Friday, October 31, 2025

Mencari Makna Hidup

Ada satu soalan yang sering kita tunda untuk difikirkan — “Apa sebenarnya makna hidup aku?”

Ramai orang hanya mula mencari jawapan bila dah dewasa, bila kerja tak lagi memberi semangat, bila hidup terasa kosong walaupun segalanya nampak "ok" di luar. Tapi sebenarnya, pencarian makna hidup ni tak perlu menunggu umur matang atau masalah besar datang. Ia boleh -- malah patut -- bermula sejak remaja.

Dalam dunia moden, remaja sering disibukkan dengan pencapaian luaran - keputusan peperiksaan, universiti mana nak masuk, kerja apa nanti. Tapi jarang diajak untuk fikir, “Kenapa aku buat semua ni?” 

Pertanyaan “kenapa” ni lah sebenarnya akar kepada makna.

Kalau ikut konsep Ikigai dari Jepun — makna hidup terletak di persilangan antara empat perkara: apa yang kita suka, apa yang kita pandai, apa yang dunia perlukan, dan apa yang boleh beri nilai atau rezeki kepada kita.

Benda ni nampak falsafah, tapi sebenarnya sangat praktikal kalau mula dari remaja. Waktu remaja ni lah masa kita mula kenal diri — apa yang buat kita hidup, bukan sekadar wujud.

Dalam sirah Nabi, ada banyak contoh remaja yang dah jumpa “ikigai” mereka lebih awal.

Ambil contoh Mu‘adz bin Jabal — masa baru belasan tahun, dia dah menjadi antara sahabat yang paling faqih dalam agama. Nabi SAW sendiri pernah sebut, “Orang yang paling tahu halal dan haram di antara umatku ialah Mu‘adz bin Jabal.” 

Mu‘adz memeluk Islam sewaktu muda, di tangan Mus‘ab bin Umair - pendakwah pertama yang tiba di Madinah. Beliau bukan sekadar ikut, tapi benar-benar faham apa yang baginda Rasulullah bawa. Bersama beberapa anak muda lain, Mu‘adz mula menyebarkan Islam dengan cara yang bijak - mereka sembunyikan berhala kaum mereka setiap malam, sampai akhirnya seorang pemimpin tua, Amru bin al-Jamuh, sedar bahawa “tuhannya” itu tak mampu berbuat apa-apa.

Dari situ, Amru memeluk Islam - hasil kenakalan cerdik anak-anak muda yang tahu tujuan merekaNakal yang membawa hidayah.

Di usia belasan hingga awal 20-an, Mu‘adz sudah menjadi guru kepada orang lain.
Itu bukan kerana umurnya, tapi kerana makna hidupnya jelas — menuntut dan menyebarkan ilmu. 

Maknanya, Mu‘adz bukan tunggu dewasa baru serius mencari peranan hidupnya. Dia mula dengan rasa ingin tahu, belajar bersungguh, dan akhirnya tahu di mana tempat dia menyumbang.

Kalau kita tengok zaman sekarang pun, masih ada remaja yang berjaya hidup dengan “makna” mereka. 

Malala Yousafzai, misalnya, sedar sejak kecil bahawa pendidikan itu hak semua — bukan hanya untuk lelaki. Dia berjuang walau diancam nyawa, sebab dia tahu kenapa dia belajar dan kenapa dia bersuara.

Atau Boyan Slat, yang pada usia 16 tahun kecewa tengok laut penuh sampah plastik, lalu mulakan projek The Ocean Cleanup. Daripada satu idea sains di sekolah, jadi misi global yang kini bersihkan ribuan tan plastik di lautan.

Dan satu lagi kisah yang menarik - Iman Usman, pengasas RuangGuru dari Indonesia. Dia bukan sekadar minat dalam pendidikan, tapi benar-benar percaya bahawa ilmu sepatutnya boleh diakses semua orang. Sejak remaja lagi, dia terlibat dalam program sosial, mengajar anak-anak di kampung, dan menulis tentang pendidikan. Dari situ lahir satu visi besar — menjadikan teknologi sebagai alat perubahan sosial. 

Iman jumpa “ikigai” dia bukan melalui motivasi kosong, tapi melalui pengalaman membantu orang lain.

Kadang-kadang kita fikir mencari makna hidup ni berat, macam perjalanan spiritual yang rumit. Tapi sebenarnya ia boleh bermula dari soalan kecil:

  • Apa benda yang buat aku rasa hidup bila aku buatnya?

  • Masalah apa dalam dunia ni yang aku betul-betul peduli nak selesaikan?

  • Kalau aku ada masa dan tenaga, aku nak guna untuk apa?

Tak semua orang jumpa jawapan segera. Tapi proses mencari tu sendiri — bila dimulakan awal — membentuk cara kita melihat hidup. Kita jadi lebih sedar, lebih berniat, dan tak mudah hanyut ikut arus.

Contoh latihan refleksi diri untuk mencari "ikigai":-

Tulis jawapan dalam setiap bulatan dan lihat di mana mereka bertindih.
Bahagian yang bertindih tu ialah petunjuk awal ikigai — bukan jawapan muktamad, tapi kompas arah hidup.

Contoh lebih jelas - seorang remaja tulis begini:-

  • ❤️ Suka: melukis, reka cerita

  • 💪 Pandai: guna komputer, buat animasi ringkas

  • 🌍 Dunia perlukan: hiburan yang mendidik, kisah positif

  • 💰 Boleh beri rezeki: bidang reka grafik, animasi, game design

➡️ Maka, ikigai-nya mungkin terletak dalam bidang kreatif digital — contohnya animasi atau reka permainan yang memberi inspirasi kepada orang lain.

Makna hidup bukan benda yang kita temui sekali dan selesai. Ia berubah, bertumbuh bersama kita. Tapi kalau remaja dah mula bertanya soalan yang betul, mereka akan membesar dengan arah yang lebih jelas — bukan sekadar mengejar kejayaan, tapi memahami kenapa mereka mahu berjaya.

Dan dari situ, hidup mula terasa benar-benar hidup.

Benda ni nampak falsafah, tapi sebenarnya sangat praktikal kalau mula dari remaja. Waktu remaja ni lah masa kita mula kenal diri - apa yang buat kita hidup, bukan sekadar wujud.

Dan sebenarnya, tak perlu pun terlalu rumit untuk mula mencari arah hidup. Ada satu prinsip moden yang aku suka - tak pasti siapa mula, tapi aku rasa konsepnya sangat dekat dengan ikigai.

