masks, do they work ?
http://www.smh.com.au/national/face-masks-do-they-work-20090430-aod2.html
"The role of face masks is indeterminate at the moment. There are various opinions but we can't be sure," says Professor Adrian Sleigh of the National Centre for Epidemiology and Population Health in Canberra.
Topeng muka juga hanya boleh dipakai sekali dan terus dibuang. Tertanya-tanya juga sama ada orang ramai amalkan atau tidak. Satu sekarang mungkin RM2.00, maknanya satu bulan kerja kena belanjakan RM40.00 untuk topeng muka sahaja. Nasib baik tiada sebarang perbezaan antara topeng yang mahal dengan yang murah dari segi keberkesanan.

Dan ini pula, tidak digalakkan memakai topeng muka bagi mereka yang sihat:-
The wearing of face masks by healthy individuals who are not involved in caring for people who are ill (i.e. the general public) is not recommended by the HPA. However, it is recognised that some people may choose to do so. The available scientific evidence does not suggest that this is an effective preventative measure. In addition, there are a range of practical issues that may need to be considered:
Perlukan alternatif lain nampaknya.