Katanya, untuk memperbaiki hidup, kita perlukan lima hobi yang mantap:-

  1. Satu hobi yang buat kita duit – kerja, projek kecil, berniaga.

  2. Satu hobi untuk kekalkan kesihatan dan kecergasan – bersukan, berlari, silat, apa saja yang buat kita bergerak.

  3. Satu hobi yang bantu kita jadi kreatif – menulis, melukis, main alat muzik, reka benda baru.

  4. Satu hobi untuk kembangkan ilmu dan intelek – membaca, belajar, berbincang.

  5. Satu hobi untuk perbaiki mindset dan jiwa – solat, meditasi, refleksi diri, doa.

Kalau remaja mula bina lima ruang ni dalam hidup, tanpa sedar mereka sedang menyemai akar kepada makna hidup. Bukan semua mesti jadi “besar”, cukup kalau ia memberi tenaga dan arah.

Wednesday, October 22, 2025

Sekolah, Ibu Bapa, dan Siapa Patut Didik Anak Sebenarnya?

 

Selalu kita dengar ayat begini:-

“Kerja mendidik anak ni patutnya kerja mak bapak. Cikgu bukan pengasuh.”

Dan selalunya ayat ni keluar daripada mulut cikgu yang dah penat.
Penat dengan sistem, penat dengan karenah ibu bapa, penat dengan beban kerja yang tak pernah habis. 

Jadi bila ada orang kata sekolah kena tanggung semua, memanglah terasa macam beban yang tak adil.

Aku faham.

Tapi mari kita tengok dengan kepala yang tenang.

1. Ya, pendidikan memang bermula di rumah.

Tak ada siapa nak nafikan benda tu. Rumah tempat anak belajar nilai, kasih sayang, dan cara berfikir. Kalau rumah gagal, memang besar kesannya pada anak.

Tapi masalahnya — bukan semua rumah boleh mendidik. Ada rumah yang sentiasa bergaduh, ada yang terlalu miskin, ada yang mak bapak kerja dua syif, balik cuma sempat tidur.

Anak-anak ni membesar tanpa perhatian, tanpa bimbingan. Jadi bila kita ulang ayat “pendidikan bermula di rumah”, kita kena juga tanya: rumah yang macam mana?

Kalau rumah itu sendiri sumber masalah — maka menyalahkan rumah semata-mata ialah seperti menyuruh mangsa rawat dirinya sendiri. 

2. Sekolah sepatutnya bukan tempat lepas tangan, tapi tempat harapan, sebagai ruang pembetulan sosial.

Sebab itu sekolah wujud — bukan untuk menggantikan keluarga, tapi untuk menampung bila keluarga tak mampu.

Sekolah bukan cuma tempat bagi ilmu, tapi ruang membina manusia. Kalau anak datang ke sekolah lapar, keliru, terabai - kita tak boleh pura-pura tak nampak dan kata, “itu kerja mak bapak”.

Dalam dunia sebenar, kalau sekolah tak jadi tempat kedua untuk mereka, tak ada tempat lain pun yang akan buat begitu.

3. Guru memang manusia, bukan malaikat.

Guru pun letih. 30 orang murid satu kelas, ada 5–6 kelas sehari. Tulis laporan, isi data, urus kokurikulum, jaga emosi pelajar, dan dalam masa sama kena tunjuk “profesionalisme”.

Bila ibu bapa marah, cikgu kena sabar. Bila pelajar ponteng, cikgu kena pujuk.
Bila pelajar lapar, cikgu yang belanja. Bila pelajar tak cukup alat tulis, cikgu yang beli.

Dan bila semua tu jadi rutin, guru akan mula rasa satu soalan pahit —

“Aku ni guru ke penjaga kebajikan?”

Soalan tu bukan marah — tapi jeritan yang belum dijawab oleh sistem.

4. Tapi masalah sebenar bukan antara cikgu dan ibu bapa.

Masalah sebenar ialah sistem yang tak lengkap. Kita ada sistem pendidikan yang dibina atas andaian semua pelajar datang dari rumah yang stabil. Bila itu tak berlaku, semua tanggungjawab jatuh atas bahu guru.

Negara lain ada kaunselor tetap, pegawai kebajikan, psikolog pendidikan. Kita ada guru disiplin dan sistem eRPH. Semuanya diserah kepada satu insan yang sepatutnya cuma mengajar, tapi akhirnya memikul seluruh beban sosial negara.

5. Kalau sistem hanya bantu yang dah baik, kita gagal.

Bila kita kata “sekolah bukan tempat asuhan”, kita secara tak langsung menolak anak-anak yang datang dari rumah yang tak sempat jadi “rumah”. Dan bila sistem pendidikan hanya berfungsi untuk anak-anak yang sudah lengkap dari rumah,

maka kita bukan ada pendidikan nasional
kita cuma ada saringan sosial.

Kita selalu suka cari siapa salah — mak bapak ke, cikgu ke. Tapi sebenarnya, isu ni bukan soal salah siapa. Ia soal siapa ada kuasa untuk ubah sesuatu.

Ibu bapa mungkin kurang ilmu dan masa, tapi sistem dan sekolah ada ruang dan sumber untuk bentuk semula hala tuju. Kalau dua-dua pihak saling tuding, yang rugi tetap anak-anak, dan satu generasi lagi akan terus bergelut dalam kitaran yang sama.

Jadi ya, ibu bapa bertanggungjawab secara moral, tapi sekolah bertanggungjawab secara sistemik. Kalau sistem hanya tahu menunjuk jari, siapa yang akan tangkap budak-budak yang jatuh di celah-celah itu?

Wednesday, October 15, 2025

Jawi Sebagai Bahasa Jiwa Melayu

Orang selalu berkata, “Jawi itu tulisan, bukan bahasa.” Tapi bagi bangsa yang pernah berfikir dan berdoa dalam huruf-huruf itu, Jawi lebih daripada sekadar tanda bunyi — ia cerminan jiwa yang menulisnya.

Huruf-huruf Jawi bukan hanya disusun untuk menyebut, tetapi untuk menyampaikan makna dengan adab. Dalam satu baris tulisan Jawi, ada tertib, ada kesantunan, ada keinsafan bahawa perkataan juga satu amanah. Kerana itu, orang Melayu dahulu menulis bukan untuk menunjukkan pandai, tetapi untuk menzahirkan hikmah.

Bayangkan perbezaan ini:

  • Dalam Rumi kita menulis, “Saya tahu.”

  • Dalam Jawi, orang lama menulis, “Telah diketahui oleh fakir ini akan hal yang demikian.”
    Ayatnya panjang, tapi dalam panjang itu ada rendah diri, ada tertib antara penulis dan ilmu, antara manusia dan Tuhan.

Tulisan Jawi membawa bersamanya satu falsafah — bahawa kata ialah cermin budi, dan tulisan ialah zikir yang diam. Maka, bila kita menulis dalam Jawi, kita sedang menghidupkan kembali satu bentuk bahasa yang bernafas dengan roh.

Hari ini, kita mungkin menulis pantas di papan kekunci, tapi dalam kepantasan itu kita kehilangan hentian makna yang pernah membuat orang Melayu berfikir sebelum menulis. Dalam Jawi, setiap titik dan lengkung huruf seperti mengingatkan: “Tulis dengan hati, bukan sekadar tangan.”

Maka benar, secara ilmu bahasa, Jawi hanyalah tulisan. Tapi dari segi jiwa dan makna, Jawi ialah bahasa yang menulis semula manusia — bukan manusia yang menulis bahasa.


Sunday, August 24, 2025

Kurangkan Bersolek, Lebihkan Melorek

 

Anak remaja perempuan,

Waktu sekolah ini, kamu mungkin selalu rasa tertekan bila tengok rakan-rakan lain sibuk dengan make-up, skincare mahal, atau fesyen terkini. Kadang-kadang timbul rasa takut—“kalau aku tak cantik, nanti orang tak suka”, “kalau aku tak melawa, orang tak pandang”.

Tapi sebenarnya, keyakinan diri bukan datang daripada penampilan luaran. Cantik itu bonus, bukan asas. Kalau kamu bina keyakinan hanya pada wajah, make-up, atau pujian orang lain—kamu sebenarnya sedang terikat. Nampak bebas, tapi hati kamu bergantung kepada “like” orang lain untuk berasa berharga.

Sebaliknya, gunakan masa belajar ini untuk membina daya intelek. Asah otak, tambah ilmu, kembangkan bakat. Keyakinan sejati datang bila kamu tahu kamu ada sesuatu yang bernilai dalam diri, walaupun tanpa make-up atau baju berjenama.

Jangan risau kalau sekarang rasa tak cukup cantik. Akan sampai masanya nanti kamu boleh melawa, bersolek, dan bergaya dengan lebih matang. Tapi buat masa ini, kurangkan bersolek, lebihkan melorek—melorek ilmu, melorek idea, melorek cita-cita.

Ingat, trend akan datang dan pergi. Paras rupa juga berubah. Tetapi akal dan ilmu yang kamu bina, itulah yang akan kekal jadi kekuatan sebenar.

Kebebasan sebenar ialah bila kamu tidak perlukan sesiapa untuk “validate” diri kamu. Kamu tahu nilai kamu, walaupun orang lain tak memuji.

Thursday, December 26, 2024

Henrietta Swan Leavitt: Peneroka Bintang yang Mengukur Alam Semesta

 

Henrietta Swan Leavitt mungkin bukan nama yang dikenali ramai, tetapi hasil kerjanya yang luar biasa dalam bidang astronomi telah mengubah cara kita melihat alam semesta. Dilahirkan pada tahun 1868 di Massachusetts, dia membesar pada masa wanita mempunyai peluang yang terhad dalam bidang sains. Namun, tekad dan minatnya terhadap bintang telah meninggalkan kesan yang bergema di seluruh kosmos.

Selepas menamatkan pengajian di Kolej Radcliffe, Leavitt menyertai Balai Cerap Kolej Harvard pada tahun 1895. Ketika itu, wanita yang bekerja di balai cerap sering dirujuk sebagai "komputer." Tugas mereka adalah untuk menganalisis data yang dikumpulkan oleh ahli astronomi lelaki, tetapi Leavitt melihat lebih daripada sekadar angka. Dia ditugaskan untuk mengkaji bintang berubah-ubah—bintang yang berubah kecerahannya dari semasa ke semasa—menggunakan plat fotografi.

Penemuannya yang utama berlaku ketika dia mengkaji sejenis bintang berubah-ubah yang dipanggil bintang berubah-ubah Cepheid dalam Awan Magellan Kecil, galaksi jiran kepada Bima Sakti. Leavitt menyedari pola yang luar biasa: bintang berubah-ubah Cepheid yang lebih terang mengambil masa lebih lama untuk melengkapkan kitaran kecerahannya. Pada tahun 1912, dia menerbitkan penemuannya, menunjukkan hubungan langsung antara kecerahan bintang Cepheid dan masa yang diambil untuk redup dan terang semula. Penemuan ini dikenali sebagai "hubungan tempoh-kecerahan."

Mengapa ini penting? Kerja Leavitt memberikan ahli astronomi cara yang boleh dipercayai untuk mengukur jarak ke galaksi yang jauh. Jika anda tahu betapa terangnya sesuatu bintang sebenarnya, anda boleh membandingkannya dengan betapa terangnya ia kelihatan dari Bumi dan mengira jaraknya. Penemuannya menjadi asas kepada kerja Edwin Hubble, yang mendedahkan bahawa alam semesta sedang berkembang. Dalam satu cara, Henrietta Swan Leavitt memberikan ahli astronomi pengukur yang mereka perlukan untuk mengukur kosmos.

Pencapaian Leavitt lebih menginspirasi apabila kita mempertimbangkan cabaran yang dihadapinya. Sebagai seorang wanita dalam sains, dia jarang menerima pengiktirafan yang sewajarnya semasa hayatnya. Hanya selepas kematiannya pada tahun 1921 barulah sumbangannya mula dihargai sepenuhnya. Hari ini, namanya berdiri seiring dengan pelopor lain dalam bidang astronomi, membuktikan bahawa dedikasi dan rasa ingin tahu boleh mengatasi sebarang halangan.

Bagi mereka yang bercita-cita untuk meneroka alam semesta, kisah Henrietta Swan Leavitt adalah peringatan bahawa penemuan tidak selalu berlaku melalui teleskop. Kadangkala, ia terdapat dalam kajian teliti terhadap pola dan data. Kerjanya menunjukkan bahawa setiap butiran adalah penting dan sesiapa sahaja—tanpa mengira keadaan mereka—boleh memberikan sumbangan dalam memahami misteri alam semesta.

Jadi, lain kali anda melihat ke langit malam, ingatlah Henrietta Swan Leavitt, peneroka bintang yang mengajar kita cara mengukur langit. Mungkin suatu hari nanti, rasa ingin tahu anda boleh membawa kepada penemuan besar seterusnya dalam bidang astronomi!

Friday, December 06, 2024

Bagaimana manusia purba tidak terpengaruh dengan pemikiran bumi rata?

Manusia purba berjaya mengatasi tanggapan fizikal tentang Bumi yang rata dengan gabungan pemerhatian teliti, penaakulan logik, dan pengiraan matematik. Walaupun tanpa teknologi moden, mereka mampu menyimpulkan bahawa Bumi berbentuk sfera dan berputar melalui beberapa kaedah utama.


Pemerhatian Astronomi

Ahli astronomi purba membuat pemerhatian penting yang mencabar tanggapan Bumi rata:

  1. Gerhana Bulan: Bayangan bulat Bumi pada bulan semasa gerhana bulan menunjukkan bahawa Bumi berbentuk sfera[4].

  2. Pergerakan cakerawala: Gerakan harian jasad cakerawala dan pola bintang yang konsisten di sekitar titik tetap (kutub cakerawala) memberi petunjuk tentang putaran Bumi[1].

  3. Kebolehnampakan bintang yang berbeza: Pelaut mendapati bahawa bintang yang kelihatan berubah-ubah ketika mereka bergerak ke utara atau selatan, menunjukkan kelengkungan Bumi[4].


Pengiraan Matematik

Ahli matematik dan astronomi Yunani purba menyumbang penemuan penting:

  1. Lilitan Bumi: Eratosthenes mengira lilitan Bumi sekitar tahun 240 SM dengan ketepatan yang mengagumkan, menggunakan ukuran bayang-bayang di lokasi yang berbeza[4].

  2. Model sfera: Menjelang abad ke-5 SM, konsep Bumi berbentuk sfera diterima secara meluas di kalangan cendekiawan Yunani[4].


Penaakulan Falsafah

Pemikir purba menggunakan hujah logik untuk menyokong idea Bumi sfera:

  1. Empedocles dan Anaxagoras: Pada abad ke-5 SM, mereka berhujah tentang bentuk sfera Bumi berdasarkan pemerhatian gerhana bulan[4].

  2. Aristotle: Beliau memberikan hujah tentang kesferaan Bumi, termasuk bayangan bulat semasa gerhana bulan dan perubahan kedudukan bintang semasa perjalanan ke utara atau selatan.


Aplikasi Praktikal

Tamadun purba mengaplikasikan pemahaman mereka tentang bentuk Bumi secara praktikal:

  1. Navigasi: Pelaut menggunakan teknik navigasi cakerawala berdasarkan model Bumi sfera untuk pelayaran jarak jauh.

  2. Penjagaan masa: Jam matahari dan alat penjagaan masa lain direka berdasarkan pemahaman tentang putaran Bumi.


Pertukaran Budaya

Penyebaran pengetahuan antara tamadun memainkan peranan penting:

  1. Pengaruh Yunani: Konsep Bumi sfera tersebar melalui pengaruh Yunani semasa zaman Hellenistik[1].

  2. Zaman Keemasan Islam: Cendekiawan Islam memelihara dan mengembangkan ilmu Yunani, memperbaiki lagi pengiraan dan model.


Kesimpulan
Manusia purba berjaya mengatasi persepsi Bumi rata melalui gabungan pemerhatian sistematik, penaakulan matematik, dan aplikasi praktikal. Keupayaan mereka untuk mencabar pengalaman deria dengan deduksi logik dan bukti empirikal menjadi asas kepada pemahaman moden kita tentang bentuk dan pergerakan Bumi.

Rujukan:
[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Spherical_Earth
[2] https://en.wikipedia.org/wiki/Myth_of_the_flat_Earth
[3] https://www.albert.io/blog/earths-rotation-and-revolution/
[4] https://www.loc.gov/static/collections/finding-our-place-in-the-cosmos-with-carl-sagan/articles-and-essays/modeling-the-cosmos/ancient-greek-astronomy-and-cosmology.html

Menyingkapi kritikan terhadap dialog Dr. Maszlee Malik dalam drama Kudeta

 Bila isu ini timbul, aku garu kepala jugak. Aku memang mengikuti drama Kudeta, walaupun tak serapat sangat sebab kat rumah aku takde Astro. Peluang untuk menonton cuma bila sekali-sekala bertandang ke rumah bapa mertua aku, kat sana ada astro.

Walaupun tidak sehebat drama bertemakan politik seperti House of Card atau Borgen tapi bagi aku Kudeta masih ok lah, sebab tu aku layan jugak. Babak Jamal dengan Maryam semasa kat penjara tu pun aku dah tengok, cuma aku tak perasan dialog yang dihamburkan Jamal, nampak-nampak Maryam tampar dia.

Jadi bila isu ini timbul, aku tengok balik babak ini untuk dapat tahu apakah dialog yang jadi kritikan hebat warga maya. Pertama sekali, secara umumnya memanglah ungkapan yang digunakan oleh Jamal dalam babak tersebut memang satu bentuk perlecehan yang kita tidak boleh terima. Bab ni khalas, tak boleh nak takwil lagi.

Cumanya, dalam babak ini, walaupun anda tidak menonton keseluruhan drama tersebut, daripada awal kita dah boleh agak yang Jamal ni orang jahat. Dia pula sedang bercakap secara peribadi dengan musuh politiknya iaitu Maryam. Secara logiknya, kita boleh jangka yang tak mungkin seorang yang berperibadi buruk macam Jamal akan bercakap elok-elok. Kalau kat tempat umum tu mungkin lah, Jamal ni ahli politik, sudah tentu di khalayak awam dia akan pandai bermuka-muka, malah mungkin siap petik ayat Quran ataupun hadis lagi bila bercakap.

Babak tersebut juga diakhiri dengan baik. Sebaik saja terlucut ungkapan perlecehan tersebut daripada mulut Jamal, terus Maryam bagi dia penampar, menunjukkan perbuatan tersebut langsung tak boleh diterima.

Thursday, February 08, 2018

Nak sewa kereta di Johor Bahru ?

Kali pertama aku nak sewa kereta, yang aku jumpa cuma KLEzcar, yang direkomen seorang rakan FB. Aku sewa Persona untuk balik raya. Asalnya nak cari Alza tapi sebab dah lambat, cuma Persona je yang ada. Proses tempahan dan bayaran semua melalui website, cuma deposit bayar secara tunai masa nak ambil kereta.

Kali kedua, aku cuba Wahdah pula. Kali ini aku bertanya kat FB, rupanya ramai juga kalangan kawan-kawan sekitar JB ni yang buat bisnes kereta sewa. Proses tempahan Wahdah juga melalui laman web mereka. Bayaran boleh melalui kad kredit dan beberapa pilihan lain. Yang menarik transaksi Wahdah adalah 100% online, tiada tunai. Jadi kita cuma pergi ke tempat 'pick-up' dan tunjukkan slip tempahan. Untuk sewaan kali ini, aku cuba Alza.



Kali ketiga, aku sewa dengan Tazbay, kereta Alza baru dan aku orang pertama yang pandu ! Proses tempahan adalah melalui Whatsapp dan untuk bayaran, boleh bagi tunai atau buat pindahan bank je. Aku ada tempah untuk sewa melalui Tazbay sekali lagi selepas itu tapi terpaksa cancel saat-saat akhir sebab anak tak sihat. Burn duit deposit tapi sebenarnya dah agak bernasib baik sebab polisi biasa penyedia kereta sewa jika pembatalan dalam masa kurang 24 jam, tiada sebarang refund.

Jadi itu antara perkhidmatan kereta sewa yang aku dah cuba. Kalau anda ada yang lain, boleh kongsikan sekali melalui komen di bawah.

Tuesday, February 06, 2018

Perbaharui Passport

Setia Tropika - ramai
UTC Kota Raya - Ahad ramai

Kaunter Imigresen UTC Kota Raya JB

Ambil nombor giliran, beratur. Sediakan passport lama + mykad. Kalau passport guna cover, keluarkan siap-siap.

No dipanggil ke kaunter permohonan - nyatakan 2 atau 5 tahun, ambil gambar, sahkah maklumat diri, tandatangan, thumbprint. Pastikan pakai baju gelap, kalau tak nanti kena pakai jaket yang mereka sediakan utk ambil gambar.

Tunggu dipanggil ke kaunter bayaran. Masa untuk ambil akan ditulis pada resit bayaran - biasa selepas 1 jam.

Selepas 1 jam, pergi ke kaunter serahan. Pegawai bertugas akan buat pengumuman - Resit pukul sekian-sekian ke pukul sekian-sekian, boleh serahkan resit - letak resit dalam bakul yang disediakan. Tunggu nama dipanggil.

Atas cerita tahun 2014. 2018, aku kena perbaharui passport lagi. Prosedur masih lebih kurang sama. Aku pergi ke UTC Kota Raya juga. Kalau dulu aku pergi pagi, kena beratur panjang. Kali ni aku pergi waktu petang. UTC Kota Raya buka sampai 10 malam. Tak perlu beratur masa nak ambil no. giliran.

Di kaunter permohonan, tiada lagi pilihan tahun. Bayaran nampaknya tetap kepada RM200.

UTC Kota Raya, JB. Sebelah kanan LHDN dan JPN

Tuesday, November 14, 2017

Tentang Bitcoin

Buat masa sekarang, post ini cuma mengandungi pautan ke artikel-artikel dan perbincangan berkaitan bitcoin. Banyak aku nak tulis pasal bitcoin tapi belum sempat (alasan standard ...).

Aku cuma berminat dengan bitcoin secara teknikal. Sama ada bitcoin ni patuh syariah atau tidak, aku masih berbelah bagi. Setakat yang aku jumpa, banyak pendapat hanya menyentuh aspek non-teknikal yang bagi aku, tidak adil untuk mengatakan bitcoin tidak patuh syariah.

Namun bila bercakap pasal mining, jika anda faham apa yang miner buat sebenarnya, ia bagi aku hampir sama dengan mencuba nasib atau bahasa kasarnya judi. Bila terangkan pasal mining, ramai yang sebut pasal menyelesaikan "permasalahan matematik". Ianya tidaklah secanggih itu. Tiada permasalahan matematik yang hendak diselesaikan pun. Ianya hanyalah proses meneka suatu nombor rawak daripada sejumlah nombor yang amat besar dan miner hanya boleh 'meneka' nombor tersebut melalui pengulangan proses cuba-jaya (try and error).

Aku sebenarnya lebih berminat dalam aspek "decentralization" (decent) dan kebetulan, atau lebih tepat kedatangan bitcoin mempopularkan balik idea berkaitan decent yang mati seketika pasca dotcom boom dan keghairahan terhadap media sosial.

Adakah bitcoin akan mati satu ketika nanti ?

Satu perkara yang menganggu fikiran aku tentang bitcoin sekarang adalah ia bukan lagi semata-mata berfungsi sebagai matawang untuk medium pertukaran barang (medium of exchange), tapi bitcoin itu sendiri diniagakan dan dijadikan bahan pelaburan dan pelabur bergantung kepada spekulasi harga bitcoin bagi mengaut keuntungan.

Satoshi was wrong ?

Friday, August 04, 2017

Review pendek filem Teacher's Diary

Aku terjumpa filem ni masa dok browse kat youtube. Tak sangka ia filem yang menarik. Kisah 2 orang guru yang dihantar mengajar ke sekolah "rumah bot" di pedalaman. Aku tak nak cerita lebih-lebih, nanti spoiler pulak.

http://www.imdb.com/title/tt3500528/

Jadi aku cuma kongsikan satu detik berkesan bagi aku dalam filem ini. Iaitu semasa Ms Ann cuba memujuk salah seorang pelajar untuk kembali ke sekolah. Ms Ann menggunakan alasan, dengan belajar kita akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan berbagai jenis pekerjaan di luar sana, tidak terhad kepada hanya menjadi nelayan. Alasan itu nampaknya sukar difahami oleh Con, yang tidak nampak sebarang masalah dengan menjadi nelayan, pekerjaan yang telah dilakukan oleh datuk dan ayahnya. Mr. Song bagaimanapun berjaya memujuk Con kembali ke sekolah, alasannya lebih dekat dan mudah difahami oleh minda Con.

Menonton filem ini, aku tidak dapat lari daripada teringat kepada filem-filem sebelum ini seperti Three Idiots (Amir Khan) dan novel serta filem Laskar Pelangi. Kesemuanya cuba mengajak kita melihat pendidikan daripada sudut yang berlainan. Dialog antara Ms. Ann dan Nui di akhir filem ini antaranya, cuba menyimpulkan erti sebenar pendidikan yang berbeza pemahamannya antara Nui, seorang guru di bandar, dan Ms. Ann serta Mr. Song yang mengajar di pedalaman.

Jalan cerita filem ini bagi aku menarik, dan tidak terlalu tipikal. Aku anggap sesuatu jalan cerita itu menarik bila ia membuatkan kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku, dan kadang-kadang mendorong kita untuk undur ke belakang untuk cuba memahaminya dengan lebih baik.

Filem ini bagi aku sesuai untuk tontonan bersama keluarga. Tiada adegan yang kurang enak, kecuali beberapa dialog tertentu.


Sunday, April 09, 2017

Live Chat Untuk Customer Support



Aku terima email daripada support Netlify, ayat standard support macam biasa sebab aku baru lepas guna service dia. Dan aku reply email tu sebab ada maklumat menarik yang aku baru tahu daripada email tu.
Kebetulan dashboard website dia pun aku tengah buka. Dengar ada bunyi notifications. Rupanya live chat popup. Tapi yang menarik adalah, mesej yang sama aku dapat melalui email, dan termasuk dengan reply aku sekali !
Wow, menarik ! Email dan live chat fully integrated. Kemungkinan dia pakai intercom.com utk support application. Aku suka fungsi mcm ni. Tapi harga intercom.com ni boleh tahan mahal. USD99++ utk pelan asas.

Alternatif selain daripada intercom adalah Drift serta tawk.to. Yang menarik dengan Drift adalah ia mempunyai pelan percuma tapi masih mempunyai features seperti intercom.

Thursday, August 27, 2015

Pin tweet di twitter

Informasi di media sosial bergerak pantas. Dalam sehari mungkin berpuluh tweet yang anda post dan tweet yang lama akan turun ke bawah, digantikan dengan tweet terbaru. Tapi bagaimana jika anda mahukan tweet tertentu kekal di bahagian atas profile twitter anda ?

Rupanya Twitter ada fungsi tersebut.




Klik pada ikon ... (dot dot dot) dan anda dapat melihat beberapa opsyen lain keluar dan salah satunya adalah "Pin to your profile page". Setelah memilih opsyen ini, anda akan lihat tweet tersebut kini berada pada bahagian atas profile anda:-


Thursday, January 22, 2015

Ambil Gambar Anak Tapi Bukan Dengan Kamera

Adegan dalam siri TV Hawaii Five O yang saya tonton pada tahun lepas.



Danny sedang menunggu anaknya mencuba pakaian untuk satu majlis di sekolahnya. Bila anaknya keluar, Danny teruja dan memuji anaknya sangat cantik sambil berkata:-

"Kita mesti ambil gambar"

Sangka saya dia pastinya akan mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar tetapi tidak. Dia cuma membuat gaya tangan seolah-olah mengambil gambar.

Saya sangat terkesan dengan adegan tersebut.

Teknologi bukan segalanya.

Kita obses merakam memori digital tetapi memori yang lebih bermakna adalah pada ingatan kita sendiri. Ia akan kekal hingga ke akhir hayat.

Memetik tulisan Audra Rundle dalam 5 Lessons Learned From Leaving Facebook:-
Not everything needs to be captured.
Just like caged animals, the spirit of a memory sometimes loses something very important when it is captured. It's natural to want to 'catch' a beautiful moment in time so you can bring up the picture or post later and hope to stir up the same emotions, yet so many moments in life are magical for that one moment only. They are gifts from nature, rewards of life, and meant only to live in your memory -- not to be photographed and shared with hundreds who weren't there.
p/s:-
Danny adalah seorang duda yang sedang dalam proses mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya. Kerjayanya sebagai polis membuatkan dia kerap terlepas peluang untuk bersama-sama anaknya.

Monday, October 27, 2014

Dari Mana Kita Bermula ?

Untuk memahami sebuah aturcara komputer, kita perlu terlebih dahulu mengenal pasti daripada mana aturcara tersebut bermula. Dalam bahasa programmer, ia dipanggil entry-point.

Tidak tahu di mana entry-point tidak bermakna programmer tidak boleh meneruskan pembangunan sebuah aturcara. Aturcara komputer hari ini adalah begitu kompleks, ramai saja programmer yang tidak ambil kisah pun di mana entry-point sebuah aturcara dan masih tetap dapat meneruskan pembangunan aturcara tersebut.

Namun tidak mengetahui di mana entry-point akan menyebabkan programmer sentiasa dalam kebingungan apabila berlaku sesuatu masalah pada aturcara yang mereka bangunkan. Mereka terpaksa meneka-neka dalam kegelapan akan punca sesuatu masalah (bug).

Begitu juga kehidupan ini, kita perlu tahu dari mana dan bagaimana kita bermula. Jika tidak, kita akan meraba-raba dalam kegelapan apabila ada masalah melanda kehidupan kita.

Sunday, October 26, 2014

Bahasa Yang Paling Mudah Dipelajari

Perbincangan yang menarik berkaitan bahasa apa yang paling senang dipelajari. Jawapan utama, yang menggunakan carta daripada Defense Language Institute (DLI) agak bias kepada mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

DLI mengkelaskan tahap kesukaran seperti berikut:-
  • Category I languages, 26-week courses, include Spanish, French, Italian and Portuguese.
  • Category II, 35 weeks, includes German and Indonesian
  • Category III, 48 weeks, includes Dari, Persian Farsi, Russian, Uzbek, Hindi, Urdu, Hebrew, Thai, Serbian Croatian, Tagalog, Turkish, Sorani and Kurmanji
  • Category IV, 64 weeks, includes Arabic, Chinese Mandarin, Korean, Japanese and Pashto
Seperti mana yang dapat kita baca melalui komen-komen yang lain, tahap kesukaran relatifnya berbeza mengikut bahasa utama seseorang. Contohnya ada yang menganggap bahasa percakapan Mandarin adalah lebih senang dipelajari walaupun DLI meletakkannya pada kategori IV (paling sukar).

Komen yang paling menarik (berkaitan objektiviti jawapan) adalah daripada Kai Schwind:-

Interesting, yes, but not really objective since it takes English native speakers as a point of departure. Since it is impossible to NOT speak a language we won't be able to assess which ones are hardest to learn. We have to wait until that Alien invasion takes place and see which ones they pick up fastest... 
http://www.quora.com/What-is-the-easiest-spoken-language-to-learn

Tuesday, October 07, 2014

Selamatkan laman web daripada hilang

Anda mungkin pernah mengalami, link yang dikongsi oleh rakan-rakan, atau yang anda bookmark satu ketika dahulu, kini hanya memaparkan mesej "Not Found" apabila cuba dicapai. Laman web hanyalah sebuah fail yang dikongsi secara umum di komputer pelayan web (web server). Komputer tersebut mungkin sebuah pelayan (server) di dalam sebuah data center gergasi, ataupun sebuah komputer biasa di ceruk rumah atau pejabat seseorang. Apabila fail tersebut dipadam, atau komputer (server) itu sendiri yang tamat riwayatnya, hilanglah laman yang anda cuba capai.

Dalam erti kata lain, laman web yang ada hari ini datang dan pergi. Ia tidak akan kekal. Sejarah dunia IT telah pun mencatat laman-laman web yang wujud suatu ketika dahulu, kini hanya tinggal nama. Anda mungkin pernah dengar nama Geocities, ia salah satu yang hanya wujud di celah lipatan sejarah dunia maya.

Ada pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan (preserve) laman-laman web ini daripada terus hilang. Salah satu usaha yang paling signifikan pada pandangan saya adalah daripada Archive.org. Fungsi Wayback Machine membolehkan anda kembali ke belakang, untuk melihat bagaimana sesebuah laman web kelihatan di masa lampau. Laman  web pertama yang saya bina (selepas mempelajari HTML) contohnya, masih boleh dilihat di laman archive.org.

Laman archive.org bagaimana pun tidak membenarkan anda untuk menghantar laman web yang anda mahu arkibkan. Jadi ia hanya bergantung kepada crawler archive.org menemui laman anda. Untuk tujuan ini, saya gunakan laman archive.today yang membenarkan saya hantar link yang hendak diarkib.

Bagaimana pun baru-baru ini, saya perasan yang archive.org mempunyai fungsi baru yang dipanggil "Save Page Now". Sama dengan laman archive.today, ia membenarkan anda untuk memasukkan link yang anda hendak arkibkan. Jadi jika ada laman web yang anda rasa penting untuk anda, boleh gunakan kedua-dua perkhidmatan ini untuk memastikan ia tidak akan hilang.



Satu lagi kegunaan khidmat arkib ini ialah apabila anda hendak memasukkan sesuatu link ke dalam penulisan anda. Jadi tidaklah apabila pembaca tulisan anda cuba mencapai link yang anda sertakan, link tersebut sudah pun hilang. Ini pastinya amat penting jika penulisan tersebut berbentuk ilmiah seperti tesis dan jurnal.

Saturday, September 20, 2014

Nama-nama Domain Yang Anda Mungkin Tidak Pernah Dengar

Update Jun 2017

Kesemua domain-domain baru ini diwujudkan di bawah program New gTLD Program oleh ICANN. Di bawah program ini, nama top-level-domain (TLD) tidak lagi dihadkan kepada beberapa nama sahaja. Sebaliknya ICANN terbuka kepada sebarang proposal untuk TLD yang baru.

Dan antara yang diperkenalkan di bawah program New gTLD ini adalah brand domain. Brand domain ini adalah TLD yang dimiliki dan diuruskan oleh nama-nama jenama terkenal seperti apple, nike, google, facebook dan sebagainya. Contohnya, google mempunyai domain mereka sendiri iaitu .google, dan antara website yang mereka bangunkan di bawah domain ini adalah blog.google dan domains.google !

***************

Nama domain yang berakhir dengan .com, .net, .org, .edu, .my sudah biasa didengari oleh warga Internet. Seiring dengan perkembangan Internet, banyak nama domain baru yang diperkenalkan sehingga mungkin ada antara kita yang tidak pernah mendengarnya atau tidak menyangka sama sekali ia wujud.

Dalam tulisan ini saya cuba senaraikan beberapa nama domain yang mungkin jarang kita dengar:-

.today
Tujuan domain ini diperkenalkan adalah untuk kegunaan umum. Sesuai untuk laman web yang ingin memaparkan maklumat semasa seperti laman berita. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal sedikit berbanding .com, sekitar RM50-60. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah archive.today.

.chat
Baru dibuka mulai Mei 2015. Melihat kepada nama, domain ini sesuai untuk laman web berorientasikan komunikasi. Saya jumpa domain ini melalui laman hack.chat. Juga diuruskan oleh Donuts. Agak mahal harga untuk domain ini, tinjauan ringkas di laman pendaftaran nama domain menunjukkan harganya sekitar USD39++ setahun,

.xyz
Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan nama domain yang senang diingati, sesuai untuk kegunaan individu atau organisasi. Diuruskan oleh XYZ.COM LLC. Harganya lebih kurang dengan harga .com, sekitar RM30-40. Contoh laman web menggunakan domain ini adalah ceo.xyz, milik Daniel Negari, CEO XYZ.COM.

Pada 10 Ogos 2015 juga, Google mengumumkan pembentukan entiti baru mereka yang dinamakan Alphabet dan domain yang mereka gunakan untuk entiti baru tersebut adalah abc.xyz !

.life
Tiada maklumat ditemui berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Diuruskan oleh Donuts (Pearl Woods, LLC). Harganya agak mahal, RM80++. Tiada laman web menarik ditemui menggunakan domain ini melainkan beberapa blog seperti dan.life, xpat.life, simplified.life dan www.organized.life.

.io
Domain ini sudah menjadi popular sekarang tapi saya senaraikan juga di sini. Ia pada mulanya khusus untuk British Indian Ocean Territory, sebuah pulau tanah jajahan British di Lautan Hindi. Domain ini popular di kalangan syarikat-syarikat startup IT dan selalu digunakan sebagai domain untuk perkhidmatan yang mereka tawarkan. Harganya agak mahal, RM190++.

.guru
Tiada maklumat rasmi daripada ICANN berkenaan tujuan domain ini diperkenalkan. Kemungkinan ia disasarkan untuk laman web daripada pakar dalam sesuatu topik. Harganya agak mahal juga, RM90++. Tiada laman menarik ditemui menggunakan domain ini.

.menu
Domain yang menarik untuk pengusaha restoran atau mereka yang terlibat dalam industri makanan. Cuma sayang, makanan.menu sudah pun dibeli. Harganya boleh tahan mahal, RM16++. Cuma satu laman web saya temui menggunakan domain ini iaitu one.menu.

.tips
Domain ini saya rasa dalam kategori yang sama dengan .guru atau .expert tapi mungkin sesuai dengan mereka yang tidak ingin menganggap diri mereka sebagai pakar. Sayang sekali lagi, domain kerjaya.tips telah pun diambil orang.

.pro
Ia adalah nama domain ke-7 yang diluluskan oleh ICANN, bersama dengan .info, .biz, .name, .museum, .coop dan .aero. Pendaftaran domain ini bagaimana pun memerlukan beberapa syarat, antaranya mempunyai lesen atau kelayakan yang diiktiraf oleh badan kerajaan sebagai profesional dalam bidang yang berkaitan. Antara laman web yang ditemui menggunakan domain ini adalah www.techwell.pro, sebuah laman berita berkaitan perkembangan terkini dalam industri pembangunan perisian.

.watch
Mula dibuka pada 23 January 2014. Pendaftarannya terbuka kepada sesiapa sahaja tapi mungkin sesuai untuk laman berkaitan media, video streaming ataupun NGO bersifat watchdog, contohnya rasuah.watch. Harganya agak mahal juga, lebih kurang RM90++ setahun.

.rocks
Mula dibuka untuk pendaftaran pada 10 April, 2014. Buat masa sekarang nampaknya banyak digunakan oleh laman-laman bertemakan muzik. Saya mula tahu berkenaan domain ini melalui seorang rakan FB yang menggunakannya untuk laman yang beliau bangunkan. Tidak bertemakan muzik tapi tetap satu pilihan nama yang menarik - demo.rocks - untuk web developer memuat naik aplikasi yang mereka bangunkan khusus untuk demo. Harga domain ini juga agak murah, lebih kurang RM30++ setahun.

.run
Mula dibuka untuk pendaftaran pada Ogos, 2015. Contoh laman web yang menggunakan domain ini adalah apex.run. Harganya agak mahal, sekitar RM150++ setahun.

Ada banyak lagi domain-domain menarik lain. Mungkin anda boleh turut berkongsi nama-nama domain yang anda rasa unik dan mungkin juga 'catchy'.

Thursday, August 28, 2014

Macam Astro Tapi Bukan Astro

Kerap kali pertanyaan tentang Skybox/Openbox atau apa-apa perkhidmatan seumpamanya muncul di wall FB. Untuk mengelakkan saya terpaksa mengulang balik setiap kali pertanyaan itu muncul, saya cuba kongsikan di sini apa yang saya faham berkaitan Skybox/Openbox ini.

Gambar hiasan - sumber.


Secara umumnya, perkhidmatan ini adalah satu bentuk card sharing. Seorang melanggan secara penuh perkhidmatan tv satelit berbayar (seperti Astro) dan kemudian kongsi langganannya kepada orang lain. Namun ada sedikit halangan teknikal sebelum perkongsian tersebut boleh dilakukan.

Semua signal siaran tv satelit berbayar telah dienkripkan. Jadi walaupun kita dapat menerima siaran tersebut melalui piring penerima satelit di rumah kita, ia tetap tidak dapat ditonton melalui tv kerana signalnya dalam bentuk scrambled. Itulah fungsi dekoder astro dan simcard yang dimasukkan padanya. Dalam simcard tersebut, ada encryption key yang digunakan untuk decrypt signal daripada astro.

Tapi itu tidak menghalang orang untuk berfikir sedikit kreatif bagi mengatasi halangan ini. Apa yang diperlukan cuma encryption key. Ia boleh didapati melalui pelbagai cara selain simcard. Salah satunya adalah melalui Internet.

Ini adalah sebab kenapa Skybox/Openbox memerlukan akses Internet. Dekoder Skybox akan menghubungi server penyedia perkhidmatan tersebut yang akan berkongsi encryption key dan hasilnya pelanggan Skybox dapat menonton siaran Astro melalui tv mereka. Internet hanya digunakan untuk mendapatkan encryption key jadi ia tidak perlukan bandwidth yang tinggi.

Selain perkhidmatan tv satelit berbayar, sebenarnya ada banyak juga tv satelit percuma. Ia dipanggil Free To Air Sattelite TV (FTA). Anda boleh cuba google untuk mendapatkan senarai FTA di Asia. Siaran FTA ini boleh dicapai melalui piring satelit Astro anda setelah melakukan sedikit penalaan frekuensi dan mungkin mengubah kedudukan piring itu sedikit.

Apa yang saya perhatikan, kebanyakkan penyedia Skybox sekarang turut memasukkan fungsi untuk mengakses siaran FTA ke dalam dekoder mereka. Ini memudahkan pengguna kerana mereka tidak perlu membuat penalaan sendiri lagi.

Adakah perkhidmatan ini sah disisi undang-undang ? Saya tidak pasti. Saya bukan pelanggan Astro jadi saya tidak tahu apakah terma dan syarat mereka berkaitan card-sharing. Namun ada laporan akhbar sebelum ini berkaitan tangkapan terhadap penyedia perkhidmatan tv satelit.

Berkenaan FTA pula, saya ada jumpa perbincangan yang mengatakan sebarang akses kepada signal satelit di luar jarak tertentu memerlukan permit khas kerajaan dan buat masa sekarang, hanya Astro ada kebenaran tersebut.

Rujukan lain:-

http://blogsatellite.com/satellite-card-sharing-what-is-it-exactly.html
http://security.stackexchange.com/questions/41797/is-it-possible-to-decrypt-a-satellite-tv-signal-without-using-a-smart-card
http://satelitinew.wordpress.com/cardsharing/

Monday, August 25, 2014

Contoh Praktikal Cari Gambar Guna Gambar

Membuat verifikasi terhadap maklumat yang anda jumpa di Internet, menggunakan kaedah cari gambar guna gambar Google.

Saya ternampak satu gambar yang di'share' kat G+.



Tips yang menarik, tapi adakah ia daripada Kevin Zahri sendiri ? Menggunakan kaedah cari gambar guna gambar Google, saya dapat hasil berikut:-



Ada 95 results, tidak ada satu pun daripada page Kevin Zahri sendiri. Kesimpulan:-

Gambar tersebut tidak dibuat oleh Kevin Zahri sendiri.
Kemungkinan ada yang membuat gambar tersebut berdasarkan maklumat yang dia dapat daripada blog Kevin Zahri.

Point penting kat sini bukan maklumat tersebut tidak betul tapi gambar itu bukan dibuat oleh Kevin Zahri sendiri. Ini kerana pertama kali melihat gambar tersebut, saya sangkakan ia dihasilkan oleh Kevin Zahri sendiri.

Ini contoh mudah. Begitu jugalah dengan apa-apa saja maklumat yang anda dapat di Internet. Sangkaan pertama anda mungkin tidak tepat sama sekali setelah dibuat sedikit penyelidikan. Mungkin salah, mungkin tidak tepat atau fahamannya tidak pada konteks.

Elakkan share hanya pada pandangan pertama. Selidik dahulu.